Khamis, Februari 09, 2012

Usah terlalu kagum dengan teori kontrak sosial versi barat!






















Teori kontrak sosial yang menjadi salah satu teori utama menghurai kewujudan negara yang perlu difahami ialah asas dan semangat kontrak sosial itulah yang menjadi landasan kewujudan kontrak sosial kita. Justeru, tidak timbul soal pemimpin memutarbelitkan makna kontrak sosial daripada pencipta asalnya.

Perlu difahami, tiada satu pun teori dalam dunia ini dapat diikuti sepenuhnya. Latar belakang sejarah dan budaya sesebuah negara mesti diambil kira. Malah, negara Barat sendiri tidak dapat mengikut sepenuhnya erti kontrak sosial yang diteorikan oleh pencipta asalnya.

Teori kontrak sosial menjelaskan negara dibentuk atas kehendak dan kesediaan anggota masyarakat mengadakan kontrak bagi menjaga kepentingan dan keselamatan umum. Dalam teori ciptaan tuhan (negara teokrasi) menyatakan tuhan memberi mandat kepada raja untuk memerintah rakyat dan tuhan jugalah yang mencabut balik mandat kekuasaan apabila raja dianggap tidak memerintah dengan adil.

Sebaliknya, teori kontrak sosial yang ideanya muncul pada era pencerahan di Eropah memartabatkan 'rasionalisme', 'humanaisme' dan 'realisme' sebagai alur pemikiran utama. Ia meletakkan manusia sebagai pusat gerak dan segala peristiwa dunia, bukannya tuhan. Sebagai umat Islam kita tidaklah berpendirian demikian.

Kita akur bahawa Sahifah Madinah yang dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW adalah sebahagian kontrak sosial di antara orang Islam dan orang bukan Islam (Yahudi) meletakkan kebesaran dan kekuasaan Allah sebagai landasan utama pembentukan perlembagaan terbabit.

Dalam membincangkan teori kontrak sosial, pemikiran Thomas Hobbes, John Locke, dan Jean Jacques Rousseau perlu dirujuk kerana mereka dianggap pencetus idea kontrak sosial. Hobbes (1588-1679) menyatakan tindakan manusia secara kudratnya digerakkan oleh hasrat nafsu (appetite) dan keengganan (aversion).

Appetite manusia adalah hasrat terhadap kekuasaan, kekayaan, kehormatan dan pengetahuan. Aversion manusia pula adalah keengganan untuk hidup sengsara dan mati. Hasrat manusia tidak terbatas tetapi pada masa sama ia tidak mahu hidup sengsara.

Kuasa antara sesama manusia menyebabkan kehidupan menjadi tidak aman. Penyelesaiannya ialah manusia mencipta 'kondisi buatan' (lawan kepada kondisi alamiah), iaitu apa yang dinamakan keperluan sivil.

Ini bermakna anggota masyarakat bersedia untuk bersetuju dan bersepakat untuk melepaskan hak-hak mereka dan memindahkannya kepada badan atau lembaga (organisasi) yang diberi kuasa tertentu bagi maksud menjaga kesepakatan itu supaya keselamatan rakyat terpelihara.

Locke (1632-1704) pula menyatakan, walaupun kudrat manusia adalah sama antara satu sama lain, manusia tidak ingin memenuhi hasrat dengan kuasa tanpa mempedulikan manusia lain. Menurut Locke, pada prinsipnya akal manusia mengajar bahawa ia tidak perlu melanggar dan merosak kemerdekaan dan kehidupan orang lain.

Locke melihat bahawa dalam kondisi alamiah sudah wujud pola pengaturan dan hukum alamiah yang teratur dan manusia mempunyai akal yang dapat menentukan apa yang benar, apa yang salah.

Menurutnya, huru-hara, kekacauan dan kemusnahan muncul kerana wujud beberapa golongan yang akalnya dipandu oleh dorongan dan kepentingan peribadi. Masalah tidak akan lahir sekiranya setiap orang dipandu akal murninya tetapi Locke sedar bahawa disebabkan agenda peribadi oleh mereka yang mengejar dan memiliki kuasa menyebabkan berlakunya onar di dalam masyarakat. Untuk itu kontrak sosial diperlukan. Melalui kontrak sosial ini anggota masyarakat bersedia menyerahkan sebahagian haknya.

Dalam tulisannya An Essay Concerning the True Original, Extent and End of Civil Government dalam Social Contract (Oxford University Press, 1960) beliau menjelaskan pemerintah dan masyarakat tidak hanya diikat dalam hubungan kontrak, malah hubungan saling mempercayai (fiduciary trust).

Wujud tiga pihak dalam hubungan saling mempercayai iaitu orang yang mencipta kepercayaan (the trustor), orang yang diberi kepercayaan (the trustee) dan mereka yang memperoleh manfaat daripada pemberian kepercayaan itu (the beneficiary).

Perjanjian (kontrak) berlaku antara 'trustor' dan 'trustee' sedangkan antara 'trustee' dan 'beneficiary' tidak terjadi kontrak sama sekali. Namun, menurut Locke, masyarakatlah yang dapat bertindak sebagai 'trustor' sekali gus 'beneficiary'. Apa yang jelas ialah kewajipan dan kepatuhan masyarakat kepada pemerintah akan bertahan selama pemerintah masih dipercayai.

Apabila hubungan kepercayaan (fiduciary trust) terhakis dan musnah, maka pemerintah akan kehilangan kuasa untuk melaksanakan apa yang dimahukannya. Rousseau (1712-1778) pula menegaskan pada dasarnya manusia itu sama tetapi persekitaran serta faktor moral menciptakan ketidaksamaan.

Hasilnya, timbul hak-hak istimewa yang dimiliki golongan tertentu. Situasi inilah yang akhirnya membentuk organisasi sosial dalam masyarakat. Malangnya sering berlaku organisasi sosial diperkudakan oleh mereka yang berkuasa untuk menindas yang lain. Untuk menghindari keadaan ini, maka masyarakat melaksanakan kontrak sosial berasaskan kehendak bebas daripada semua semata-mata bagi mewujudkan keadilan untuk semua.

Rousseau menegaskan lembaga legislatif harus mengutamakan kehendak umum daripada kehendak semua. Kehendak bebas harus tercipta daripada kualiti kehendaknya, bukannya daripada kuantiti orang yang berkehendak (Social Contract, Oxford University Press, 1960).

Apabila Kontrak Sosial tidak dihormati lagi!

Pepatah Melayu ada mengatakan 'madu di beri, tetapi tuba yang dibalas'! Inilah yang berlaku apabila 'mereka-mereka ini' sudah lupa daratan dari mana asal usul mereka. Dasar orang yang tak pernah mengenang budi. Tidak pernah bersyukur dengan apa yang mereka dapat selama ini. 'Jus Soli' kurang menjadi ingatan kepada mereka lantaran ia tidak melahirkan penghargaan atas apa yang telah ada hari ini!

Agak mengejutkan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin akan menerima saman pertama dalam bahasa Tamil, di samping bahasa Melayu yang disyaratkan.

Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) semalam berkata akan memfailkan saman terhadap lelaki pertama dan kedua Malaysia itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi Khamis.( Hari ini )

Pengasas bersama Hindraf P Uthayakumar dan peguam M Manoharan berkata, mereka akan memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya kesemua 523 sekolah Tamil ditaja sepenuhnya oleh kerajaan, setiap sekolah diberikan 10 ekar tanah dan sebuah kampus khas melatih guru India diadakan di Universiti Malaysia.

Mereka juga menuntut ganti rugi RM55 bilion setahun untuk dakwaan 55 tahun diskriminasi terhadap bekas penuntut sekolah Tamil oleh kerajaan dan sektor swasta.

"Kami sudah minta, dan minta, dan minta perkara itu ratusan kali," kata Uthayakumar yang turut mengedarkan risalah mencari sokongan di tengah-tengah perayaan Thaipusan di Batu Caves semalam.

Lihatlah betapa kurang ajarnya mereka membuat pelbagai tuntutan yang tidak masuk akal. Mereka berani bertindak sedemikian kerana apa? Mengapa mereka berani melanggar Kontrak Sosial yang telah dipersetujui selama ini! Sama-samalah kita fikirkan.

Apa yang dipaparkan di atas di kira memadai untuk memahami betapa pentingnya kewujudan kontrak sosial dalam kehidupan bernegara. Apalah salahnya kita melaksanakan versi kontrak sosial kita yang sudah wujud sejak merdeka kerana ia terbukti memberi manfaat kepada semua serta dapat mengekalkan perpaduan dan keharmonian negara.

Jangan terlalu ideal dengan kontrak sosial pencipta asalnya. 'Lain padang lain belalangnya'. Selama ini kontrak sosial negara sudah cukup adil kepada semua. Jangan seperti 'tikus membaiki labu', nanti 'yang dikendong tak dapat yang dikejar berciciran' dan negara menjadi kucar kacir.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: