Khamis, Jun 28, 2012

Pakar terima 56,281 panggilan - Mohd. Zin!



Sejak dilancarkan April lalu, Pusat Khidmat Rakyat (Pakar) yang diwujudkan oleh Barisan Nasional (BN) Selangor menerima sebanyak 56,281 panggilan sehingga hari ini.

Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, sebanyak 20 peratus daripada keseluruhan panggilan yang diterima itu merupakan aduan mengenai pelbagai masalah yang terdapat di negeri ini.

Beliau berkata, panggilan selebihnya adalah mengenai pertanyaan terhadap beberapa produk yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

"Daripada 20 peratus aduan yang dibuat penduduk itu, sebanyak 75 peratus berjaya diselesaikan dan kami menerima maklum balas yang baik daripada pemanggil, malah ada yang menghubungi semula Pakar hanya untuk mengucapkan terima kasih.

"Antara aduan yang diterima oleh Pakar adalah mengenai kegagalan kerajaan negeri menguruskan sampah sehingga menyebabkan beberapa longkang tersumbat," katanya kepada pemberita di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Zin berkata, pihaknya juga telah melanjutkan waktu operasi Pakar iaitu bermula pukul 9 pagi dan berakhir pada 9 malam berbanding sehingga pukul 6 petang sebelum ini.

"Lanjutan tempoh operasi itu dibuat berdasarkan permintaan yang tinggi serta maklum balas baik yang diterima daripada orang ramai," katanya.

Sementara itu, Mohd. Zin berkata, pihaknya akan mengenal pasti beberapa masalah yang memerlukan satu koordinasi dengan agensi-agensi kerajaan lain bagi memudahkan Pakar menyelesaikan setiap masalah yang diajukan kepada mereka.

"Usaha ini adalah untuk membantu rakyat Selangor dengan lebih baik agar tindakan susulan dapat diperkemaskan dengan lebih cekap dan telus," katanya.

Pejabat Pakar terletak di Tingkat 9, Bangunan UMNO Selangor di sini dan boleh dihubungi di talian 1-300-22-2626.


Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

The World of Islam berkata...

salam perjuangan tuan.blog tuan telah saya pautkan. pohon tuan pautkan blog saya yang kerdil ini : www.myhomesoil.blogspot.com