Isnin, November 15, 2010

Selangor Bangkit : Pegawai kanan Yayasan Selangor diarah bercuti!

Akibat dari pembongkaran yang bertubi-tubi datang dari media dan para blogger, pegawai kanan Yayasan Selangor diarahkan bercuti bergaji selama sebulan berkuatkuasa serta merta sehingga siasatan terhadap perbelanjaan mewah bagi majlis sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu disiasat.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, tindakan terhadap Timbalan Pengurus Besar Mohd Sharifuldin Sulaiman itu bagi memastikan siasatan dilakukan dengan cepat dan bebas. "Laporan awal yang diterima menunjukkan penglibatan pejabat timbalan pengurus besar yayasan itu," katanya.

Kelmarin, Sultan Selangor membatalkan keberangkatan ke majlis jamuan tengahari anjuran yayasan itu yang dijadual esok kerana dukacita dengan kosnya yang terlalu tinggi. Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ramli Mahmud dilaporkan berkata, pada pendapat Baginda kos makan tengah hari lebih daripada RM300,000 adalah amat tinggi dan membazir.

Menurut Ramli, Baginda berpendapat lebih berfaedah jika wang itu digunakan untuk belanja pembelajaran dan kebajikan atau membiayai lebih ramai pelajar yang kurang berkemampuan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Khalid berkata, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menghargai setiap maklumat salah laku bagi memastikan pentadbiran negeri dan anak syarikat diuruskan dengan telus dan bertanggungjawab.

"Kita juga tidak akan teragak-agak untuk membuat keputusan berani termasuk membawa mana-mana individu yang terbukti melakukan salahguna kuasa ke muka pengadilan," katanya.

Sementara itu : Aktiviti perhubungan awam PKNS pula dibekukan

Ekoran dakwaan salah guna kuasa, termasuk menaja jamuan majlis perkahwinan angkasawan negara, kerajaan Selangor membekukan semua aktiviti yang membabitkan Jabatan Perhubungan Awam, Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS). MB Abdul Khalid Ibrahim berkata, pembekuan itu berkuatkuasa sehingga laporan penuh audit siap, dijangka akhir bulan ini.

"Dengan keputusan ini, Jabatan Perhubungan Awam PKNS diarah supaya melaporkan kepada Pejabat Menteri Besar sebelum mengadakan sebarang aktiviti termasuk membuat keputusan-keputusan penting.

"Langkah ini untuk memastikan setiap aktiviti akan dipertimbangkan secara teliti dari aspek kepentingan, keperluan dan belanjawan sebelum dilaksanakan," katanya.

Menurut Khalid, jabatan itu dijangka berjalan seperti biasa sebaik laporan audit diterima dan keputusan mengenainya diumumkan.

Pada 10 November lalu, Khalid menubuhkan jawatankuasa audit profesional untuk menyiasat pendedahan ADUN Hulu Klang Saari Sungib bahawa wujud salah guna kuasa dalam penajaan majlis perkahwinan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Khalid yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah PKNS turut tidak menolak kemungkinan bahawa kes itu akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, Ketelusan (Selcat). Media melaporkan, jumlah tajaan oleh anak syarikat kerajaan negeri itu sebanyak RM520,000.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: