Rabu, Februari 09, 2011

MB Khalid dicabar mendedahkan laporan audit dua anak syarikat kerajaan negeri!

Seperti yang dibongkarkan sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dicabar agar mengotakan janjinya untuk mendedahkan laporan audit dua anak syarikat kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Yayasan Selangor.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Abdul Khalid pernah berjanji untuk mengedarkan kepada umum laporan itu pada 5 Januari lalu tetapi sehingga kini belum berbuat demikian.

"Saya cabar Abdul Khalid dedahkan laporan audit berkenaan agar rakyat tahu kedudukan sebenar kewangan PKNS dan Yayasan Selangor. Tidak usah lagi bermain wayang dan terus menipu rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, siasatan audit itu dipercayai dilakukan berikutan kontroversi perbelanjaan membabitkan kedua-dua syarikat itu baru-baru ini.

Antaranya kata beliau, Yayasan Selangor disiasat berikutan perbelanjaan RM300,000 bagi majlis sambutan ulang tahunnya ke-40 sehingga menyebabkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat berangkat ke majlis itu kerana dukacita dengan kos penganjuran.

Selain itu katanya, semua aktiviti membabitkan Jabatan Perhubungan Awam PKNS pula dibekukan berikutan dakwaan salah guna kuasa.

"Pelantikan individu muflis ke jawatan pengurusan kanan dalam Yayasan Selangor seperti didedahkan sebuah blog pula menunjukkan Abdul Khalid tidak mengamalkan ketelusan kerana mengutamakan kronisme," ujarnya.

Katanya, Abdul Khalid sanggup mengetepikan peraturan kerana mahu suku-sakatnya dilantik ke jawatan tertentu.

"Agak menghairankan kerana pelantikan ini tidak dibuat mengikut prosedur yang betul sedangkan ia jawatan penting dalam organisasi itu.

"Menteri Besar turut menggunakan kuasanya dalam menentukan pelantikan jawatan pengurus besar yayasan itu kerana individu dilantik bukan daripada dua calon yang dikemukakan jawatankuasa penemuduga," katanya.

Beliau mendakwa, segala keputusan yang dibuat Menteri Besar tidak tertakluk kepada peraturan melainkan keputusan yang dibuat sendiri.

"Bayangkan sebulan kerja, individu berkenaan dinaikkan gred ke Jusa B dengan gaji sebanyak RM16,920.05 termasuk elaun.

"Individu berkenaan sebelum ini dikaitkan dengan dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan Yayasan Selangor apabila meluluskan sendiri pembayaran bonus sebanyak RM11,283.61 tanpa merujuk kepada Lembaga Pengarah," katanya.

Beliau berkata, Abdul Khalid juga sanggup menderhaka kepada Sultan Selangor kerana menentang pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri kerana bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu bukan kroninya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: