Selasa, Januari 11, 2011

Novel Interlok : Nasihat buat segelintir masyarakat India - Jangan cepat melatah!















Agak menyedihkan apabila novel bertajuk Interlok milik Datuk Abdullah Hussain dibakar oleh 100 penduduk berketurunan India di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK), baru-baru ini. Tindakan kumpulan berkenaan menampar, membakar gambar penulis novel Interlok itu dan menggelarnya sasterawan bodoh dianggap keterlaluan dan satu penghinaan tidak bertamadun.

Penghinaan terhadap sasterawan negara itu dilihat sama seperti penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong kerana gelaran itu diberikan baginda. Novel Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi kontroversi kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India pada kandungan muka surat 211 dan 220.

Kelmarin, Parti Progresif Penduduk (PPP), Parti Makkal Sakti dan Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (Prima) bertindak menggesa kerajaan untuk mengharamkan dan menarik semula novel itu daripada dijadikan bahan rujukan sekolah.

Tindakan membakar novel tersebut disifatkan sebagai kurang matang. Sepatutnya pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan. Perbincangan secara intelektual dan bertamadun adalah perlu. Malah penulis itu tidak pernah berada atas pentas politik. Namun perkara ini sebaliknya berlaku, terlalu kebudak-budakan, kurang matang dan terburu-buru serta bersifat politik.

Penulisan novel adalah berdasarkan fakta sejarah, menceritakan ikatan dan pertalian antara tiga kaum utama negara ini iaitu Melayu, Cina dan India yang membawa mesej keharmonian. Ketika karya ini diterbitkan 40 tahun dahulu tiada siapa bangkang tetapi peliknya kenapa sekarang baru jadi sensitif! Tindakan membakar novel itu merupakan tindakan melulu tanpa meneliti secara keseluruhan karya dihasilkan berdasarkan fakta-fakta sejarah yang tepat.

Konteks penggunaan perkataan 'paria' dalam novel Interlok boleh dijelaskan dengan tepat kepada pelajar Tingkatan Lima yang bakal menggunakannya sebagai komponen teks sastera mulai tahun ini. Malah istilah tersebut tidak perlu diubah atau digantikan dengan perkataan lain cuma diterangkan melalui nota kaki di bawah halaman novel karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain itu.

Memang menjadi tugas guru untuk menerangkan kepada pelajar penggunaan perkataan ini yang dianggap sensitif supaya generasi muda dapat memahaminya mengikut konteks asal. Ini kerana latar sosial masyarakat India melalui kasta tersebut sememangnya wujud mengikut sejarah peradaban India.

Tidak ada sebarang cacat cela pada novel itu sehingga boleh menimbulkan kemarahan sebilangan masyarakat India negara ini kecuali ia dipolitikkan bagi tujuan tertentu. Mengapa mereka perlu takut dengan baying-bayang mereka sendiri! Novel tersebut merakam peristiwa sejarah di ambang kemerdekaan ketika Malaysia didatangi buruh-buruh asing bagi tujuan ekonomi kolonial dan penulis menceritakan peristiwa itu berdasarkan bukti sosiobudaya pada masa itu.

Bagi penulis kewujudan kasta yang digambarkan oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussein dalam novelnya, Interlok, itu bukanya suatu bentuk penghinaan kepada mana-mana kaum malah merupakan realiti pada zaman berkenaan. Golongan kasta itu dibawa oleh penjajah Inggeris untuk manipulasi ekonomi mereka.

Abdullah tidak membohongi fakta sejarah dengan mengatakan bahawa dalam kapal itu bersesak-sesak golongan Brahmin atau golongan Ksyatria dibawa oleh Inggeris untuk menjadi buruh kereta api atau buruh di ladang getah. Konteks yang menggambarkan suasana dalam kapal itu pula menunjukkan nilai murni golongan tersebut yang memiliki perasaan dan kesediaan hidup bersama tanpa berasa bimbang oleh sebab berlainan taraf atau kasta.

Sehubungan penulis meminta supaya semua pihak membuat renungan yang rasional dan ilmiah dalam membuat sesuatu rumusan dan perlu menghayati teks sastera dalam konteks wacana sosiobudaya dan sejarah, bukan berdasarkan sentimen sempit yang tidak ilmiah. Perkara tersebut akan bertambah rumit lagi jika isu itu dikaitkan pula dengan perhitungan politik yang sempit.

Air mata sasterawan

Tiada apa yang lebih meremukkan hati seorang penulis apabila melihat karyanya dihina dan dipolitikkan pihak tertentu hanya kerana kandungannya tidak difahami secara keseluruhannya.

Itulah yang dirasakan oleh Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain 91, ketika menatap gambar sekumpulan penduduk kaum India membakar novel Interlok karya beliau di Klang, Selangor yang disiarkan akhbar ini, baru-baru ini.

Dalam linangan air mata, Abdullah turut melahirkan kekesalan yang mendalam apabila karyanya yang diterbitkan 40 tahun lalu disalahertikan oleh pihak tertentu. Abdullah yang berkerusi roda ketika ditemui meminta untuk berbaring ketika menjawab soalan-soalan yang dikemukakan kerana keuzurannya. Malah, beliau juga hanya mampu menjawab soalan-soalan itu secara bertulis kerana tidak berdaya lagi untuk berbicara.

Ikuti soal jawab itu yang terpaksa dilakukan dengan ringkas ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan ketika ditemubual oleh wartawan dari Utusan Malaysia.

Bagaimana perasaan Datuk dengan apa yang menimpa karya Interlok?
Abdullah: Saya berasa dukacita kerana maksud saya baik, tetapi orang salah menerima.

Apa yang tidak difahami oleh kaum India menerusi buku Interlok itu?
Abdullah: Di India (terutamanya di India Selatan), masih kuat dengan fahaman ‘paria'. Saya ikut Mahatma Gandhi. Tetapi orang India di sini cuba melupakannya.

Apa sebenarnya yang cuba disampaikan menerusi Interlok?
Abdullah: Ia merupakan kisah Maniam, iaitu watak utama seorang India dari India Selatan. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di sini. Dia seronok menaiki kapal bersama orang India yang lain dan seronok apabila sampai di Pulau Pinang. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di Malaysia.

Nasihat Datuk kepada kaum India yang menolak buku ini?
Abdullah: Baca betul-betul (Interlok) apa maksud sebenar saya tulis. (Saya) bukan mahu menghina masyarakat India.

Datuk masih menulis?
Abdullah: Saya tidak lagi boleh menulis. Menulis memerlukan saya bergaul dengan banyak orang.

Bagi penulis disinilah punca sebenarnya masalah kaum India di negara kita. Walaupun mereka tidak mengakuinya, tetapi masih lagi terdapat " jurang yang besar " sesama mereka. Dalam erti kata lain masyarakat India di Malaysia masih kuat lagi mengamalkan apa yang dikatakan " amalan sistem kasta " sepertimana yang masih diamalkan lagi di negara India itu sendiri. Walaupun apa yang diceritakan oleh Datuk Abdullah itu berkisar fakta sejarah diwaktu itu namun perkara ini memang tidak boleh dinafikan. Ianya masih berlanjutan sehingga sekarang ini!

Kita boleh lihat sendiri cara-cara golongan sederhana atau tinggi ( kasta atasan ) berinteraksi dengan golongan bawahan ini ( berpendapatan rendah ). Golongan atasan pada kebiasaan akan memandang rendah akan golongan bertaraf rendah ( bawahan ).

Penulis mengambil contoh sebuah Parti politik kaum India iaitu IPF. Kalau kita masih ingat, mendiang Tan Sri Pandithan sentiasa berusaha keras cuba merapatkan jurang perbezaan ini. MIC mewakili kaum India manakala IPF juga mewakili kaum yang sama. Cuma yang berbeza adalah " darjat ".

MIC sepatutnya boleh menerima ahli-ahli IPF menjadi ahli mereka jika mereka memikirkan untuk mendapat sokongan dan menambah kekuatan parti dari kaum India, tetapi sebaliknya tidak. Apabila IPF memohon untuk menjadi komponen Barisan Nasional, mereka membantah. Yang menjadi batu penghalangnya adalah amalan kasta atau darjat ini.

Tan Sri Pandithan cuba meleraikan " batu halangan " ini telah menjadi amalan bagi kaum India di Malaysia sejak turun temurun, tetapi usaha mendiang dipandang sepi oleh ketua-ketua masyarakat India. Walaupun kaum India mewakili penduduk minoriti iaitu lebih kurang 2 juta dari penduduk Malaysia, namun pemimpin-pemimpin kaum India sebenarnya tidak boleh duduk semeja untuk berbincang.

Walaupun terdapat ramai dikalangan kaum India yang sudah berjaya menjadi kaya, menjadi golongan professional seperti doktor, peguam, jurutera dan lain-lain lagi, mereka gagal bersatu untuk membantu kaum India yang hidup dibawah paras kemiskinan ataupun kemiskinan tegar.

Mereka tiada persatuan-persatuan kebajikan yang boleh menolong dan mengurangkan beban golongan yang miskin. Kalau ada pun tak banyak. Masing-masing ego dengan kekayaan atau kepandaian masing-masing. Lebih-lebih lagi jika ada diantara mereka yang terdiri dari golongan atasan.

Sebab itu kita boleh lihat dimana yang kaya dari golongan berdarjat tinggi akan bertambah kaya, manakala yang miskin dari golongan berdarjat rendah atau bawahan akan pula menjadi bertambah miskin. Yang kaya agak sukar untuk membantu golongan miskin. Mereka tiada kata sepakat dalam mencari jalan untuk membantu kaum mereka sendiri.

Selagi ikatan " darjat atau kasta " ini tidak terlerai, selagi itu lah masyarakat India akan berdepan dengan masalah kemiskinan tegar dan masalah-masalah lain kerana dikalangan orang-orang India sendiri tidak bersatu. " Sistem kasta " inilah yang sebenarnya menjadi batu halangan atau duri dalam daging kepada masyarakat India di Malaysia untuk bersatu dalam memajukan bangsa mereka sendiri. Hakikatnya orang India sendiri yang gagal membantu kaum mereka sendiri.

Mungkin diatas sebab-sebab inilah Tan Sri Pandithan bertindak keluar dari parti MIC dan menubuhkan parti IPF kerana kecewa dengan tindak tanduk MIC tidak mahu membantu golongan miskin dikalangan penduduk keturunan India. Contohnya penduduk-penduduk India di estet-estet diseluruh negara.

Sesungguhnya kehilangan mendiang Tan Sri Pandithan akan diratapi oleh seluruh masyarakat India yang berpendapatan rendah dan golongan bawahan di Malaysia. Menurut bekas Naib Presiden MIC itu, beliau akan menghembuskan nafas terakhirnya sebagai ahli IPF dan terus berjuang untuk mempertabatkan golongan-golongan kaum masyarakat India bawahan.

Antara kata-kata M.G.Pandithan semasa di perhimpunan Agung IPF tidak lama dulu ketika menjemput Dato' Sri Samy Vellu merasmikan Mesyuarat Agung IPF selepas 20 tahun meninggalkan MIC.

'' Saya akan berjuang dalam IPF sehingga ke akhir titisan darah saya. Ada pihak berkata Pandithan akan menjual parti, membubarkan IPF setelah kembali berdamai dengan Samy Vellu. Ini semua tidak benar. ''

Hari ini saya jawab kesemua tuduhan yang dilemparkan ke atas saya. Pandithan akan mati sebagai ahli IPF dan tidak akan membubarkan parti ini sehingga akhir nyawa saya, katanya .

Antara kata-kata lain mendiang yang begitu menyentuh hati adalah, " Bukan pilihan saya untuk lahir dalam keluarga berkasta rendah, ini semua ditentukan oleh Tuhan yang juga menentukan siapa yang akan dilahirkan sebagai Melayu, Cina atau India. Malangnya manusia tidak menyedarinya." semasa terlantar dihospital suatu ketika dahulu.

Ketika Kongres MIC berlangsung di PWTC tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan kongres tersebut, menggesa MIC supaya tidak menggunakan sistem kasta sebagai faktor utama atau penentu untuk memilih pemimpin di semua peringkat. Perdana Menteri berkata, pemimpin perlu dipilih berdasarkan keupayaan, kebolehan dan kewibawaan untuk berkhidmat kepada masyarakat India.

Penulis amat bersetuju apabila ada enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis untuk mempertahankan maruah dan reputasi Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain. NGO-NGO terbabit adalah Gabungan Pelajar Semenanjung Malaysia (GPMS), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Persatuan Penulis Nasional (Pena).

Selain itu, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Majlis Kebudayaan Negeri Selangor dan Persatuan Ikatan Melayu Asli Nusantara (Iman). Kita berharap agar pihak polis dapat mengambil tindakan memandangkan kejadian itu boleh menggugat kestabilan dan keharmonian kaum di negara ini.

Dan bagi IPF pula, semuga usaha murni mendiang Tan Sri Pandithan akan diteruskan oleh isteri mendiang dan juga ahli-ahli IPF yang lain dalam membantu golongan-golongan yang berpendapatan rendah dan juga kemiskinan tegar. Dan didalam usaha memantapkan lagi Barisan Nasional, diharap hasrat dan permohonan IPF untuk menjadi salah satu komponen Barisan Nasional akan diterima dengan tangan terbuka. Sekurang-kurangnya ada suara mereka di dalam parti pemerintah untuk membantu masyarakat kaum India yang daif.

Kepada MIC, lupakan persengketaan anda dengan IPF. Terimalah IPF dengan se adanya. Bersatulah demi kebaikan semua masyarakat India di Malaysia. Ini cuma satu pandangan ikhlas dari penulis sebagai rakyat Malaysia untuk melihat semua rakyat Malaysia dapat hidup dengan aman damai dan bersatu dalam memakmurkan negara.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: