Selasa, Disember 21, 2010

Artikel pilihan : Rasiskah Utusan Malaysia?

Seorang rakan yang juga wartawan akhbar ini mengirim e-mel kepada sebuah syarikat dalam industri pelancongan untuk menawarkan satu bentuk kerjasama. Niat rakan media tadi adalah murni iaitu untuk mempelawa syarikat tersebut menjadi sumber kepada bahan berita bagi ruangannya.

Sepanjang penulis menjadi wartawan, pelawaan sebegitu kebiasaannya akan disambut dengan tangan terbuka.

Ini kerana ia memberi peluang kepada pihak terbabit mempromosikan aktiviti atau perkhidmatan mereka kepada orang ramai secara percuma. Ia sebenarnya lebih kepada satu situasi menang-menang kerana kedua-dua pihak mendapat keuntungan.

Namun keadaan sebaliknya berlaku kepada rakan wartawan tadi. Pelawaannya bukan sahaja ditolak mentah-mentah, tetapi turut disertakan dengan sindiran yang sinis dan menyakitkan hati.

Balasan e-mel yang diterima selepas diterjemah ke dalam bahasa Melayu berbunyi lebih kurang begini: ''Minta maaf, saya memiliki pandangan yang tidak baik terhadap akhbar ini. Akhbar ini menyebarkan sentimen perkauman dan tidak sepenuhnya benar. Saya tidak boleh membenarkan syarikat ini bekerjasama dengan perkara (perkauman dan tidak sepenuhnya benar) sebegitu,".

Kami tidak kisah jika syarikat tersebut menolak untuk bekerjasama. Tetapi untuk mengatakan akhbar ini rasis dan berbohong, ia adalah satu tuduhan yang melampau dan sangat tidak berasas.

Adakah wakil syarikat yang mengirim e-mel balasan itu benar-benar membaca akhbar Utusan Malaysia untuk membuat penilaian sedemikian terhadap akhbar ini?

Penulis berpendapat, wakil syarikat itu sebenarnya langsung tidak pernah meluangkan masa untuk meneliti akhbar ini. Kerana jika beliau berbuat demikian, tuduhan sebegitu tidak akan dibuat secara melulu. Penulis juga sangat yakin, wakil syarikat itu juga tidak pernah membaca akhbar lain termasuk akhbar bahasa ibundanya sendiri iaitu akhbar Cina.

Jika wakil syarikat itu benar-benar membaca dan meneliti akhbar Cina, penulis kira tanggapan beliau terhadap akhbar ini akan berubah serta-merta. Rakan-rakan media di akhbar Cina jangan salah faham dengan kenyataan ini.

Penulis tidak mengatakan akhbar Cina rasis atau menggalakkan sikap perkauman. Tetapi apa yang cuba penulis jelaskan di sini ialah, pada kebanyakan masa, akhbar-akhbar Cina akan menjadi jaguh dan menjuarai isu-isu yang berkaitan dengan masyarakat Cina.

Ini termasuklah dalam soal agama, budaya, bahasa, pendidikan, ekonomi, sosial dan banyak lagi. Justeru, apa bezanya perjuangan akhbar-akhbar Cina itu dengan akhbar Utusan Malaysia? Bukankah akhbar ini juga perlu menjadi suara bagi orang Melayu dalam isu-isu yang berkaitan secara langsung dengan masyarakat Melayu dan bumiputera?

Atau mungkin wakil syarikat tadi mahu semua akhbar di negara ini tidak kira berbahasa Melayu, Mandarin, Tamil atau Inggeris hanya fokus kepada masalah masyarakat Cina semata-mata? Baru akhbar di negara ini boleh dikatakan tidak perkauman, tidak berbohong, adil dan bebas?

Apa yang boleh disimpulkan daripada e-mel wakil syarikat itu ialah satu bentuk ketidakfahaman yang jelas orang ramai terhadap peranan media.

Sebagai akhbar arus perdana, Utusan Malaysia menjunjung tinggi semangat perpaduan dan kebersamaan di kalangan masyarakat majmuk di negara ini. Itu adalah tanggungjawab yang tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pengamal media sekali pun.

Begitu pun penulis mengakui akhbar ini terutama selepas Pilihan Raya Umum 2008, agak lantang dan ke hadapan dalam perjuangan berkaitan isu-isu orang Melayu dan agama Islam.

Namun pembaca terutama yang bukan Melayu perlu faham, selepas pilihan raya 2008, terlalu banyak serangan ditujukan terhadap orang Melayu dan agama Islam. Ia termasuk dalam isu bahasa, biasiswa, kuota, ekuiti, kedudukan raja-raja, sehinggalah kepada kesucian kalimah Allah.

Malah, suara-suara sedemikian masih lagi kedengaran sehingga ke hari ini. Sedangkan perkara-perkara itu sudah disebut dengan jelas di dalam perlembagaan sebagai hak-hak istimewa orang Melayu.

Maka, Utusan Malaysia perlu menjelaskan kedudukan sebenar mengenai perkara tersebut kepada khalayak pembaca agar orang ramai tidak dipesongkan daripada hakikat sebenar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab mencetuskan isu tersebut.

Penulis tidak melihat apa yang dilakukan oleh akhbar ini serta akhbar-akhbar berbahasa Melayu yang lainnya itu sebagai satu tindakan perkauman. Ia sebaliknya lebih kepada tanggungjawab dalam mempertahankan apa yang hak dan memperbetulkan salah tanggapan di kalangan sesetengah pihak yang bersikap oportunis.

Apakah dalam hal ini, orang Melayu boleh berharap kepada akhbar Cina, Tamil atau Inggeris untuk memainkan peranan itu? Begitu pun, penulis tidak menyalahkan wakil syarikat itu kerana penulis yakin beliau tidak berseorangan dalam berpandangan sedemikian.

Ramai sebenarnya yang mendapatkan gambaran yang tidak tepat mengenai Utusan Malaysia. Sentimen politik juga tidak menyebelahi akhbar ini apabila pembangkang boleh disifatkan berjaya membalikkan imej akhbar ini sebagai rasis dan tali barut kerajaan.

Lihat sahaja bagaimana Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuduh pendokong dan peminat akhbar ini sebagai bukan rakyat Malaysia sebenar kerana kononnya menggunakan fahaman ekstremis.

Sikap pemimpin politik seperti ini yang menyalahkan akhbar kerana melaporkan kepincangan parti dan pentadbirannya adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Guan Eng serta pemimpin politik sealirannya tidak boleh mengharapkan media memuji beliau melangit ketika kebajikan rakyat terutamanya masyarakat Melayu di Pulau Pinang tidak diendahkan.

Penulis tidak mahu menulis panjang mengenai sikap ahli politik sebegini kerana cukup faham agenda di sebalik tindakan mereka menghentam akhbar ini. Tetapi pembaca di luar sana perlu lebih realistik dalam menilai akhbar ini dan tidak terikut-ikut dengan sentimen yang dimainkan oleh ahli politik.

Nasihat penulis kepada wakil syarikat tadi serta pembaca lain di luar sana, luangkan masa meneliti kandungan akhbar ini dan fahami apa yang kami perjuangkan.

Penulis yakin jika peranan Utusan Malaysia sebagai 'Penyebar Fikiran Rakyat' benar-benar difahami, wakil syarikat tersebut serta ramai lagi yang berpandangan seperti beliau akan menjadi pembaca setia Utusan Malaysia selepas ini.

Utusan Online

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: