Khamis, Jun 03, 2010

Artikel Pilihan : Isyarat Anwar untuk Pas!

PAS sepatutnya menganggap tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan akan wujud jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) II daripada pemimpin DAP adalah isyarat awal kepada mereka.

Tidak kisah sama ada Anwar membuat keputusan sendiri atau berpakat dengan DAP dalam soal itu. Yang jelas, ia adalah isyarat awal kepada Pas bahawa selama ini, parti itu hanya dijadikan alat untuk mendapat sokongan Melayu oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Sebab itulah, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak tahu mengenainya. Malah Pas juga tidak dimaklumkan mengenai pemilihan Anwar sebagai calon utama Perdana Menteri (PM).

Sebenarnya, PKR dan DAP tidak ikhlas berkawan dengan Pas. Kalau mereka ikhlas, sudah pasti soal yang begitu penting akan dibincangkan bersama. Alasan beberapa pemimpin PKR bahawa apa yang dinyatakan oleh Anwar adalah pandangan peribadi beliau juga boleh dipersoalkan.

Apa yang nyata, Anwar membelakangkan Pas termasuk dalam soal calon utama sebagai PM jika pakatan pembangkang berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Bagi Anwar, walaupun membawa Pas masuk sebagai salah satu anggota dalam pakatan pembangkang, namun parti itu bukanlah suara utama yang perlu didengari.

Penasihat PKR itu lebih mengutamakan DAP dan atas sebab itulah, dalam soal apa sekali pun, Anwar mendahulukan DAP. Beliau tidak pernah fikir apa pandangan dan pendirian Pas. Anwar amat menyedari sikap Pas yang terlalu inginkan kuasa politik. Justeru, Pas tidak akan membantah, sebaliknya akan mengikut apa saja telunjuk PKR dan DAP.

Soalnya, wajarkah Pas dilayan sedemikian rupa? Pas sepatutnya sedar ia bukanlah sebuah parti yang ibarat melukut di tepi gantang atau terpaksa 'menyembah' kedua-dua parti berkenaan untuk berkongsi kuasa.

Pas mempunyai kekuatan dan keupayaan sendiri dalam arena politik tanah air. Mungkin selama ini, Pas tidak pernah memerintah negara tetapi sekurang-kurangnya tiga buah negeri termasuk Terengganu sudah pernah berada di dalam genggaman Pas. Berbanding dengan PKR dan DAP, Pas jauh lebih berwibawa serta tokoh-tokohnya lebih dihormati di kalangan rakyat.

Inilah hakikat yang perlu difahami oleh pemimpin dan ahli Pas yang begitu taksub menyanjung kerjasama dengan PKR dan DAP sehinggakan keyakinan mereka terhadap parti sendiri semakin luntur. Mereka begitu percaya hanya dengan bekerjasama dengan kedua-dua parti itu sahaja, Pas akan mampu menjadi sebuah parti yang kuat.

Mereka sudah kabur dengan ketokohan pemimpin sendiri, sebaliknya lebih menyanjungi Anwar. Seperkara lagi, kenyataan Anwar bahawa beliau menjadi calon utama PM memberi isyarat kepada Pas bahawa parti itu tidak akan diberi kerusi melebihi apa yang ditandingi oleh PKR dan DAP.

Atas dasar kesepakatan bersama, Pas juga mungkin akan didesak mengorbankan kerusinya kepada PKR seperti mana yang berlaku di Kelantan. Lebih daripada itu, kenyataan Anwar juga boleh dianggap ingin memberitahu Pas bahawa mereka tidak mempunyai pemimpin yang layak menjadi PM.

Oleh itu, tidak payahlah mana-mana pemimpin atau ahli parti berkenaan berangan-angan untuk melihat ada pemimpin Pas akan menjadi pemimpin utama di dalam pakatan pembangkang. Apa yang berlaku, Pas hanya dijadikan 'alat' oleh Anwar dan pemimpin DAP untuk menunjukkan kepada rakyat apa juga yang mereka lakukan mendapat restu pemimpin Pas, walaupun ada antaranya bertentangan dengan prinsip perjuangan Pas.

Ketika diminta mengulas perkara ini, seorang pemimpin muda Pas ternyata kecewa dengan kenyataan Anwar, apatah lagi apa yang diperkatakan tidak dibawa berbincang dengan parti itu. ''Tidak kiralah pandangan peribadi atau tidak tetapi yang pasti Anwar sudah ada kecenderungan untuk meminggirkan suara Pas,'' katanya ketika dihubungi.

Itulah hakikat sebenar tetapi semua itu berlaku kerana sebahagian kepimpinan Pas terlalu taksub dan ghairah untuk mencatat kejayaan di dalam pilihan raya kelak. Tanpa mengambil kira kesannya kepada perjuangan dan kedudukan parti, Pas lebih fokus untuk berkongsi matlamat bersama PKR dan DAP demi menumbangkan BN.

Sikap itulah yang membuka laluan kepada PKR dan DAP untuk memandang Pas 'sebelah mata' sahaja. Apa juga yang mereka lakukan, mereka tidak akan memikirkan pendirian atau pegangan Pas. Kesudahannya, ia mendatangkan kerugian politik kepada Pas apabila dianggap hanya menjadi 'pak turut' dalam pakatan pembangkang.

Anwar adalah seorang politikus yang licik, beliau amat memahami bagaimana untuk memanipulasikan Pas di kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu. Beliau juga bijak bermain kata-kata bagi mempengaruhi pengundi bukan Melayu. Sebab itulah, Anwar begitu terbuka bercakap soal pelantikan TPM II untuk DAP.

Matlamat Anwar hanya satu iaitu menjadi PM, soal sama ada tindakannya akan menjejaskan rakan-rakan dalam pakatan terutamanya Pas bukanlah menjadi perhitungan utama. Oleh itu, persoalan yang timbul kini sampai bilakah Pas akan merelakan dirinya diperkotak-katikkan oleh PKR dan DAP?

Apa yang diperkatakan oleh Anwar sudah membuktikan bahawa Penasihat PKR itu tidak kisah sama ada cadangannya akan diprotes oleh Pas atau tidak. Sebelum ini pun, sama ada PKR atau DAP, mereka tidak pernah mempedulikan perasaan Pas, walaupun ketiga-tiga parti bersama-sama berada di dalam kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Selangor.

Justeru, jika Pas benar-benar ingin mengetahui keikhlasan PKR dan DAP, mereka perlu memutuskan dari sekarang berapa jumlah kerusi yang mereka akan dapat untuk bertanding dalam pilihan raya umum nanti dan apakah posisi Pas di dalam Kabinet bayangan Anwar.

Jangan sampai di dalam keghairahan Pas untuk terus mempertahankan kerjasamanya dengan kedua-dua parti tersebut, akhirnya Pas akan menerima nasib 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.'

Zulkifli Bakar
Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: