Khamis, November 08, 2012

Isu Selangor : Tolak kepemimpinan Abdul Khalid?


Sebahagian ahli PVTM dan NGO lain mengadakan perhimpunan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Abdul Khalid Ibrahim di hadapan Pejabat PKR cawangan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, kelmarin.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim digesa memohon maaf kepada penduduk di kawasan Bandar Tun Razak kerana mengabaikan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.

Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd. Ali Baharom berkata, Abdul Khalid lebih mementingkan jawatannya sebagai Menteri Besar berbanding kebajikan pengundi-pengundinya di Bandar Tun Razak sehingga menyebabkan nasib penduduk di kawasan itu langsung tidak terbela.

"PVTM bersama pelbagai NGO pelbagai bangsa dan etnik yang kecewa membantah sekeras-kerasnya sikap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ini. Kami juga mendesak Abdul Khalid bertanggungjawab terhadap kelalaiannya.

"Sebagai pemimpin, Abdul Khalid perlu lebih adil terhadap kebajikan semua pihak. Kenapa hanya Talam Corporation Bhd. (Talam) dan Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjadi fokus beliau?," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan aman bagi membantah sikap sambil lewa Abdul Khalid itu di hadapan Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) cawangan Bandar Tun Razak di sini semalam yang dihadiri lebih 100 peserta.

Selain PVTM, NGO-NGO yang menyertai demonstrasi selama kira-kira 30 minit bermula pukul 11 pagi itu termasuk Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Jaringan Muhibah Melayu Malaysia (JMMM) dan Memartabat Jaringan Melayu Malaysia (MJMM).

Jelas Mohd. Ali, Abdul Khalid yang leka dengan kuasanya sebagai Menteri Besar turut dilihat mengabaikan kebajikan golongan penjawat awam termasuk bekas-bekas tentera, polis dan guru di negara ini.

Katanya, ini berbeza dengan kepimpinan yang ditunjukkan Barisan Nasional (BN) yang disifatkan membela nasib segenap masyarakat, beliau berkata, pembangkang pula semakin alpa dengan segala janji mereka dalam pilihan raya lepas.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: