Selasa, Mac 22, 2011

Isu ceroboh pasir kawasan Orang Asli - MB Khalid cabar bawa ke mahkamah!

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencabar kira-kira 4,000 penduduk Orang Asli Suku Temuan di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat supaya membawa ke mahkamah sekiranya yakin tanah yang didakwa diceroboh untuk perlombongan pasir adalah milik mereka. ( Lapuran sebelum ini di sini )

Beliau berkata, penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan boleh berbuat demikian sebagai salah satu cara untuk memastikan mereka memiliki tanah berkenaan atau sebaliknya.

Abdul Khalid juga turut meminta Orang Asli terbabit membuat semakan di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Kuala Langat bagi mengenal pasti status hak milik tanah mereka yang didakwa melibatkan keluasan 7,243 hektar di Mukim Tanjung 12 dengan sebahagian besarnya terletak dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Pada masa sama beliau menyatakan, kerajaan negeri juga sudah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi untuk meneliti dan membuat semakan status pemilikan tanah di kawasan berkenaan.

‘‘Saya difahamkan tanah berkenaan (perlombongan pasir) telah diwartakan di bawah pemilikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) lebih 10 tahun lalu.

‘‘Namun, mereka (Orang Asli) boleh membuat semakan di PTD Kuala Langat atau merujuk kepada Exco berkenaan. Kalau ada pertikaian, bawa ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Jabatan-jabatan Teknikal Negeri Selangor di sini, hari ini.

Abdul Khalid mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia pada 18 Mac lalu yang menyatakan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor didakwa ‘memunggah’ hasil milik Orang Asli di kawasan seluas 7,243 hektar di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat.

Mukim Tanjung 12 membabitkan tujuh buah kampung yang diwartakan dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara iaitu Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Bukit Cheeding, Bukit Kecil, Bukit Perah, Busut Baru, Tanjung Rabok dan Bukit Kamandol.

Tanah tersebut merupakan tanah warisan, tanah adat dan tanah rayau kepada kira-kira 4,000 penduduk Orang Asli Temuan sejak ratusan tahun lalu dan telah diwartakan sebagai tanah simpanan Sakai sejak 1927 selain merupakan kawasan penempatan utama suku Temuan di negara ini.

Difahamkan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) pada 25 Januari tahun lalu telah mengeluarkan pengesahan bahawa Mukim Tanjung 12 adalah kawasan Orang Asli berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 29 November 1965.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: