Isnin, November 19, 2012

Isu Selangor : Pembeli Blok E letak syarat?


M. Sugumaran (tiga dari kanan) menyerahkan dokumen yang mengandungi 26 isu yang perlu diselesaikan kepada wakil pejabat Menteri Besar Selangor di Bangunan SUK di Shah Alam, semalam.

Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor diminta menyelesaikan 26 isu yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Bertindak Pembeli rumah kos rendah Blok E, Petaling Jaya Selatan 1 (PJS1) kepada Pengerusi Tetap Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Ir. Iskandar Abdul Samad secara telus dan bersungguh-sungguh sebelum perjanjian jual beli baharu ditandatangani.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Blok E PJS1, M. Sugumaran berkata, perkara tersebut dinyatakan dalam perkara 2(b) di dalam surat pengesahan persetujuan meneruskan pembinaan satu blok rumah kos rendah iaitu Blok E sebanyak 12 tingkat melibatkan 276 unit rumah di PM 1264 Lot 37199, PJS 1, Petaling Jaya yang dimajukan oleh kerajaan negeri.

''Hari ini kami menyampaikan surat pengesahan kepada kerajaan negeri bersetuju projek itu diteruskan tetapi sebelum perjanjian jual beli baharu ditandatangani dengan pemaju baharu, kami mahu 26 isu berbangkit pada pertemuan kami dengan Iskandar pada 21 Julai 2012 diselesaikan dengan telus dan bersungguh-sungguh.

''Walaupun Exco tersebut telah mengemukakan surat jawapan kesemua 26 isu tersebut kepada kami dalam surat bertarikh 20 September lalu, namun ia dibuat tanpa maklumat lengkap, jadi bagaimana masalah tersebut mampu diselesaikan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan 136 surat pengesahan berhubung perkara itu kepada wakil pejabat Menteri Besar di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri di sini hari ini.

Menurut Sugumaran, antara isu yang perlu dijelaskan secara terperinci jalan penyelesaiannya ialah tentang bagaimana kerajaan negeri boleh membantu pembeli rumah dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas yang telah disenaraihitam untuk membuat pinjaman bank.

''Isu pokoknya kami telah ditipu oleh pemaju sebelum ini dan projek rumah kami telah tertangguh hampir sembilan tahun dan kami hanya ingin kerajaan negeri menyelesaikan dahulu isu-isu yang berbangkit akibat kegagalan pemaju terdahulu menunaikan janji.

''Kami memerlukan jaminan dari segi perundangan sama ada segala isu yang timbul akibat kegagalan pemaju menyiapkan rumah kami dapat diselesaikan terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu kerajaan negeri bersikap seperti bapa memberi gula-gula kepada anak yang menangis supaya diam tetapi tidak memberi alasan konkrit bagaimana masalah mereka dapat diselesaikan.

Katanya, sikap berdolak-dalik kerajaan negeri menyelesaikan 26 isu tersebut ditambah dengan tiada pemaju dan perjanjian jual beli baharu, pembinaan kediaman tersebut sudah pasti tidak akan menjadi kenyataan.

Pada 29 Oktober lalu, dilaporkan kira-kira 50 pembeli rumah Blok E PJS1 dan anggota keluarga mereka berkumpul secara aman di hadapan rumah panjang di PJS1 dekat sini bagi mendesak kerajaan negeri segera menunaikan janji meneruskan pembinaan kediaman mereka yang terbengkalai sejak sembilan tahun lalu.

Pembeli-pembeli tersebut merupakan bekas peneroka bandar dari kampung berhampiran yang terlibat dengan projek penempatan semula setinggan dari kampung-kampung sekitar Petaling Jaya.

Antaranya, Kampung Muniandy, Kampung Petaling, Kampung Pinang, Kampung Tandang, Kampung Medan Sel, Kampung Semarak, Kampung Seri Manja, Kampung Jaya Murni dan Kampung Benggali di sekitar Jalan Klang Lama.

Kampung itu terlibat dalam pembangunan semula dan seramai 276 keluarga telah menerima tawaran rumah kos rendah Blok E PJS1 pada 2003 dan 262 penduduk telah menandatangani perjanjian jual beli dengan pemaju Peter Brickworks.

Namun, kegagalan pemaju menyiapkan rumah yang dijanjikan telah menyebabkan pembeli terpaksa menanggung derita termasuk bebanan hutang dengan pihak bank.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: