Khamis, Disember 23, 2010

Artikel pilihan : Kuatkah pembangkang, lemahkah BN?

Sepanjang 33 bulan selepas pilihan raya umum 2008, senario politik arus perdana sudah merentasi pelbagai rintangan. Walaupun di peringkat awal wujud andaian bahawa keadaan adalah tidak menentu tetapi selepas April 2009 sehingga kini, suasana sudah berubah. Ia membabitkan transisi kepimpinan dan kemudiannya disusuli dengan 'Doktrin Najib' sebagai asas transformasi nasional.

Malah, populariti Datuk Seri Najib Tun Razak melonjak naik sehingga 72 peratus berbanding dengan 56 peratus ketika mengambil alih teraju pentadbiran negara. Ia berbeza dengan pakatan pembangkang yang pada awalnya menerima sokongan daripada pelbagai kelompok berasaskan kepada harapan tinggi untuk menunjukkan ia merupakan pilihan yang konstruktif sebagai pesaing kepada Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun sokongan itu telah merudum walaupun penyokong tegar akan terus menyatakan ia masih mendapat mandat besar tanpa menyedari blok besar sokongan pada pilihan raya lalu adalah dari mereka yang melakukan undi protes dan pengundi atas pagar.

Kuatkah pakatan pembangkang dan lemahkah BN dalam konteks persekitaran politik hari ini? Apakah faktor yang boleh dijadikan sebagai penanda aras untuk menunjukkan pakatan pembangkang kuat dan BN lemah? Sebanyak 13 pilihan raya kecil telah diadakan sehingga ke hari ini, bermula di Permatang Pauh dengan yang terakhir di Batu Sapi. Keputusannya masih seri dengan tidak berpihak kepada sesiapa. Walaupun pakatan pembangkang menang lapan kerusi berbanding dengan BN sebanyak lima kerusi, pertukaran pemenang hanya berlaku di kerusi Kuala Terengganu (BN-PAS), Hulu Selangor (PKR-BN), Sibu (BN-DAP) dan Galas (PAS-BN).

Kerusi lain merupakan status quo; kekal kepada parti yang menang pada pilihan raya umum lalu tanpa menafikan bahawa setiap kemenangan merupakan motivasi dan moral kepada parti yang bertanding. Sebanyak empat pilihan raya kecil diadakan pada tahun ini dengan tiga dimenangi oleh BN. Pola sokongan di kalangan pengundi Melayu dan India rata-rata berubah perlahan-lahan dan condong kepada BN. Tetapi majoriti pengundi Cina masih menunjukkan kesetiaan terhadap pembangkang.

Perubahan sokongan ini berkait rapat dengan kepimpinan Najib yang dilihat menunjukkan komitmen ke atas nilai kemasyarakatan untuk menjana transformasi bersama. Bersifat inklusif, ia merupakan suntikan kepada nilai kewibawaan dan legitimasi politik BN.

Barangkali, apabila gagasan 1Malaysia dan pelan transformasi yang lain seperti Pelan Transformasi Kerajaan, NKRA, Model Ekonomi Baru, Pelan Transformasi Ekonomi dan RMK-10 menunjukkan hasil akhir yang lebih positif akhir tahun hadapan, ia akan mempunyai signifikasi ke atas BN dan Najib. Kerana buat masa ini, majoriti yang menunjukkan sokongan ke atas kepimpinan Najib masih mengambil sikap berhati-hati sebelum memberi reaksi secara terbuka kepada BN.

Cabaran besar adalah bagaimana untuk menukar minda masyarakat apabila pesaing BN sering mengaitkan apa sahaja kepincangan dalam sistem termasuk yang berlaku di Parlimen dengan BN. Serta menjayakan perubahan dalam masa 100 hari mentadbir pusat jika menang pada pilihan raya umum akan datang. Dengan kedudukan lebih stabil yang turut memberi keabsahan kepada pentadbiran beliau, kini Najib memberi tumpuan terhadap transformasi politik yang perlu dirungkai dalam gabungan besar BN yang jelas menerusi konvensyen BN baru-baru ini sehingga berubah pendekatan dari bersifat defensif kepada ofensif.

Beralaskan kepada konsep 1Malaysia yang telah menunjukkan tanda-tanda positif di beberapa pilihan raya kecil, apa yang diperlukan oleh BN adalah memastikan isu kepartian ditangani secara berhemah. Ia termasuk isu calon dan jentera parti. Kerana kekuatan BN bergantung kepada keupayaan menggembleng keseluruhan jentera secara holistik dan berpasukan dalam usaha merapatkan barisan sekiranya tidak mahu mengulangi kesilapan 2008.

Barangkali yang perlu diasah adalah untuk memujuk pengundi dalam isu kenaikan harga barang, jenayah, rasuah dan kesamarataan yang akan digunakan oleh pakatan pembangkang. Isu Teoh Beng Hock, pendakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) perlu diberi keadilan sewajarnya di mahkamah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Kelemahan lawan hanya bonus kepada BN dan bukan faktor penarik yang bersifat kekal. Muhasabah melalui amanat Najib boleh menjadi enjin untuk menerajui perubahan. Sekali gus menolak ungkapan 'berubah sekarang' yang cuba ditonjolkan oleh pakatan pembangkang.

Yang perlu diteliti adalah bagaimana gagasan kebangsaan akan dibekalkan kepada orang kampung di luar bandar? Adakah kemahuan, keperluan dan pemikiran mereka digalas dalam agenda besar nasional?

Bagi pakatan pembangkang, walaupun mahu menunjukkan kejaguhan sebagai alternatif kepada BN, rata-rata tidak dapat mengekalkan momentum ketika pesaingnya sedang mengemaskan jentera politik mereka. Krisis keyakinan dan kepercayaan melanda dan ketara ketika pemilihan parti PKR dan DAP yang baru berakhir. Secara berterusan, Anwar sedang berhadapan dengan krisis yang sekiranya berpanjangan boleh menyebabkan beliau dilihat sebagai liabiliti dan bukan lagi aset. Walaupun ada yang beranggapan ia akan menambah sokongan kepada pakatan pembangkang kerana sentimen populis.

Pada waktu yang sama, pendedahan Wikileaks, pendakwaan di mahkamah dan penggantungan di Parlimen akan dinilai oleh pemerhati politik tanah air. Yang menarik adalah bagaimana isu Wikileaks dan kemelut dalaman PKR diminimakan dari sebutan dan kritikan umum.

Ia serta merta dialih perhatian terhadap isu penggantungan di Parlimen dan persediaan pakatan pembangkang menjelang PRU-13 pada konvensyen pakatan pembangkang baru-baru ini. Kelincahan percaturan politik secara terancang ini sepatutnya menyedarkan BN kedudukan mereka kerana yang melemahkan BN adalah 'jentera manipulasi kreatif' dan bukan kewibawaan kepimpinan.

Maka, konvensyen kebangsaan pakatan pembangkang dijadikan landasan untuk menunjukkan wujudnya 'solidariti'. Walaupun kepimpinannya akur wujud kelemahan dan masalah keyakinan ke atas parti gabungan mereka. Tinjauan sokongan yang dilakukan oleh pelbagai pihak menunjukkan pakatan pembangkang tidak lagi meraih sokongan sebagaimana yang dilihat 33 bulan lalu.

Kerangka Common Policy Framework (CPF) dilihat tidak efektif atau perlahan yang boleh memberi kesan pentadbiran di Kedah dan Selangor. Dalam konteks ini, benarkah pakatan pembangkang kuat atau sekadar bergantung kepada kelemahan BN untuk mendapatkan sokongan simpati dari umum semata-mata.

Atau selepas hampir tiga tahun, mereka masih mahu menyalahkan pihak lain dan kurangnya pengalaman jika diteliti prestasi negeri-negeri yang ditadbir oleh mereka sehingga mengedarkan 'dokumen jingga' untuk melenyapkan sebarang kritikan.

Konvensyen BN berbeza dengan pakatan pembangkang. BN tidak perlu membincangkan 'kemuafakatan' tetapi memperkasakan ikatan tersebut. Ini kerana masing-masing sudah mempunyai pemahaman ke atas tingkah laku politik rakan dalam gabungan tersebut. Walaupun ada kalanya isu sensitif menyebabkan wujud rasa tidak setuju antara satu sama lain.

Adakah parti komponen pakatan pembangkang mengenali gerak kerja sesama mereka serta pengembangan ideologi politik kepartian yang masih menjadi 'penghalang' kepada nilai 'solidariti' yang cuba dipamer melalui konvensyen mereka? Atau pemikiran sebagai 'pembangkang' terus menyukarkan pakatan pembangkang untuk bersetuju ke atas pendaftaran logo, manifesto dan perjuangan yang sama?

Dengan berakhirnya konvensyen pakatan pembangkang, ia akan menganggap sudah bermula satu era 'kebangkitan'. Sedangkan golongan yang tidak mempunyai ikatan kepartian mahu satu kepastian bukan dari kelemahan BN.

Tetapi adakah 'kerjasama kekal' dapat dibentuk atau ia akan bersifat retorik sahaja. Pencapaian sebenar di setiap negeri juga mahu dinilai walaupun konvensyen itu menunjukkan ia komited untuk berubah. Ketiga-tiga parti pasti boleh melihat siapakah yang mendapat lonjakan sokongan dari konvensyen itu dan bagaimana manipulasi politik memenangkan hanya satu dan bukan semua dalam pakatan pembangkang.

Calon, isu dan elemen kepartian akan mendasari PRU-13 kerana provokasi berlebihan hanya akan meningkatkan emosi pengundi tegar dan bukan pengundi dari kategori lain. Apabila kekuatan dan kelemahan dikaji, dibuat telahan secara jujur atau semata-mata mahu berkuasa, maka politics is the art of the possible menyebabkan para politikus bersedia untuk menggunakan apa sahaja mekanisme untuk pertahankan kepentingan diri dan bukan parti.

Pasca Mac 2008 menunjukkan bahawa politik tanah air tiba-tiba berada di persimpangan. Sama ada dijinakkan oleh 'berubah sekarang' ataupun meneruskan tradisi 'kestabilan dalam menerajui perubahan dari sistem sedia ada'. Pengundi yang rasional dan praktikal sudah tidak bergantung kepada emosi, kemarahan dan kekecewaan 2007-2008.

Tetapi, keyakinan dan kepercayaan umum masih bergantung kepada sejauh mana pemimpin mempertahankan hak mereka dalam melahirkan masyarakat saksama yang boleh dilihat melalui cara berfungsi sebagai representasi politik yang dipilih.

Umum akan menentukan siapakah yang kuat atau lemah berdasarkan kepada keutamaan dan tafsiran masing-masing. Kerana politik juga kadang-kadang memuakkan segelintir rakyat yang dahagakan 'kematangan' dan 'politik bermoral atau berhemah'. Seiring dengan proses pembaharuan pasca Mac 2008 tanpa bersifat populis sepanjang masa.

Oleh : PENA - UM

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: