Jumaat, Jun 29, 2012

Nik Aziz Prejudis Terhadap Wanita?



Salah satu teori klasik mengenai diskriminasi wanita dan kedudukan dalam masyarakat ialah fahaman yang mengatakan konsep kendiri wanita ditentukan oleh sifat biologi dan fizikal.

Oleh kerana sifat-sifat feminin wanita seperti tutur kata yang lembut, proses biologi semulajadi yang harus mereka lalui seperti datang haid, mengandung, bersalin dan lain-lain, mereka dianggap kurang berupaya dan perlu dilindungi oleh kaum yang lebih perkasa iaitu lelaki.

Teori ini memperkukuhkan idea bahawa oleh kerana wanita datang haid, mereka mengandung, sebagai ibu, isteri ( yang sentiasa perlu cantik untuk suaminya ) dan mengalami putus haid, maka wanita itu lemah dan perlu dibantu ( Ussher, 1989 ).

Ussher dalam Psychology of Female Body melihat bagaimana konsep tubuh dan paras wanita mempengaruhi identitinya. Teori ini ditentang kuat oleh feminis yang mengatakan memang benar bahawa wanita mempunyai fungsi biologikal dan mementingkan kecantikan dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki. Tetapi ini semua dipengaruhi oleh budaya.

Budaya mempengaruhi konsep kecantikan. Wendy Chapkins ( 1986 ) dalam hasil karyanya, Beauty Secrets Women and Politics of Appearance melihat bagaimana kriteria kecantikan, rupa hodoh amat berkait rapat dengan kedudukan kelas dan lelaki dalam masyarakat.

Di zaman ini keupayaan mental wanita telah diiktiraf sama dengan lelaki. Pemikiran bahawa wanita harus bergantung kepada keadaan fizikal, bentuk rupa untuk berjaya dalam hidup tidak patut ada dalam masyarakat Malaysia dan dunia yang begitu dekat dengan alaf baru.

Kecantikan adalah kurniaan Allah s.w.t. Syukur Alhamdulillah kalau kita dianugerahkan anak yang cantik rupa parasnya. Begitu juga jika dikurniakan anak yang kurang cantik. Ini semua anugerah Tuhan.

Namun begitu terfikirkah kita bahawa suatu hari nanti anak kita yang cantik tadi bila dewasa tidak berpeluang bekerja, kerana ia cantik dan perlu mencari seorang suami kaya untuk menanggung hidupnya?

Manakala yang tidak cantik harus bersaing bersungguh-sungguh sesama mereka yang tidak cantik untuk mendapat pekerjaan. Cuba renungkan keadaan ini, semua yang berada di peringkat universiti nanti terdiri dari mereka yang tidak cantik.

Adakah kelak dalam pemerintahan Datuk Nik Aziz Nik Mat akan terdapat syarat kemasukan pelajar ke dalam universiti memerlukan mereka melalui ujian kecantikan?
Kenapa agaknya, Nik Aziz tidak mahu wanita cantik bekerja?

Adakah beliau berpendapat bahawa dengan adanya wanita cantik itu, produktiviti menjadi rendah dan maksiat akan meningkat? Yang peliknya, premis pemikiran ini sering menyalahkan wanita.

Memang tidak dapat disangkal, bahawa kecantikan dan bentuk tubuh perempuan itu kerap menggoda lelaki, tetapi yang harus diingat juga ialah bahawa lelaki turut memainkan peranan. Kalau lelaki tidak begitu lemah kerana nafsunya, maka kecantikan wanita itu tidak akan mendatangkan mudarat. Lelaki perlu menangani persoalan mengenai kelemahan diri mereka.

Patutkah wanita dihukum kerana nafsu lelaki? Kenapakah begitu lemah sekali keimanan mereka. Hal inilah yang harus ditonjolkan oleh Nik Aziz. Adakah beliau mahu membela wanita dengan cara mendiskriminasi mereka yang cantik.

Perlu diingat, wanita cantik tidak semuanya mempunyai bentuk tubuh yang seksi, kerana godaan bukan hanya pada paras rupa tetapi juga pada bentuk badan. Wanita yang tidak cantik juga mempunyai bentuk tubuh yang boleh menggoda lelaki yang tidak kuat imannya.

Hasil dari bisikan Nik Aziz sebenarnya boleh dilihat sebagai mempunyai beberapa implikasi;

Pertama: Wanita diukur di ats dasar fizikalnya. Satu idea patriaki yang wujud sekian lama. Masyarakat alaf baru patut menilai wanita bukan dari paras rupa, tetapi daripada keupayaannya.

Kedua: Wanita perlu bergantung kepada lelaki untuk berjaya dalam kehidupannya. Pergantungan kepada lelaki akan menyebabkan kehidupan wanita akan sentiasa tertindas. Wanita melalui pendidikan dan pekerjaan boleh berdikari dan tegas.

Ketiga: Diskriminasi antara gender, kerana lelaki tidak diukur daripada paras rupa. Pelik jadinya jika kita mempunyai dasar lelaki kacak tidak perlu bekerja, dan berkahwin dengan wanita kaya

Keempat: Masalah sosial berlaku dalam masyarakat kerana wanita. Memang tidak dapat dinafikan bahawa wanita merupakan sebahagian dari punca masalah sosial dalam masyarakat. Namun begitu, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

Kelima: Malaysia merupakan negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum, maka adakah wanita bukan Islam juga perlu mencari suami kaya. Adakah prinsip ini diterima oleh wanita Cina dan India di negara ini.

Keenam: Konsep kesejahteraan wanita pada kaca mata Nik Aziz hanya bersifat material. Adakah itu mencukupi?

Sepatutnya orang yang alim seperti Nik Aziz mencadangkan supaya wanita berkahwin dengan orang beriman untuk mencapai kebahagiaan. Kadang-kadang suami kaya boleh mendatangkan berbagai masalah kepada si isteri.

Oleh kerana kekayaannya, tanpa iman, banyak perkara yang tidak baik boleh dilakukan, termasuk bertukar pasangan. Akhirnya si isteri yang cantik tadi makan hati, memendam rasa, kecewa dan tidak akan cantik lagi.

Ketujuh: Jika Nik Aziz memerintah Malaysia, adakah ini akan menjadi satu dasar? Bagaimanakah ukuran kecantikan yang akan digunakan? Siapakah atau jawatankuasa mana yang akan membuat skala kecantikan? Apakah kesan kepada sistem pendidikan negara?

Kelapan: Di peringkat antarabangsa, bagaimankah Nik Aziz mahu menangani isu ini kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang di bawah CEDAW (Laporan Konvensyen mengenai Pembasmian Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita).

Satu isu yang dibangkitkan dalam laporan ini ialah wanita tidak boleh didiskriminasi dari segi peluang pendidikan dan pekerjaan.

Bagaimana Nik Aziz mahu menjadi pemimpin antarabangsa yang dihormati, kalau dia berfikiran terlalu kolot mengenai kedudukan wanita menjelang tahun yang mendatang!
Sebagai rumusan adalah diharapkan bahawa cetusan idea Nik Aziz yang merupakan pemikiran patriaki yang terlalu cauvinis perlu diketepikan dan usahlah diambil kira.

Wanita Malaysia sudah begitu lama dan bersungguh-sungguh mencipta identiti yang menunjukkan bahawa jika diberi peluang, wanita boleh berjaya dari segi pendidikan kerjaya dan kehidupannya.

Walaupun kecantikan itu adalah anugerah yang diberikan oleh Allah s.w.t. tetapi ia tidak boleh dijadikan landasan untuk mencipta kesejahteraan. Kecantikan tidak akan kekal tetapi yang akan kekal ialah ilmu dan pengalaman. Pendidikan dan keimanan adalah segala-galanya.

Berbekalkan ilmu dan keimanan, seseorang itu akan berjaya dalam kehidupannya sebagai perempuan, isteri, ibu dan anggota masyarakat.

Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: