Selasa, Mei 11, 2010

Kembalikan Kekuatan Orang Melayu 64 Tahun Yang Lalu!

Orang Melayu hari ini berada di persimpangan dan di dalam satu dilemma yang amat menakutkan. Pastikah ramalan dan andaian bahawa kekuasaan dan ketuanan Melayu semakin terhakis. Atau benarkah ada ramalan yang mengatakan dominan Melayu akan hancur dek gara-gara orang Melayu itu sendiri akibat krisis dan perbalahan yang sedang melanda pada hari ini. Mungkinkah Melayu akan hilang di dunia?

Kalau tidakpun, jenis Melayu yang bagaimana yang akan jadi penghuni bumi tercinta ini apabila dominan kekuasaan Melayu sudah hancur dan apabila orang Melayu sudah hilang kuasa? Akan berakhirkah perbalahan sesama Melayu ini? Mungkinkah pada akhirnya orang Melayu akan mengigit jari apabila Melayu lenyap ditelan kebangkitan suatu kuasa bukan Melayu yang tidak perduli terhadap Melayu lagi?

Pada 11 Mei, 64 tahun lalu, UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ditubuhkan atas kesedaran memastikan nasionalisme atau ketuanan Melayu dan Islam terus dipertahankan di negara ini. Pada ketika itu ancaman penubuhan Malayan Union oleh British yang bakal menyaksikan orang Melayu kehilangan hak dan kuasa di tanah air sendiri telah mengumpulkan kekuatan yang membawa kepada pembentukan parti yang menjadi pembela nasib Melayu.

Ketika itu juga Inggeris terus mengasak dengan penubuhan Malayan Union pada 1 April 1946 yang memberi hak sama rata kepada semua kaum dengan ketua negeri ditukar daripada sultan kepada presiden. Namun hasil tentangan orang Melayu melalui UMNO, Malayan Union dibubarkan pada Julai 1946 dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Tetapi apa yang penting ialah perjuangan UMNO berjaya mengembalikan hak-hak orang Melayu di tanah air mereka dan mengembalikan semula kuasa sultan dan raja-raja.

Perlu diingatkan bahawa perpaduan Melayulah yang selama ini menjadi senjata paling ampuh menghancur leburkan rancangan Malayan Union. Perpaduan Melayulah juga yang telah mencetuskan kemerdekaan negara. Perpaduan Melayulah yang memungkinkan termaktubnya keluhuran dan kemuliaan agama Islam, serta kedaulatan Raja-Raja dan bangsa Melayu serta budaya Melayu dalam Perlembagaan negara.

Yang menyedihkan apabila selepas 64 tahun ia ditubuhkan dan setelah 53 tahun negara merdeka, segala susah payah dan pahit getir perjuangan menegakkan hak bangsa oleh UMNO seolah-olah dipandang sepi terutamanya oleh golongan muda Melayu. Perjuangan UMNO yang menjadi tonggak kepada penubuhan Perikatan hasil gabungan MCA dan MIC dan Barisan Nasional (BN) pada 1973 yang memberi kemakmuran kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum kian dilupakan.

Ianya dapat dilihat dengan jelas didalam keputusan PRU ke – 12 yang lepas di mana memperlihatkan senario berbeza terhadap sokongan kepada UMNO dan BN. Adakah selepas lebih enam dekad berbakti, UMNO kini tidak lagi relevan dalam perjuangan menegakkan hak-hak orang Melayu?

Namun sejak akhir-akhir ini apabila terdapat bibit-bibit perpecahan di antara orang Melayu, sudah ada yang berani mengambil kesempatan. Ini dapat dilihat apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh mengambil tindakan mempersoalkan siapa penulis titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dan keputusan Sultan Perak ada kaitan dengan kelemahan pada parti Melayu itu.

Ia seolah-olah mengulangi senario pada 1946 apabila Inggeris merampas kuasa raja-raja dan hak Melayu dengan membentuk Malayan Union. Orang Melayu dan UMNO sepatutnya bangkit membantah dan mendesak supaya Karpal Singh menarik balik kata-katanya dan memohon maaf kapada Sultan dan Raja-raja Melayu.

Yang menjadi persoalan sekarang mengapa para pemimpin Pas dan PKR diam membisu. Sikap berdiam diri para pemimpin Pas berhubung isu Karpal mengkritik sultan juga menunjukkan pendirian mereka yang tidak konsisten dalam memperjuangkan isu berkaitan Melayu. Setelah sekian lama didesak barulah Tok Guru Nik Aziz mengeluarkan kenyataan yang Karpal Singh adalah menderhaka kepada Raja-raja Melayu. Presiden Pas sendiri masih membisu. Mungkin sedang mencari fatwa yang sesuai untuk digunakan? Malah lebih memeranjatkan lagi apabila penasihat PKR, Anwar Ibrahim dengan egonya mempertahankan tindakan Karpal Singh. Sekarang mungkin rakyat sudah nampak “ warna sebenar “ Anwar Ibrahim.

Mungkin kita masih tersentak dengan sikap bekas Menteri Besar Perak yang telah kehilangan kuasa dengan biadapnya memohon ‘ derhaka ‘ kepada sultan Perak kerana tidak berpuas hati dengan krisis yang berlaku di Perak. Tidak pernah terjadi didalam sejarah melayu apabila rakyatnya memohon derhaka semata-mata kerana gila dan tamakkan kuasa! Siapa sebenar dalang dibelakang Mohd Nizar sehingga hilang maruahnya sebagai seorang melayu yang beragama Islam.

Walaupun Pas mengatakan mereka juga memperjuangkan Melayu dan Islam namun setakat ini parti itu masih belum menunjukkan kemampuan sebenar dalam memastikan hak Melayu tidak terus tercabar. Bagaimana pula dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR)? Adakah nasib Melayu boleh diletakkan di bahu mereka yang mana kalau dilihat daripada peratus pemimpin Melayu mereka tak sampai separuh? Berapa ramai anggota IFC (Interfaith Commission) terdiri daripada pemimpin PKR?

IFC ditubuhkan dengan matlamat meminda beberapa ajaran asas Islam yang akan merosakkan akidah orang Islam dan berpihak kepada kepentingan orang bukan Islam. Adakah orang-orang Melayu Islam di dalam PKR tahu dan sedar akan perkara ini wujud di dalam PKR. Apabila berjaya memerintah Selangor dan bersekongkol dengan DAP, sudah mengeluarkan kenyataan untuk menghapuskan DEB. Bolehkan PKR mengambil alih peranan UMNO untuk membela nasib orang Melayu?

Adakah disebabkan DAP adalah ahli keluarga Pakatan Rakyat, mereka mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga sanggup melihat Raja-Raja Melayu diperlekehkan dengan hanya berpeluk tubuh dan hanya menunggu saat yang memberi keuntungan politik kepada mereka barulah mereka bertindak sesuatu. Untuk menjaga hati DAP mereka sanggup menjadi pengkhianat bangsa mereka sendiri.

Sepertimana yang kita tahu Pas dan PKR sanggup perjudikan matlamat perjuangan masing-masing semata-mata mahu bergabung dengan DAP. Terbaru apabila Zaid Ibrahim pula mempetikaikan titah sultan Selangor agar masjid-masjid di negeri Selangor tidak di salahgunakan untuk tujuan politik dan sehingga sekarang masih berdegil tidak mahu memohon maaf kepada baginda sultan.

Yang paling ketara adalah Pas apabila sanggup membuang slogan untuk menegakkan negara Islam semasa pilihanraya yang lepas semata-mata hendak bermadu kasih dengan DAP walaupun pemimpin DAP dengan berani dan terus terang menyanggah cita-cita Pas itu. DAP semata-mata ingin menangguk peluang keemasan di atas kebebalan segelintir orang Melayu, sanggup terima Pas dan PKR dalam Pakatan Rakyat untuk menghancur dan memecahbelahkan undi orang Melayu pada PRU-12 yang lepas.

Dan apabila melihat Islam ditindas oleh barat di seluruh dunia termasuklah di Malaysia dan melihat orang Melayu Islam sedang berpecah dan kerajaan semakin lemah, ada pula dari pihak Gereja mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan untuk menggunakan perkataan Allah di dalam bulletin mereka. Jelas dapat dilihat musuh-musuh Islam mengambil kesempatan apabila Islam berjaya dilemahkan.

Terbaru apabila pihak Gereja Katolik Malaysia berjaya di dalam tuntutan mereka apabila mahkamah membenarkan mereka untuk membuat semakan kehakiman terhadap larangan menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Herald - The Catholic Weekly. Hakim juga membenarkan gereja tersebut untuk membuat semakan untuk perisytiharan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mereka dan tuntutan bahawa kalimah Allah tidak eksklusif kapada agama Islam.

Dalam budaya amalan dan adat resam Melayu, “Allah” itu ialah nama eksklusif bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Satu; Maha Pemurah, Bijaksana dan Pengampun. Orang Melayu dalam amalan mereka tidak mengunakan gantinama “Tuhan” pun untuk memberikan maksud yang sama, tetapi “Allah”. Bayangkan sejak kita lahir kita diajar menyebut dan mengenali Allah Taala dengan lebih dekat, tiba-tiba ada pula agama lain mahu menggunakan nama yang sama dengan Agama Islam.

Walaupun mereka mengatakan pihak Kristian di arab menggunakan nama Allah, tetapi itu di Arab dan bukannya di Malaysia. Tidak kah janggal namanya. Tidak kah pihak gereja katolik tahu yang Agama Islam adalah agama rasmi Malaysia sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan. Tidak ke tuntutan mereka mengguris perasaan umat Islam di Malaysia. Mengapa sekarang mereka membuat tuntutan itu? Mengapa umat Islam Malaysia berdiam diri apabila Islam dihina sedemikian rupa dengan mempermain-mainkan nama Allah yang maha esa.

Malah ada pula segelintir umat Islam yang dikatakan hendak menegakkan ‘Islam mereka’dinegara ini kerana gilakan kuasa sanggup bersekongkol dengan pihak gereja agar nama Allah boleh digunakan oleh Kristian! Ini tidak termasuk nama-nama lain seperti Anwar Ibrahim, Khalid Samad dan lain-lain. Mereka-mereka ini sanggup melacurkan ugama demi untuk mendapatkan satu undi. MasyaAllah!

Tidak kira apapun jua tuntutan mereka sama ada IFC ataupun pihak gereja katolik demi memastikan kedaulatan Islam itu tetap utuh ditanah air kita, sama-samalah kita bersatu menentang apa jua bentuk penindasan terhadap Agama Islam yang maha mulia ini. Oleh itu, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab suci setiap umat Melayu yang beragama Islam untuk terus berjuang mengekal, dan lebih dari itu bagi meningkatkan perpaduan bangsa Melayu pada setiap masa.

Perpaduan ini wajar terus dipupuk, dipelihara, dibajai dan dijagai dengan rasa penuh bertanggungjawab bagi memastikan simpulan perpaduan ini tidak mudah terlerai atau mudah diperkotak-katikkan oleh sesiapa sahaja. Kita juga harus insaf, dalam kita membawa pelbagai pembaharuan, perlulah kita mempastikan bahawa kita tidak kehilangan arah, tidak juga kehilangan punca.

Untuk tidak kehilangan arah, dan supaya tidak kehilangan punca, maka dengan itu perlulah kita sedar dan perlulah kita menghayati asas-asas falsafah bangsa Melayu yang dirumuskan oleh ajaran agama. Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah".

Suara Politik
Taminsari

2 ulasan:

Pendekar Melayu berkata...

buat apa ditanya lagi kenapa orang pas dan pkr membisu bila karpal hina sultan.

dah memang terang lagi nyata orang pas dan pkr ini memusuhi sultan dan orang melayu.

tengoklah kenyataan nik aziz sendiri.memang dia benci sangat pada orang melayu ni.anuar sendiripun hanya peralatkan orang melayu sebab dia lebih suka bersaudara dengan orang yahudi.

nizar pun anti orang melayu.sanggup sokong cina membunuh orang melayu.

dah janganlah ditanya lagi lepas ni. buang masa je berbaik dengan orang pas dan pkr ni.

Juragan Malawati berkata...

Salam...

Usia UMNO genap 64 tahun hari ini. Semua sudah tahu hala tuju perjuangan parti politik yang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Tarikh keramat 11 Mei 1946, hari tertubuhnya parti UMNO yang kemudian bersama-sama rakan parti komponen Perikatan dan Barisan Nasional lain dalam menuntut kemerdekaan negara. Seterusnya mengisi kemerdekaan negara ini dengan pembangunan rohani, sosio ekonomi, budaya. Ini yang harus dihayati dan terus dikenang.

Sungguhpun begitu UMNO sejak beberapa tahun kebelakangan ini berhadapan dengan situasi kurangnya sokongan orang Melayu terutama generasi muda kepada parti ini.

UMNO harus akui, cerita-cerita kejayaan dan perjuangan parti sudah tidak 'laku' untuk menambat minat mereka. Apatah lagi hendak memindahkan perjuangan UMNO supaya sama-sama dihayati generasi muda hari ini.

Sudah acap kali dilaung-laungkan UMNO perlu berubah. Tetapi sejauh mana perubahan yang dikehendaki oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak difahami dan dilaksanakan oleh ahli-ahli UMNO.

UMNO perlu memacu perubahan sikap dan pemikiran ahli-ahli parti agar kembali diterima dan disokong oleh rakyat.

Sebab itu, perubahan UMNO bukan sekadar pada slogan tetapi pada amalannya. Perubahan dalam UMNO jangan disorok-sorok tetapi perlu diserlahkan supaya nampak nyata.

Apalah ertinya jika segala perubahan dan tindakan menjuarai hati rakyat hanya terpampang megah pada agenda UMNO tetapi di peringkat pemimpin atasan hingga akar umbi tidak menampakkan kesungguhan perubahan yang menjadi harapan Najib sejak lebih setahun lalu.

Jika ini yang berlaku, ia bakal memberi persepsi kurang baik kepada rakyat khususnya orang Melayu yang mahukan UMNO berubah dan kembali mengutamakan rakyat.

Pemimpin UMNO kena kembali mendengar dan membantu menyelesaikan keluh dan resah rakyat setempat. Penduduk kampung dan desa yang menghadapi kesusahan perlu dibantu.

Mahu tidak mahu, menjadi tanggungjawab UMNO untuk menyatukan kembali orang Melayu dan Bumiputera.

Orang Melayu bukan tidak boleh mengharapkan Pas, PKR atau parti-parti kecil orang Melayu yang lain, tapi hakikatnya dalam soal memperjuangkan martabat dan survival bangsa dan agama, UMNO nampak lebih dominan dan diyakini.

Apa yang kita perhatikan, parti-parti Melayu lain lebih mementingkan kuasa politik daripada penyatuan Melayu/Bumiputera dalam erti kata sebenar sebagaimana dituntut agama Islam.

Parti-parti berkenaan lebih gemar melihat orang Melayu menjadi bangsa yang bermusuhan dan berpecah-belah. Tapi elok diperingatkan bahawa jika bangsa Melayu lemah dan berpecah, percayalah negara ini juga akan kucar-kacir.

Walau apa juga cabaran dan halangan yang dihadapi, UMNO kena pantas bertindak balas.

Kita yakin UMNO mampu mengharungi cabaran mendatang sesuai dengan perubahan yang banyak diterapkan oleh Presiden UMNO sendiri dalam menarik kembali sokongan rakyat.

Dengan berpegang cogan kata Bersatu-Bersetia-Berkhidmat, kita yakin UMNO akan meneruskan perjuangannya. Usia UMNO ke-64 tahun tidak penting tetapi yang utama ialah semangat perjuangannya untuk agama, bangsa dan negara mesti berkekalan.

Salam perjuangan