Sabtu, Disember 25, 2010

Soksek-soksek akhbar berbahasa Cina!

JIKA PAKATAN PEMBANGKANG BERKUASA

SINCHEW Daily keluaran 20 Disember memuatkan laporan konvensyen pakatan pembangkang di muka hadapan.

Akhbar itu menyatakan mengenai hasrat pakatan pembangkang untuk mengarahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membeli kembali saham lebuh raya supaya menjadi hak milik kerajaan dan rakyat dapat menggunakan lebuh raya secara percuma. ‘‘Ketiga-tiga pemimpin tertinggi pakatan pembangkang berkata, jika mereka mentadbir negara ini dalam tempoh 100 hari, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan dan dan tol diberi percuma,’’ kata akhbar berkenaan.

Dalam konvensyen berkenaan, pemimpin pakatan pembangkang meminta rakyat memberi peluang kepada mereka untuk menubuhkan kerajaan di peringkat pusat supaya proses refomasi negara ini terus maju.

‘‘Pakatan pembangkang turut mengumumkan 10 pelan polisi subsidi untuk kepentingan rakyat termasuk mengubah struktur pemerintahan kerajaan supaya pulih dan mendapat kepercayaan semua,’’ tambah akhbar itu.

Antara pelan yang diumum ialah:

* Kaji semula gaji kakitangan kerajaan, peranan dan sumbangan mereka.

* Gaji guru dinaikkan RM500.

* Rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas akan dapat pampasan RM1,000 setahun.

* Syarikat air yang diswastakan melalui kontrak khas akan diambil-alih oleh
kerajaan semula.

* Internet percuma untuk penduduk pedalaman.

* Hapuskan kawasan Felda.

* Tingkatkan royalti minyak sebanyak 20 peratus untuk Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.

* Siasatan Diraja untuk isu kerakyatan pendatang tanpa izin di Sabah.

Menurut pakatan pembangkang, pelan yang dikemukakan adalah telus, lengkap dan berdasarkan demokrasi. Polisi Adil Untuk Rakyat Malaysia Dan Layanan Sama Rata. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, rakyat Malaysia yang sebenar adalah mereka yang mahukan polisi yang adil dan sama rata serta semua dilayan sama rata.

‘‘Kata Guan Eng, pakatan pembangkang berusaha keras untuk keadilan, kebenaran dan kebebasan. Barisan Nasional (BN) menggunakan pihak media dan lupa kepada orang ramai,’’ lapor akhbar itu.

KEKECOHAN DI PARLIMEN

Timbalan editor Sinchew Daily, Lim Swee Guan mengulas mengenai kekecohan di Parlimen dalam akhbar bertarikh 17 Disember. Pada pendapat beliau, sejak Mac 2008, Parlimen tidak pernah sunyi dari suasana kecoh. Kekecohan semakin teruk pada dua hari terakhir persidangan dengan empat wakil rakyat pembangkang digantung enam bulan. ‘‘Pilihan raya hampir tiba, parti pembangkang dan pemerintah kini semakin hangat dan saling bertelagah,’’ katanya.

Jelas Swee Guan, pakatan pembangkang boleh menggunakan isu penggantungan empat wakil rakyatnya untuk mendapatkan simpati rakyat.

‘‘Tetapi jika isu ini dimainkan secara keterlaluan, pakatan pembangkang mungkin mendapat impak negatif. Selama dua tahun sembilan bulan rakyat melihat banyak wayang dan pertelingkahan politik yang membosankan. ‘‘Pembangkang mahupun BN tidak tahu menggunakan kekuatan masing-masing. Mungkin pihak lain akan mendapat untung kerana pengundi yang tidak puas hati akan pilih pihak ketiga,’’ katanya.

Jelas Swee Guan, beliau tidak mahu berpihak kepada pembangkang mahupun kerajaan. ‘‘Namun dalam dua tahun sembilan bulan ini, ahli-ahli politik di Dewan Rakyat hanya membazirkan masa. Mereka tidak menumpukan kepada pentadbiran negara ini. Dewan Rakyat sudah hilang fungsi sebagai tempat berdemokrasi. ‘‘Dewan Rakyat menjadi medan perang. Satu lagi masalah besar ialah ahli Parlimen yang tidak matang,’’ katanya.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam sesi penggulungan bahas tahun lalu memuji ahli Parlimen Kepong dari DAP, Dr. Tan Seng Giaw yang berkelakuan baik sepanjang persidangan. ‘‘Seng Giaw dipuji kerana bersikap penuh sopan dan berupaya berhujah dengan baik tanpa bertikam lidah.

Namun ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang berbalah langsung tidak menghormati Speaker. ‘‘Mac lalu Pandikar menjalani pembedahan jantung. Dalam mengurangkan tekanan jantung, beliau pasti mahu melihat lebih ramai Ahli Parlimen seperti Seng Giaw supaya Dewan Rakyat lebih aman,’’ jelasnya.

Tambah Swee Guan, dalam seminar sempena Jubli Emas Dewan Rakyat, Pandikar menayangkan video perlakuan Ahli Parlimen termasuk Karpal Singh yang mempertikai Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad yang tidak mengangkat tangan semasa angkat sumpah.

Dalam menolak hujah Karpal, Pandikar berkata, mungkin Abdul Latiff sakit tangan. Turut ditayangkan ialah tindakan Gorbind Singh Deo keluarkan kata-kata kurang sopan hingga dilarang masuk ke Dewan Rakyat.

‘‘Ahli Parlimen Bukit Gantang, Mohd. Nizar Jamaluddin melaungkan perkataan ‘hidup rakyat dalam Dewan Rakyat dan mengikat kain hitam isu ‘pembubaran Dewan Negeri Perak’. Jika kita menyaksikan video itu mungkin kita akan tergelak besar. ‘‘Isu sebenar kecil sahaja, perbalahan diperbesar-besarkan sehingga boleh melumpuhkan dewan.

Negara membazirkan banyak duit rakyat untuk mengadakan pilihan raya, mewujudkan Dewan Rakyat dengan wakil rakyat mendapat elaun RM200 sehari. Tetapi elaun itu umpama duit yang dicampak ke laut,’’ jelasnya.

Apakah perbalahan Dewan Rakyat di negara ini akan menjadi seperti di Taiwan dan Korea? Adakah itu dikatakan lebih demokrasi? Penulis juga berharap ahli-ahli Parlimen tidak diserang sakit jantung satu hari nanti. Jika itu berlaku mungkin Parlimen Malaysia akan menempah satu lagi sejarah besar.- UM -

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: