Rabu, Februari 25, 2009

Pas Jangan Bermimpi Lagi!





















Ternyata sekali Anwar Ibrahim masih belum mahu meninggalkan 'mimpi indah 16 September'. Sehingga ke saat-saat akhir beliau terus berusaha untuk menyakinkan penyokong-penyokong- nya bahawa penubuhan kerajaan tersebut akan menjadi kenyataan.

Akibat terlalu teruja dengan janji dan teori-teori yang dibentangkan oleh Anwar, salah seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat kenyataan bahawa perundingan sedang dibuat antara wakil pembangkang dan kerajaan mengenai peralihan kuasa - yang akhirnya dinafikan oleh Anwar sendiri manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menganggap ia 'laporan yang paling gila.'

Apabila kegilaan untuk merebut kekuasaan melalui pintu belakang ini berterusan ia sudah tentulah mengaitkan parti-parti yang bersekongkol dengan PKR. Ia termasuklah Pas. Hakikatnya, ramai pihak terutamanya orang Melayu merasa sedih melihat kedudukan Pas yang seolah-olah terjebak dalam permainan politik Anwar. Ada di kalangan pemimpin-pemimpin begitu taksub bahawa Anwar akan membentuk kerajaan malah selepas 16 September pun mereka masih 'mendakap mimpi' yang sama semasa tidur.




















Kelompok yang dianggap 'erdogan' dalam Pas itu terus berusaha untuk menyakinkan ahli-ahli parti berkenaan bahawa pakatan pembangkang lambat laun akan menjadi kerajaan.

Walaupun hari demi hari semakin terserlah pembohongan Anwar dan tarikhnya diubah dari semasa ke semasa namun puak- puak 'erdogan' ini tetap percaya kepada bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut. Persoalannya, wajarkah Pas terus diseret untuk terus bermimpi bersama PKR itu? Mungkin yang terlibat hanya dua tiga pemimpin sahaja tetapi mereka membawa imej Pas.

Justeru mahu tidak mahu nama parti itu turut diseret sama. Ia sekaligus menggambarkan setelah 54 tahun berpolitik, akhirnya Pas tidak sabar untuk berkuasa. Oleh kerana mereka dilihat gagal dalam pilihan raya akhirnya cara pintu belakang terpaksa dilakukan kerana mereka sudah tidak sabar lagi untuk berada di 'wilayah Putrajaya'.

Tetapi Allah maha berkuasa, niat pakatan pembangkang tidak menjadi kenyataan dan ini sekali gus sudah tentulah memberi tamparan kepada keseluruhan kepimpinan Pas.
Pemimpin-pemimpin parti itu akan dilihat 'kemaruk kuasa' dan sanggup bersepakat dengan sesiapa sahaja demi meraikannya. Kini jelas impian itu sudah tidak akan menjadi kenyataan, justeru kepada pemimpin-pemimpin Pas yang masih taksub kepada Anwar 'kembalilah ke pangkal jalan.' Lupakan sahaja hasrat untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang itu. Jangan terpengaruh dengan pandangan-pandangan termasuk artikel-artikel dalam lidah rasmi parti itu yang begitu yakin bahawa hasrat Anwar akan tercapai.

Diperbodohkan

Cukuplah selama sebulan penyokong Pas seolah-olah diperbodohkan dengan harapan kosong mengenai penubuhan kerajaan baru itu. Apa yang malangnya, 'gangguan kemaruk kuasa' tersebut berlaku ketika umat Islam menjalani ibadah puasa ketika itu. Justeru pemimpin-pemimpin Pas seharusnya bermuhasabah dan menilai kembali apakah yang mereka lakukan dengan menyokong penubuhan kerajaan pintu belakang itu wajar atau tidak.

Pas selama ini menentang apa juga yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) kerana menganggap negara kuasa besar itu banyak menindas umat Islam. Oleh itu mereka juga perlu bersikap rasional untuk menerima hakikat bahawa AS sememangnya berharap penubuhan kerajaan pintu belakang itu menjadi kenyataan.

Ini adalah detik yang paling dinantikan sejak tahun 1998. Pas seharusnya memperbaharui azam mereka untuk berdemokrasi secara betul bagi meraih kekuasaan. Lupakan sahaja 'mimpi 16 September', kembalilah beristiqfar bagi memohon petunjuk Allah agar kita berpolitik secara sihat.

Biarlah Anwar dan DAP ibarat si Luncai dengan labu-labunya. Pas adalah parti yang berprinsip, Pas mempunyai wawasan dan Pas mempunyai kewibawaan.Oleh itu jadikanlah ketiga-tiga kekuatan berkenaan sebagai alat terbaik untuk meraih sokongan rakyat bagi memerintah negara ini melalui cara demokrasi yang dibenarkan.Pemimpin-pemimpin Pas tidak harus teruja dengan janji Anwar bahawa nasib parti itu akan tetap dibela kalau pembangkang memerintah, maksudnya Pas tidak akan dpinggirkan.

Kecewa

Demikianlah hebatnya Anwar, walaupun partinya baru setahun jagung ia boleh menentukan nasib sebuah parti yang sudah ditubuhkan sejak 54 tahun lalu lalu. Ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi sudah tentulah kecewa kerana setelah berpuluh-puluh tahun berjuang dalam politik akhirnya masa depan dan arah tuju perjuangan mereka ditentukan oleh seorang pemimpin yang suatu ketika dulu pernah 'memaki hamun' Pas.



















Tetapi penyokong-penyokong Pas tersebut tidak boleh berkata apa-apa kerana pemimpin 'erdogan' sudah menguasai Pas. Mereka ini kelihatan lebih menonjol kerana sering dilihat bersama dengan Anwar di mana sahaja. Abdul Hadi dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula hanya bertemu Anwar sekali sekala sahaja. Apa pun keadaannya adalah diharapkan pemimpin dan ahli Pas yang sayangkan parti itu benar-benar memahami bahawa mereka tidak harus membiarkan orang lain menentukan nasib mereka.

Justeru biarlah Pas membuka lembaran baru dan kita tidak lagi mendengar bahawa usaha mewujudkan kerajaan pintu belakang masih diteruskan oleh pembangkang yang turut disertai oleh Pas. Jangan ikut rentak Anwar, itulah pesanan yang harus difahami oleh pemimpin- pemimpin Pas kerana dalam politik tidak ada kawan atau musuh yang kekal apabila tiba masanya kelak, 'kawan boleh menjadi musuh dan musuh boleh menjadi kawan. Semua itu berlaku kerana dalam politik matlamat acap kali menghalalkan cara dan dalam dunia itu juga segalanya berkemungkinan. Oleh itu bolehkah janji pemimpin politik seperti Anwar dipercayai? Biarlah pemimpin Pas mengkajinya.

Apa yang pasti rakyat sedang memerhati itu semua, kalau mereka melihat Pas pun bersikap sanggup melakukan segala-galanya untuk kuasa, maka mereka pasti akan menolak parti dalam pilihan raya umum akan datang. Ingatlah kemenangan juga adalah satu ujian daripada Allah, oleh itu jangan terlupa hikmah di sebalik kejayaan tersebut. Wallahuallam.

Suara Politik
Belantan - Taminsari

3 ulasan:

singamaraja berkata...

Auuum!

Memang Pas tidak bermimpi apa-apa akan tetapi UMNO yang menyebabkan Pas selalu bermimpi kan bang!

Tai berkata...

Suatu artikal yang penuh berisi. Tapi, maukah depa sedak?

Taminsari berkata...

Kalau mereka betul-betul beriman, mereka akan sedar Sedingin. Kalau mereka gilakan kuasa bagi nasihat macamana pun tak berguna..mereka sudah memperalatkan ugama untuk mendapatkan kuasa..untuk kepentingan sendiri...entahlah?