Selasa, November 27, 2012

Isu sampah Selangor tiada kesudahan, Bandar Baru Selayang kotor?



Terlalu kerap keluar di dalam dada-dada akhbar ataupun media mengenai masalah sampah di Selangor. Sampai naik jelak rasanya.

Tetapi bagi yang mengalaminya ia merupakan rungutan-rungutan yang perlu disuarakan secara berterusan kerana mahukan tindakan diambil oleh pihak yang bersangkutan. Kebersihan kawasan persekitaran harus dijaga supaya kesejahteraan hidup rakyat dapat dicapai .

Selagi tiada tindakan yang boleh mengembalikan kesejahteraan hidup rakyat sememangnya rakyat akan terus bising. Kebersihan kawasan sekitar ini adalah hak rakyat. Rakyat hanya menuntut haknya supaya fikiran menjadi lapang dan hidung mereka tidak kembang dek bau busuk sampah.

Sampah sarap bertaburan boleh dilihat di Bandar Baru Selayang yang menjadi pusat pentadbiran kawasan Gombak. Longkang-longkang dipenuhi dengan sampah. Tikus sudah sebesar kucing. Lipas-lipas berkeliaran di luar dan memasuki serta mengotori premis-premis.

Laluan belakang bangunan yang sepatutnya merupakan laluan untuk kegunaan servis dibiarkan menjadi tempat pengusahaan mencuci kereta atau tempat mencuci pinggan mangkuk kotor di bahagian belakang restoran.


Tiada satu kenderaan pun yang dapat lalu di laluan servis ini. Mengapa ini dibiarkan berlaku di depan mata? Bertahun-tahun lamanya inilah yang berlaku dan sehingga sekarang masih kekal begitu.

Bandar Baru Selayang merupakan kawasan sesak di hari bekerja. Sebagai contoh nyata Jalan 2/16 merupakan tempat memunggah barangan kerana laluan servis tertutup tidak dapat digunakan.

Bandar Baru Selayang merupakan kawasan kotor, longkang penuh sampah sarap. Di tepi-tepi jalan dan di dalam longkang merupakan tempat longgokan sampah. Hari demi hari dinanti untuk perubahan berlaku.

Dan apa yang lebih menjengkelkan adalah Bandar Baru Selayang adalah merupakan kawasan yang diisytiharkan sebagai Zon Bersih!

Cakap tak serupa bikin. Buang papan tanda Zon Bersih. Kotor pun kawasan itu sakit hati rakyat kerdil ini mungkin tidak sesakit begini. Entahlah mungkin benar orang kata hanya sekadar kerajaan papan tanda!

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: