Jumaat, Februari 11, 2011

Kerajaan PKR Selangor bersubahat : Noh!

Keputusan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor membiayai kos perundangan Shuhaimi Shafiei yang berhadapan dengan tuduhan menghasut jelas membuktikan mereka bersubahat sekali gus merestui perbuatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, ia bukan satu tuduhan sebaliknya merupakan fakta yang tidak perlu dipertikaikan.

Beliau berkata, sekiranya Kerajaan PKR Selangor tidak mahu dilihat bersekongkol, sudah pasti mereka membiarkan sahaja Shuhaimi menanggung kos perundangan sendiri sepanjang kesnya dibicarakan di mahkamah.

"Jika ini keputusan Kerajaan PKR Selangor, kes yang melibatkan Shuhaimi bukan berbentuk peribadi sebaliknya ia turut membabitkan kerajaan negeri.

"Saya bercakap atas fakta. Sekiranya tiada kepentingan kerajaan negeri tidak mungkin membiayai segala kos perundangan Shuhaimi. Ini tidak, mereka bersungguh mahu membela Shuhaimi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 4 Februari lalu, Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan memberitahu, Kerajaan PKR Selangor akan memberi sokongan penuh kepada Shuhaimi yang didakwa atas tuduhan menghasut.

ADUN Sri Muda itu yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Kota Raja dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan berhubung satu entri dalam blognya yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Bagaimanapun, langkah Selangor itu dibidas oleh beberapa pihak kerana peruntukan yang akan digunakan itu bakal membabitkan wang rakyat. Dalam pada itu, Noh meminta semua rakyat Selangor supaya menilai dengan bijak tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri itu.

"Kerajaan PKR Selangor sebenarnya menunjukkan pendiriannya di dalam isu ini walaupun secara tidak rasmi. Mereka jelas menyokong tindakan Shuhaimi yang kini berhadapan dengan dakwaan menghasut," katanya. Klik di SINI .


Sementara itu : MB Selangor tolak kritikan

Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tetap dengan keputusan untuk membiayai kos perundangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menghasut.

Tanpa mempedulikan kritikan pelbagai pihak kerana menggunakan dana kerajaan negeri bagi tujuan itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pembiayaan itu akan diteruskan atas 'prinsip kebebasan bersuara' selain alasan bahawa Shuhaimi merupakan wakil rakyat di negeri itu.

Katanya, langkah membiayai kos perundangan Shuhaimi dilakukan kerana kerajaan negeri percaya wakil rakyat PKR itu menjalankan tugasnya untuk rakyat Selangor.

"Mesyuarat Exco memutuskan untuk memberikan kemudahan guaman (kepada Shuhaimi). Sebagai seorang wakil rakyat beliau perlu bersuara.

"Bagaimanapun, ada hadnya kerana kita tidak bayar wang jaminan kepada Shuhaimi, kita beri kemudahan guaman (tanggung kos perundangan) sahaja," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus baru-baru ini, mengkritik kerajaan negeri kerana menyalahgunakan wang rakyat dengan membiayai kos perundangan Shuhaimi.

Beliau menyifatkan langkah kerajaan negeri itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana tuduhan ke atas Shuhaimi adalah tindakan peribadi yang tidak ada kaitan dengan kepentingan atau mewakili negeri dan rakyat Selangor.

Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga membantah tindakan kerajaan negeri itu selain menyifatkan bahawa ia satu penyalahgunaan wang rakyat untuk kepentingan politik.

Mereka turut mendesak PKR menggunakan wang parti itu untuk menanggung kos perundangan Shuhaimi dan bukannya menggunakan wang kerajaan negeri hasil titik peluh rakyat yang diberikan untuk kemakmuran dan kemajuan Selangor.

Pada 7 Februari lalu, Shuhaimi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerbitkan artikel menghasut berhubung pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor dalam laman blognya, http://srimuda.blogspot.com pada 30 Disember tahun lalu.

Shuhaimi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Latifah Mohd. Tahar. Shuhaimi diwakili enam orang peguam iaitu Amer Hamzah Arshad, Mohamad Yusmadi Mohd. Yusof, N. Surendran, Latheefa Koya, Fahrir Azzar dan Nizam Bashir.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: