Selasa, September 04, 2012

Polis mula edar gambar 'Penyanggak Janji Bersih' malam kemerdekaan?



Polis hari ini mengedarkan 11 keping gambar menunjukkan beberapa peserta Perhimpunan Janji Bersih yang melakukan pelbagai kesalahan semasa ambang sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di Dataran Merdeka pada malam Khamis lalu.

Antara gambar-gambar diedarkan ialah dua peserta wanita memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disiarkan pada muka depan Mingguan Malaysia semalam.

Turut diedarkan ialah gambar seorang pemuda menunjukkan punggung di atas gambar Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta beberapa keping gambar peserta lelaki dan wanita lain yang mengibarkan bendera untuk menggantikan Jalur Gemilang.

Menurut sumber, polis mengenal pasti pemuda berkenaan adalah pelajar sebuah kolej swasta di Cheras.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan polis, pelajar terbabit telah melarikan diri ke Batu Pahat, Johor.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kesemua 11 keping gambar diedarkan itu menunjukkan kesalahan yang dilakukan oleh peserta perhimpunan tersebut.

"Polis Kuala Lumpur meminta orang ramai yang mengenali mana-mana individu yang gambarnya disiarkan oleh media supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin mengumumkan polis menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat insiden berkenaan.

Menurut Chin Wah, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu yang gambarnya disiarkan dan sedang dikesan itu, boleh menghubungi talian hotline PDRM iaitu 03-20319999 atau hotline Polis Kuala Lumpur (03-21159999 atau berhubung terus dengan Asisten Supritendan Azmi Abd. Azizi (019-2602344).

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: