Ahad, April 08, 2012

Memastikan nasib rakyat terus terbela!


Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memasuki pejabat Perdana Menteri pada 3 April 2009, beliau menyeret bersama rantaian pelbagai masalah yang bukan sahaja dihadapi oleh pentadbiran kerajaan tetapi juga parti iaitu Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Ketika itu BN baru setahun menerima tamparan hebat apabila kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, komponen BN tumbang di Pulau Pinang manakala UMNO tewas di Selangor dan Kedah, manakala usaha menawan semula Kelantan terus menemui jalan buntu.

Apa yang lebih mencabar bagi Najib ialah bagaimana untuk memulihkan kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan BN. Bayangkanlah keputusan pilihan raya umum 2008 menunjukkan dari segi undi popular BN meraih 4,082,411 undi manakala pakatan pembangkang mendapat 3,796,464 undi. Ia bermakna BN berada pada kedudukan 50.6 peratus berbanding pembangkang 49.4 peratus.

Dari segi isu pula, BN dilihat berhadapan dengan seribu satu masalah keluhan rakyat yang perlu diselesaikan dan mereka sudah memberikan isyarat berkenaan melalui keputusan pilihan raya tersebut.

Oleh itu Najib perlu mengatur strategi bagi meraih semula keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan BN, senjata paling ampuh yang boleh digunakan ialah memastikan segala dasar, langkah dan program kerajaan benar-benar dapat dirasai oleh rakyat secara keseluruhan.

Justeru melalui gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, Najib mengorak langkah memastikan nasib rakyat di semua peringkat terbela.

Berikutan itu wujudlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), pemberian baucer buku kepada golongan mahasiswa dan pelbagai bantuan serta peruntukan lain kepada seluruh lapisan rakyat.

‘‘Satu lagi perkara yang menarik dalam era kepemimpinan Najib adalah komitmen yang diberikan terhadap penambahbaikan skim perkhidmatan awam. Sememangnya adalah satu cabaran untuk mewujudkan skim gaji yang lebih baik dengan pelbagai tuntutan daripada pelbagai pihak.

‘‘Ternyata kebijaksanaan Najib yang peka dengan mendengar suara hati penjawat awam telah memberi makna yang baru terhadap skim yang cuba diwujudkan dahulu,’’ kata penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad.

Selain itu beliau berkata, Najib telah membuat satu keputusan yang berjaya memenangi semula hati majoriti penjawat awam dan ia jelas memenuhi prinsip kepimpinan Perdana Menteri iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

‘‘Dalam masa yang sama, pekerja di sektor swasta juga tidak dikesampingkan kerana kerajaan sedar bahawa dalam konteks negara ini, penggemblengan usaha secara bersepadu antara sektor awam dan swasta adalah kunci kejayaan negara secara keseluruhan.

‘‘Oleh itu, usaha berterusan telah dijalankan oleh kementerian yang terbabit berbincang dengan pihak industri bagi mewujudkan skim gaji minimum. Ini menunjukkan bahawa kerajaan mempunyai iltizam yang kuat dalam memastikan semua pekerja swasta mendapat pembelaan yang terbaik,’’ katanya ketika dihubungi.

Semua ini dapat dilakukan oleh Najib kerana beliau melaksanakan konsep ‘Janji Ditepati’. Setiap janji yang dibuat bukan sekadar untuk retorik politik apatah lagi hiasan dalam buku manifesto bagi meraih undi.

Hasilnya dalam tempoh tiga tahun ini, bak kata orang, bermula daripada nelayan di lautan sehingga kakitangan swasta di bangunan pencakar langit, untuk nenek di teratak hingga mahasiswa di menara gading semuanya menikmati faedah melalui konsep Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.

Oleh itu, pelancaran Karnival Jelajah Janji Ditepati di Stadium Batu Pahat, Johor hari ini boleh dianggap manifestasi kepada usaha kerajaan untuk menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa kerajaan BN bukanlah kerajaan yang hanya tahu menabur janji tetapi tidak menunaikannya.

Malahan ia juga akan menjadi medan terbaik kepada rakyat untuk berfikir sejenak apa yang sudah mereka nikmati sepanjang tempoh tiga tahun ini.

Mengulas perkara itu, penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, apa yang dilakukan oleh pentadbiran Najib dalam tempoh tiga tahun kepimpinan beliau ialah menarik semula kepercayaan rakyat kepada BN dengan memastikan segala janji ditunaikan.

Katanya, kepercayaan amat penting kerana ia bakal menjadi penentu sama ada rakyat akan menyebelahi BN atau kepada pembangkang.

‘‘Jelaslah Najib membuktikan bahawa beliau bukan sahaja seorang pemimpin yang hanya tahu menaburkan janji tetapi juga menunaikannya,’’ katanya ketika dihubungi.

Mohamed Mustafa berkata, Najib amat memahami bahawa kepercayaan memainkan peranan penting dalam politik dan kepercayaan juga adalah satu amanah dalam sebuah pemerintahan.

Oleh itu, kata beliau, Najib berusaha bersungguh-sungguh bagi melaksanakan segala janji yang dilafazkan apabila dilantik sebagai Perdana Menteri.

‘‘Bagi seorang pemimpin, menabur janji memang mudah, sesiapa sahaja boleh menabur janji tetapi untuk menunaikannya bukanlah satu perkara yang mudah.

‘‘Tetapi dalam pentadbiran Najib, kita melihat beliau mempunyai keberanian untuk melafazkan janji dan pada masa yang sama sanggup menempuh segala kesusahan bagi menunaikannya,’’ katanya.

Sikap Najib dan BN ini sudah tentulah bertentangan dengan mainan politik pembangkang yang bersedia menabur pelbagai janji sebagai modal untuk meraih kekuasaan.

Pihak pembangkang berjanji macam-macam biar pun realitinya ia sukar ditunaikan. Namun ini berbeza dengan pentadbiran Najib yang membuat janji kepada rakyat bukan berlandaskan mencari populariti tetapi realiti sama ada ia mampu ditunaikan atau tidak.

Najib tidak akan sewenang-wenangnya berjanji jika beliau tahu bahawa kerajaan pimpinan beliau tidak akan mampu menunaikannya, bukan seperti pembangkang.

Bagaimanapun apa yang perlu difahami, Najib sudah membuktikan biar pun baru tiga tahun menjadi Perdana Menteri beliau sudah berjaya melaksanakan pelbagai program untuk kesejahteraan rakyat.

Justeru ramai pihak percaya bahawa rakyat negara ini akan mendapat faedah yang lebih besar jika Najib terus diberi mandat untuk memimpin.

‘‘Dalam soal ini, kita harus berterus-terang bahawa Najib memerlukan mandat lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang untuk melaksanakan agenda rakyat dan negara,’’ kata Mohamed Mustafa.

Ahmad Masrizal pula berkata, janji-janji yang dibuat oleh kerajaan adalah satu piagam dan bukan berdasarkan kepada mantra politik.

‘‘Ia berpandukan kepada maklumat-maklumat yang tepat terhadap sesuatu perkara dan lebih penting lagi semua yang dijanjikan itu adalah dalam kadar kemampuan kerajaan yang sebenar, bukan sebagaimana pembangkang yang berkilangkan janji semata-mata,’’ katanya.

Berdasarkan kepada hujah-hujah tersebut adalah jelas Karnival Jelajah Janji Ditepati bukan sekadar karnival biasa apatah lagi untuk bersuka ria semata-mata.

Sebaliknya ia sarat dengan mesej untuk rakyat agar memahami siapakah yang lebih berhak memimpin mereka sama ada kelompok yang sentiasa bermimpi melalui mainan janji atau kelompok yang menghadir realiti apabila Janji ditepati.-UMO

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: