Rabu, November 28, 2012

Isu Selangor : NRW tidak turun, kerajaan negeri salahkan Syabas?



Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor perlu menangani masalah kegagalan menurunkan peratus kehilangan air tidak berhasil (NRW) di negeri ini secara berhemah dan bukannya menuduh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) tidak mampu memberikan perkhidmatan yang baik kepada pengguna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Sulaiman Razak berkata, kegagalan penurunan peratusan NRW yang kini berjumlah 32.6 peratus sebenarnya berpunca daripada tindakan kerajaan negeri sendiri yang membekukan perbelanjaan modal (Capex) syarikat konsesi air itu.

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu berkata, pembekuan Capex secara tidak langsung menyebabkan Syabas tidak berupaya meneruskan kerja-kerja penggantian paip lama dan paip yang telah rosak.

Syabas pada 12 November lalu telah menerima satu surat arahan pembekuan Capex daripada kerajaan negeri. Surat berkenaan terkandung maklumat menyatakan Syabas hanya boleh menjalankan kerja-kerja yang kritikal sahaja.

Surat tersebut berkuat kuasa bermula 2012 hingga 2014 dan sebelum itu Syabas juga turut menerima surat yang sama bagi arahan 2009 hingga 2012," katanya kepada pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.


Terdahulu DUN hari ini hangat apabila soalan membabitkan isu arahan kerajaan negeri supaya Capex dihentikan dijawab Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menteri Besar berkata, jika perbelanjaan itu datang daripada kerajaan negeri, adalah lebih baik kerja menaik taraf paip air dijalankan sendiri tanpa pihak lain.

Katanya, jika peruntukan itu datang dari kerajaan negeri, Syabas sudah tentu mahu mendapatkan komisen.

Siapa yang akan tanggung (komisen)? Rakyat Selangor yang akan menanggungnya dan kalau Syabas tidak boleh buat lebih baik, berikan kepada Unit Perancang Ekonomi," katanya.

Suasana tegang seketika apabila Abdul Khalid menyatakan wakil rakyat BN itu boleh mendapatkan surat daripada Syabas berkenaan isu tersebut kerana mendakwa Sulaiman adalah wakil Syabas’.

Tindakan Abdul Khalid yang menyatakan Sulaiman sepatutnya menjadi wakil rakyat dan bukan wakil kepada Syabas, menyebabkan ADUN Permatang itu bangun membantah dan mendesak Menteri Besar menjawab soalan dan mahu menggunakan peraturan mesyuarat DUN dengan mengatakan dakwaan itu satu tuduhan jahat terhadapnya.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker DUN, Haniza Talha tidak membenarkan permohonan itu dan mengarahkan Sulaiman duduk.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: