Isnin, September 10, 2012

Guna wang RM2.1 bilion tingkatkan sistem perparitan cegah banjir?



Kerajaan negeri disaran menggunakan rezab tunai yang kononnya mencecah RM2.1 bilion seperti yang diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi menaik taraf sistem perparitan di kawasan yang mengalami banjir kilat.

Penyelaras MCA Parlimen Serdang, Datuk Liew Yuen Keong berkata, tiada gunanya kerajaan negeri memiliki simpanan tinggi tetapi tidak menggunakannya untuk membantu rakyat di negeri itu.

"Mereka hanya tahu berkata kerajaan pusat tidak memberi peruntukkan, tabung RM2.1 bilion ada mengapa tidak digunakan dan jangan pula guna duit tersebut untuk tujuan politik dan kepentingan peribadi semata-mata.

"Sejak mereka memerintah lebih empat tahun lalu, tiada program menaik taraf sistem perparitan dan pengairan dilaksanakan terutamanya di kawasan Serdang ini.

"Banjir yang berlaku baru-baru ini paling serius dan saya lihat kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) harus mengambil langkah proaktif untuk mengelak kejadian berulang," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung banjir yang melanda Serdang, Rabu lalu sehingga menyebabkan Taman Sri Serdang, Taman Sri Andalas, Serdang Jaya dan KTM Serdang ditenggelami air.

Turut hadir, Naib Ketua UMNO Bahagian Serdang, Abdul Kadir Selamat dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Seri Kembangan, Tang Kim Loy.

Menurut Yuen Keong, antara faktor berlakunya banjir di kawasan itu adalah satu-satunya kolam takungan bersaiz hampir empat ekar berdekatan Taman Sri Andalas tidak berfungsi akibat tiada penyenggaraan sempurna.

"Kolam ini dahulunya besar tetapi apabila tidak dijaga sehingga dipenuhi sampah-sarap dan kerja-kerja mendalamkannya tidak lagi dilakukan, kawasan ini sudah tiada tempat takungan," ujarnya.

Tambahnya, faktor pembangunan juga berkait dengan masalah banjir itu apabila kawasan di Bukit Serdang yang dibangunkan sebagai pusat perniagaan tidak lagi berupaya menyerap air.

"Bukit tersebut sebelum ini dipenuhi pokok-pokok yang dapat menyerap air jika hujan, sebaliknya hari ini hanya dipenuhi bangunan ," katanya.


Sementara itu, kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor diingatkan supaya tidak menuding jari kepada pihak lain berhubung kejadian banjir kilat terburuk yang melanda Serdang dan Kajang baru-baru ini.

Penyelaras Kawasan Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon berkata, sebaliknya kerajaan negeri perlu mengakui kesilapan sendiri kerana gagal menguruskan sistem saliran dan pengutipan sampah di kawasan terbabit yang sedikit sebanyak menjadi faktor penyumbang kepada berlakunya bencana itu.

Menurutnya, kawasan itu tidak pernah mengalami banjir ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, tetapi berlaku ketika pentadbiran sekarang yang baru empat tahun memerintah.

"Sebelum ini, kerajaan BN telah berusaha mengatasi masalah banjir kilat terutama melibatkan kawasan Seri Kembangan melalui peruntukan sebanyak RM14 juta yang disalurkan kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja menaik taraf Sungai Kuyoh.

"Punca utama berlakunya banjir kilat terburuk kelmarin disebabkan kegagalan pihak berkuasa tempatan melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan dan pemantauan (sistem saliran) secara berterusan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian banjir kilat yang melanda Serdang dan Kajang sehingga menyebabkan beberapa laluan di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan mengalami kesesakan di kedua-dua arah.

Pian Hon berkata, aliran air tidak akan melimpah sekiranya longkang disenggara dengan sempurna, manakala sampah dikutip mengikut jadual.

"Sekarang terpulang kepada rakyat menentukan siapa yang layak memerintah Selangor.

"Jika benar kerajaan PKR Selangor mahu membantu sudah lama mereka memikirkan jalan membaiki sistem saliran terlebih dahulu daripada mencari kesalahan pihak lain," ujarnya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: