Khamis, Disember 02, 2010

Soksek-soksek akhbar berbahasa Cina!

ANWAR JADI PM, KIT SIANG JADI TPM

Akhbar Sin Chew Daily pada 27 November lalu menyiarkan artikel wawancara dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan sempena Perhimpunan Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia merupakan wawancara penuh yang mana Anwar menyebut bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri dan penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai pilihan Timbalan Perdana Menteri apabila pakatan pembangkang ke Putrajaya nanti.

Dalam wawancara itu, Anwar memberitahu, pakatan pembangkang telah bersetuju dan menyelesaikan mengenai pembahagian kerusi dengan pembahagian kerusi di Sarawak telah hampir 95 peratus selesai.

Kata beliau, pakatan pembangkang terutama dalam PKR akan lebih teliti dalam pemilihan calon yang bertanding dan mungkin akan mengarahkan calon-calon menandatangani satu surat perjanjian akujanji dan sumpah setia kepada parti. Ini bagi memastikan calon-calon itu tidak akan keluar parti selepas menang pada pilihan raya itu nanti.

Kabinet bayangan pula katanya akan diumumkan pada perhimpunan pakatan pembangkang 19 Disember ini termasuk strategi-strategi bagi pilihan raya umum akan datang.

Anwar turut menyentuh mengenai kuasa ketiga yang menyokong BN yang dikatakan akan menggugat kemenangan pakatan pembangkang pada pilihan raya umum itu nanti.

‘‘Saya tidak berani memastikan kuasa ketiga itu ada kaitannya dengan Zaid atau tidak kerana ia baru sahaja bermula. Saya rasa itu mungkin juga berlaku. Saya juga tidak tahu siapa yang berada di belakang dan mendalangi kuasa itu ketiga itu. Siapa yang menaja mereka, berapa kuatkan mereka dan siapa ahli mereka. Apa pula perbezaannya dengan konsep, polisi dan amalan yang ada dalam PKR,” Anwar dipetik sebagai berkata.

Beliau menambah: ‘‘Apa yang saya nampak kuasa ketiga itu akan berlaku dari Hindraf kerana Hindraf ada lima puak dan salah satu puak itu akan berpecah keluar. Tetapi kuasa itu hanya memperjuangkan hak dan kepentingan orang India. Ini bukan yang kita mahukan. Kita menentang UMNO, pokok utama ialah menentang perkauman yang diamalkan dalam UMNO.”

Kepada isu pemilihan secara terus di dalam PKR, Anwar mengaku parti itu tidak membuat persiapan yang rapi. Beliau memberikan contoh di setiap bahagian yang hanya ada satu tempat mengundi menyebabkan kurang kemudahan untuk ahli-ahli yang hadir.

Katanya walaupun banyak aduan diterima pada pemilihan kali ini, namun pemilihan secara langsung yang dijalankan tidak gagal kerana seramai 70,000 orang ahli telah keluar mengundi. Tambah beliau, pakatan pembangkang tidak akan meniru cara pemilihan terus BN dan berkata itu merupakan taktik UMNO dan tidak menunjukkan kesan yang baik.

Anwar dalam wawancara yang sama turut menyebut pakatan pembangkang tetap akan kukuh dan stabil meskipun dengan ketiadaan beliau kerana DAP dan Pas mempunyai ramai pemimpin yang hebat.

Kata beliau, kerjasama antara DAP dan Pas sudah lebih baik berbanding dulu meskipun masih belum boleh dikatakan terlalu rapat. Tetapi jurang perbezaan antara kedua-dua parti telah didekatkan dan mereka tidak lagi bertentangan fahaman mengenai isu ‘Negara Islam’. Sebaliknya berjuang bersama untuk kepentingan negara.

‘‘Saya faham DAP tidak puas hati terhadap Pas yang mahu menubuhkan konsep Negara Islam. Sebaliknya negara kita adalah negara yang ada undang-undang, tidak boleh dengan mudah jika mahu menjadikan negara ini negara Islam untuk konsep Negara Islam itu terus terlaksana. Kontrak masyarakat yang ada di negara kita menunjukkan dengan jelas satu budaya di negara ini. Ini perlu melihat kepada pandangan dan pemikiran seseorang itu bagaimana ia terjemahkannya,” kata beliau.

STRATEGI AHLI BERSEKUTU BN

Akhbar China Press pada 25 November lalu menyiarkan sebuah artikel mengenai keputusan Barisan Nasional (BN) memperkenalkan status ahli bersekutu. Artikel bertajuk ‘Hindarkan jangkauan sejarah’ itu ditulis oleh Hu Shou dan disiarkan menerusi ruangan perbincangan umum akhbar itu.

Menurut Hu Shuo, rakyat, negara dan sistem berpolitik ketika ini telah mengalami perubahan. Banyak parti yang masih berpakaian idea pada zaman 1970-an sudah tidak mampu untuk menyesuaikan diri lagi.

Pas yang paling awal melihat perubahan ini. Parti itu membuka penyertaan di kalangan orang bukan Islam dengan menubuhkan kelab penyokong Pas. Bukan Islam bermakna bukan ahli dalam Pas dan mereka tidak semestinya menyokong ideologi Pas.

Tetapi mereka boleh menggunakan bendera Pas untuk bertanding. BN baru-baru ini juga mengutarakan perkara yang sama. Presiden BN akan menentukan calon-calon di semua kawasan bertanding dan ini membuka ruang kepada ahli bersekutu.

Sebelum ini BN menggunakan sistem pembahagian kek iaitu untuk MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti komponen lain. Tetapi keadaan hari ini sudah berbeza. Gerakan telah mengalami kehancuran dan masa depan MCA juga tidak dapat dipastikan.

Ribut yang melanda MIC juga begitu kuat dan tidak menentu. Hanya UMNO yang masih berkuasa penuh. Dalam keadaan seperti ini, apa yang berlaku pada UMNO sama seperti Pas. Jika BN melepaskan Gerakan, sudah tentu semangat BN akan terjejas.

Melepaskan MCA pula merupakan kesilapan kerana akan mengurangkan perwakilan dari kalangan orang Cina dalam kerajaan. Ini yang membuatkan ramai pening kepala.

Cara mudah untuk melepaskan mereka ialah dengan membuka keahlian bersekutu dalam BN. Mereka bukan ahli UMNO, bukan ahli Gerakan dan sama sekali bukan ahli MCA dan MIC. Tetapi mereka ini cintakan BN. Ini merupakan strategi yang baik.

Dengan itu BN tidak perlu lagi bergantung kepada MIC dan MCA untuk menjadi wakil orang Cina atau India. Ketika itu, orang Cina dan India tidak boleh membantah jika wakil-wakil dari kalangan kaum mereka tidak cukup, boleh dicari dari kalangan ahli bersekutu.

BN selepas ini juga boleh menarik ahli dari kalangan pembangkang dengan lebih terbuka dan mudah. Jika mereka menjadi ahli bersekutu, itu pun sudah cukup memadai. Tetapi yang paling risau dan membantah pelaksanaan ini ialah MCA. Sedangkan MIC dan Gerakan tidak menunjukkan sebarang reaksi.

Ketika ini, parti-parti politik yang sudah kehilangan payung dalam BN, tidak tahu ke mana hala tuju mereka dan tidak tahu untuk bertahan.-UM-

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: