Jumaat, Mac 12, 2010

" Father " Khalid Teruja Dengan Ketegasan PKR!

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad teruja dengan tindakan berani dan tegas Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat Zulkifli Noordin, walaupun tindakan tersebut memaksa parti itu berhadapan kehilangan satu lagi kerusi di Parlimen.

Menurutnya, tindakan tersebut membuktikan komitmen PKR terhadap Pakatan Rakyat (PR) di mana sekiranya mereka mementingkan diri semata-mata dan meletakkan PR sebagai perkara yang tidak begitu penting sudah pasti Zulkifli akan dipertahankan.

“Walaupun berhadapan dengan kemelut peristiwa Ahli Parlimen yang melompat, PKR masih sanggup melakukan apa yang diperlukan untuk menjamin kestabilan PR. “Walaupun mereka sedar bahawa pemecatan Zulkifli akan menyebabkan PKR kehilangan satu lagi kerusi parlimen dan DAP akan mempunyai satu kerusi lebih dari PKR, namun mereka terus bertindak tegas. Syabas!,” katanya dalam blognya.

Khalid, yang kini digantung enam bulan daripada semua jawatan dalam Pas berkata, ketegasan PKR ini menyebabkan para penyokong PR berasa lega dan selesa termasuk ahli Pas yang kelihatan turut bersorak semasa persoalan ini disebut.

“Demi menjaga PR, PKR sanggup memecat beliau, walaupun akan kekurangan bilangan kerusi, iaitu satu tindakan yang ‘melemahkan diri’ dari sudut angka. Tindakan ini juga secara zahirnya bercanggah dengan kepentingan parti sendiri

“Mungkin dengan amaran keras secara bertulis akan dianggap sudah memadai. Mengapa mereka perlu kehilangan satu kerusi demi menjaga PR? Seperti yang selalu disebut, politik merupakan persoalan angka, lebih banyak kerusi maka akan lebih kuat kamu,” katanya.

Khalid berkata, sekiranya setiap parti dalam PR menunjukkan komitmen sebagaimana ditunjukkan oleh PKR, beliau yakin PR akan mempunyai masa depan yang amat cerah.

Khalid dan Zulkifli pernah berperang mulut dengan masing-masing mencabar agar keluar parti ekoran polemik penggunaan kalimah Allah awal Januari lalu. Kemudian Zulkifli membuat laporan polis agar Khalid disiasat di bawah Akta Hasutan, mendakwa Ahli Parlimen Shah Alam itu menghina Islam dan institusi diraja dan dewan perundangan apabila meminta agar enakmen agama negeri dikaji semula.

Khalid juga turut mencabar Zulkifli berdebat dengannya bagi mencari kebenaran dan membuktikan hujah siapa yang bertepatan dengan pandangan agama berhubung isu kalimah Allah yang mempertembungkan mereka berdua. “Sediakan sahaja tempat serta waktunya dan panggil Astro Awani atau Hujah TV9, kita berdebat secara siaran langsung demi mencari kebenaran.

“Kemudian lihat sahaja siapa yang berhujah di atas kekuatan nas dan siapa yang bertindak di atas dasar sentimen semata. Sekiranya ada di antara apa yang saya fahami tidak tepat, tersasar dan tidak berlandaskan syariat, maka saya sedia diperbetulkan dan demikian jugalah saya harapkan sebaliknya,” katanya.

Penulispun agak teruja dengan kenyataan Zulkifli tentang adanya pemimpin-pemimpin didalam PAS yang disifatkan beliau sebagai pimpinan " badut hingusan " yang mana bakal menjejaskan PAS!

Kelmarin, Zulkifli mendakwa sedemikian dengan menyatakan ‘badut hingusan’ tersebut tiba- tiba melatah terhadap spekulasi penyertaannya dalam parti. Ahli Parlimen Bebas itu menyifatkan beliau pelik dengan reaksi daripada pemimpin itu yang membantah keras beliau diterima masuk dalam Pas sedangkan beliau belum membuat sebarang permohonan.

Zulkifli yang sebelum ini selepas dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat menyatakan beliau hanya memilih parti yang berasaskan Islam sekiranya diberi peluang untuk menyertai parti. Namun, impian Zulkifli itu mendapat bantahan daripada Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Mustafa yang menyifatkan Pas tidak wajar menerima Zulkifli dan sekiranya Pas menerima Zulkifli, ia seolah-olah tidak menghormati keputusan Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat yang memecat Zulkifli.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: