Ahad, April 04, 2010

Sindrom pendirian tetap "Cina dahulu" dalam pelbagai bidang!

"SAYA tetap Melayu dahulu". Nada Tan Sri Muhyiddin Yassin tegas. Tiada dolak-dalik dan tidak ditarik balik. Prinsipnya juga jelas. Sebagai orang Melayu di negara yang kata dasarnya juga Melayu, penegasan itu tidak silap dan tiada khilaf.

Perkataan Melayu tertera di dalam Perlembagaan. Ia ditegaskan di mana-mana. Ia datang dahulu, kemudian diikuti dengan bangsa-bangsa lain. Sebagaimana sejarah Tanah Melayu yang menjadi milik orang Melayu dan kemudiannya secara suci hati dikongsi dengan kaum-kaum lain.

Justeru Melayu tetap Melayu. Waima apa juga gagasan atau dasar yang diperkenalkan masih ada klausa istimewa untuk Melayu. Dalam apa juga konsep yang mahu dilaksanakan, tidak akan ada kesamarataan antara Melayu dan bukan Melayu. Yang akan ada hanyalah kesaksamaan. Kesamarataan dan kesaksamaan itu ada batas dan bezanya. Sama rata bukan bermakna saksama.

Biar pun prinsip kesamarataan dan kesaksamaan sepatutnya mendasari setiap dasar kerajaan namun Melayu yang terkenal dengan sifat beralah mengambil sikap tidak apa. Tidak apa berkongsi ekonomi, tidak apa tidak mahu bersekolah bersama, tidak apa mahu berbeza parti, tidak apa terpaksa berebut dalam banyak bidang lain dan tidak apa diketepikan dalam sektor-sektor yang dikuasai bangsa lain.

Namun dalam mempertahankan hak Melayu atau membangunkan bangsa Melayu, siapa lagi yang boleh diharapkan jika bukan pemimpin Melayu sendiri. Siapa lagi yang mampu melaungkan kepada dunia bahawa di bumi Malaysia ini sebenarnya masih ada orang Melayu yang haknya satu persatu dituntut supaya disamaratakan. Bukankah hanya pemimpin Melayu yang boleh diharapkan.

Adakah orang Melayu mahu bergantung harap pada Lim Kit Siang atau Karpal Singh untuk menegakkan hak mereka? Mahukah pemimpin yang bukan seagama, sebangsa malah tidak henti-henti menuntut kaum mereka diberikan hak sebagaimana orang Melayu memperjuangkan nasib Melayu. Pernahkah kedengaran suara mereka begitu? Jawapannya tentu tidak pernah.

Bukan sekadar tidak pernah, apa sahaja yang dilaksanakan kerajaan untuk membuktikan akan ada kerjasama antara Melayu dan bukan Melayu tidak disambut baik. Sehingga kini orang Melayu belajar di sekolah kebangsaan walaupun sebenarnya sekolah itu bukan untuk orang Melayu semata-mata. Sekolah itu untuk semua bangsa. Tetapi kaum-kaum lain tidak mahu melunturkan kecinaan atau keindiaan mereka.

"Mereka terus menjadi 'Cina dahulu' atau 'India dahulu' dengan memilih sekolah jenis kebangsaan yang mengggunakan bahasa ibunda masing-masing. Wujudkah sekolah Melayu? Bukankah dari peringkat bawah lagi semangat 'saya tetap Cina dahulu' dan 'saya tetap India dahulu' sudah dipupuk. Semangat itu melarat dan membakar usaha memupuk perpaduan kaum di kalangan rakyat negara ini.

Lebih menyedihkan apabila sindrom 'saya tetap Cina dahulu' jelas ditunjukkan dalam sektor pekerjaan. Masih ada syarat temu duga yang menetapkan pemohon mesti menguasai bahasa Mandarin atau Kantonis atau apa juga bahasa yang digunakan oleh mereka.

Muhyiddin tidak salah menegaskan prinsipnya. Lantaran Kit Siang atau pemimpin kaum-kaum lain menyembunyikan prinsip mereka yang sebenar. Mereka tidak bercakap 'saya tetap Cina dahulu' tetapi setiap tindakan dan tuntutan mereka amat menjurus kepada maksud tersebut. Mereka menuntut sistem pendidikan tersendiri.

Mereka menuntut mata pelajaran peperiksaan sendiri. Jika boleh mereka mahu segala-galanya eksklusif di kalangan bangsa mereka sahaja. Pendiriannya yang tidak disuratkan sebenarnya tersembunyi segala macam yang menunjukkan 'saya tetap "Cina dahulu" secara tersirat.

Sedangkan Melayu yang dengan berani dan tegas menegakkan pendiriannya 'mengutamakan Melayu dahulu' dalam banyak hal sentiasa beralah dan menyetujui setiap dasar yang diperkenalkan kerajaan supaya kesemua kaum di negara ini mendapat kesaksamaan biarpun bukan kesamarataan. Lantaran kesamarataan itu sangat bertentangan dengan Perlembagaan - kitab suci yang menjadi tonggak pemerintahan di negara ini.

Jangan jadikan gagasan suci 1Malaysia untuk menghalalkan segala tuntutan mereka dan pada masa yang sama gagasan itu disalahgunakan untuk menidakkan hak orang Melayu.

Tidak ada dalam gagasan 1Malaysia menyebut Melayu mesti mengorbankan segala hak mereka supaya sama rata dengan kaum-kaum lain. Gagasan itu menekankan kesaksamaan rakyat tanpa mengira kaum. Gagasan itu tidak boleh dijadikan alat untuk memperkecilkan Melayu lantaran Melayu tetap Melayu yang dalam keadaan apa sekalipun tidak boleh dinafikan haknya.- UM

Suara Politik
Taminsari

2 ulasan:

Gangga Negara berkata...

Cubaan pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang untuk memasang perangkap berkaitan isu Melayu dan gagasan 1Malaysia akhirnya memakan diri. Soalan provokatif beliau kepada Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat baru-baru ini dijawab dengan menyakinkan dan tegas. ''Saya tetap Melayu dahulu," demikian kata Muhyiddin. Strategi Kit Siang untuk melihat setidak-tidaknya Muhyiddin tersasul, gagal.

Muslihat Kit Siang untuk menjangkakan perbezaan pendapat antara Muhyiddin dan bosnya, Mohd. Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri, turut gagal. Malah Najib menunjukkan pendirian yang jelas. Katanya, apa yang dinyatakan Muhyiddin adalah cerminan kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Kenyataan tersebut tidak bercanggah dengan gagasan 1Malaysia.

Ternyata Kit Siang berniat jahat. Terdahulu, beliau mencabar Muhyiddin meletakkan jawatan sekiranya gagal membuktikan bahawa beliau berpendirian 'Malaysia pertama dan Melayu kedua.' Tabik buat Muhyiddin dan lebih-lebih lagi kepada Najib. Reaksi Najib membuatkan Kit Siang terkedu. Apa yang Awang baca dari beliau, gagasan 1Malaysia yang diperkenalkannya tidak sesekali mengorbankan Melayu sebagai kaum teras. Mesej tersebut sangat jelas.

Kepada Kit Siang, kita ingin bertanya apakah beliau mengutamakan Malaysia dahulu, kaum Cina kemudian? Tanpa perlu menunggu, mudah diketahui jawapannya. Pemikiran, perancangan dan tindak-tanduk beliau adalah hampir Cina segala-galanya. Biarpun gagasan DAP menyebut perkataan Malaysia seperti Malaysian Malaysia dan Middle Malaysia, ia sekadar retorik. DAP adalah parti paling rasis di dunia. Mendengar loghat pertuturan bahasa Malaysia oleh Kit Siang yang masih tebal pelat Cina, sudah cukup sebagai petunjuk. Sedangkan ramai orang asing bukan warga negara seperti dari Bangladesh, Nepal, Myanmar, India, Pakistan dan Vietnam, lebih fasih menggunakan Bahasa Kebangsaan walaupun baru berada di negara ini.

Itu belum menyentuh soal perjuangan tersurat dan tersirat DAP 'Cina dahulu', dalam hampir semua bidang terutama pendidikan. Keadaan tersebut tidak berlaku di negara lain seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam yang juga ramai orang Cina. Malah di Singapura, tiada sekolah awam aliran Cina. Kalau di Indonesia, kaum Cinanya tidak hilang kecinaan walaupun sebati mengamalkan bahasa dan budaya Indonesia. Anehnya, untuk mewujudkan Sekolah Wawasan demi kepentingan nasional dan perpaduan, DAP membantah apatah lagi mewujudkan sekolah satu aliran. DAP patut mengakui hakikat parti itu terbawa-bawa polisi zaman dinosaur, yang tidak lagi sesuai.

Malaysian Malaysia dan Middle Malaysia adalah ciptaan berkonsep ultra Cina sedangkan 1Malaysia jauh lebih realistik kepada kepentingan semua kaum, walaupun tidak dapat memenuhi kehendak 100 peratus setiap kaum. Pertanyaan Kit Siang hanya menonjolkan lagi hakikat kecinaan yang tebal pada diri beliau seolah-olah negara ini mahu dijadikan seperti homogeni China mahupun Taiwan. Kaduk sudah naik junjung.

Tai berkata...

DAP memang tersangat races. Walau pun saya cina, saya takkan iktiraf dia. Apa yang TPM kata itu, memang harus dibanggakan.