Jumaat, Ogos 24, 2012

Kendong modal insan kita, jangan sampai keciciran!



Seramai 1,192 profesional tempatan bakal pulang ke tanah air menerusi program Program Membawa Balik Pakar (REP). Sebelum ini, nilai gaji menjadi faktor penolak kepada golongan profesional tempatan sehingga memaksa mereka berhijrah bekerja dan menetap di luar negara.

Masalah pengaliran keluar golongan bijak pandai warga kita bukan isu yang baru. Hairannya, jika kita perhatikan sekitar Kuala Lumpur, kelibat orang asing memakai kot dan bertali leher lengkap dengan kasut hitam berkilat begitu ramai merayap di jalan raya pada pagi dan petang hari bekerja.

Jika warga asing yang bekerja di sektor kilang atau ladang dipanggil "buruh", kelompok imigran kolar putih itu pula dipanggil ekspatriat. Anak-anak rakyat asing kelas tinggi inilah juga ramai dilihat di sekitar Lembah Klang berulang-alik dengan LRT ke sekolah antarabangsa.

Menurut sumber daripada seorang sahabat penulis yang bekerja dalam sektor swasta, jawatan seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dimonopoli oleh warga asing dengan gaji mereka mencecah sekitar RM50,000 hingga RM70,000 sebulan.

Secara kasarnya, jumlah tersebut adalah lapan kali ganda lebih tinggi daripada gaji seorang jurutera tempatan!

Mengapa begitu ramai warga asing profesional diberi jawatan dengan gaji yang amat tinggi sedangkan golongan profesional tempatan kita dicampak gaji relatif rendah berbanding kepakaran yang dimiliki?

Peribahasa 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri' kini seperti sudah terbalik maksudnya jika dikaitkan dengan isu ini.

Sebenarnya, 'hujan emas' di negara ini sudah turun lebat dalam kantung dan akaun warga asing baik bergelar ekspatriat mahupun buruh.

Berbeza pula dengan warga kita yang menganggap lebih baik negara orang kerana menawarkan kualiti hidup yang jauh lebih baik daripada tanah air sendiri.

Terasa seperti hamba lebih rendah tarafnya daripada buruh walau bergelar profesional di negara sendiri apabila bekerja di bawah seliaan beberapa lapis hierarki organisasi yang atasnya majoriti warga asing!

Negara lain seperti Singapura lebih pantas meragut sejumlah tenaga pakar dan berkemahiran dari negara luar tidak terkecuali Malaysia. Baru-baru ini misalnya, Singapura telah berjaya 'merampas' Datuk Chef Wan untuk dijadikan ikon baru republik itu dalam perniagaan medan selera. Malah, nama 'One Market' digunakan sempena mengambil nama Chef Wan.

Singapura pula bukan berseorangan sebaliknya bekerjasama dengan Indonesia melalui sebuah konglomerat terkenalnya yang melabur sebanyak RM20 juta untuk tujuan projek tersebut.

Ketika Malaysia bercita-cita tinggi mahu muncul sebagai hab makanan halal sedunia, Indonesia dan Singapura telah mara ke depan dengan memanfaatkan warga kita pula untuk projek sajian makanan halal dari tujuh buah negara ASEAN!

Benar. Pengaliran profesional merupakan fenomena global. Eduardo salah satu nama besar di sebalik Facebook asalnya warga Amerika Syarikat (AS) tetapi kini rela memeluk taraf penduduk tetap Singapura. Namun, itu AS yang mempunyai lambakan cerdik pandai jauh lebih tinggi sesuai dengan statusnya sebagai negara maju berbanding negara kita.

Langkah membawa balik kepakaran tempatan yang masih ramai berselerakan di seluruh dunia memang wajar diteruskan. Dalam masa sama, jangan pula kelompok cerdik pandai yang masih setia berada di negara ini diabaikan.

Daripada menabur duit kepada profesional asing yang majoritinya buta budaya serta diragui taat setianya kepada organisasi malah negara ini, lebih baik gaji selumayan itu diberikan kepada para profesional tempatan sesuai dengan kualiti yang mereka miliki.

Usah keadaan seperti dalam peribahasa 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran' berlaku dalam pengurusan modal insan rakyat kita sendiri.

Mohon pada PM agar golongan 'middle income' juga jangan dilupakan!

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: