Rabu, November 28, 2012

Isyarat UMNO sudah berubah!



"Yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang betul, yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang haq. Kitalah, UMNO, satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan penuh gilang-gemilang."

Walau apa pun dugaan, walau apa pun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung. (2009)

''Maka, kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!" (2010)

Ayuh, rapatkan saf, nyalakan jamung, gigitlah kuat-kuat perjuangan ini dengan geraham kita. Palulah genderang perang, palulah ia tabuh-tabuhan dan tiupkanlah semboyan. Masanya sudah hampir, waktunya sudah tiba. Bingkaslah orang-orang UMNO, kita turun ke medan bakti. (2011)

Apa yang dipaparkan ialah petikan terakhir kandungan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh tiga tahun sejak diberikan amanat menerajui parti orang Melayu itu.

Sesungguhnya sempena Perhimpunan Agung UMNO kali ini adalah wajar jika ahli-ahli parti itu merenung kembali petikan-petikan berkenaan kerana daripada situ mereka memahami betapa tingginya harapan pucuk pimpinan parti itu kepada mereka dalam memastikan kejayaan cemerlang UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Perwakilan dan ahli UMNO yang akan memenuhi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sehingga Sabtu ini perlu memahami kehadiran mereka bukan sekadar memenuhi sebuah acara tahunan tetapi jauh lebih daripada itu, ia adalah medan untuk mereka bermuhasabah, mengatur strategi dan memantapkan misi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Jangan biarlah pesanan dan amanat barisan kepimpinan terutamanya daripada Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekadar menjadi halwa telinga apatah lagi sekadar salah satu program dalam sebuah perhimpunan agung.

Sebaliknya, mereka perlu menggenggam erat dan menyematkan di dalam hati untuk memastikan maruah UMNO yang sedikit tercalar dalam pilihan raya umum lalu mampu ditebus kembali. Sesungguhnya perhimpunan agung kali ini amat penting ia bukan medan retorik apatah lagi untuk berpolitik sesama sendiri.

Hakikatnya, perhimpunan agung tersebut adalah gelanggang terbaik untuk memberi isyarat dan petunjuk kepada rakyat khususnya orang Melayu bahawa UMNO yang suatu ketika dahulu sebahagian daripada mereka tolak dalam pilihan raya kini sudah benar-benar berubah.

Berubah bukan semata-mata untuk mempertahankan kuasa politik atau kemaruk kuasa tetapi demi memastikan orang Melayu terus dimartabatkan, agama Islam terus dipertahankan dan nasib rakyat Malaysia terus diperjuangkan.

Oleh itu ahli-ahli UMNO perlu memastikan tiada apa-apa tindakan atau tingkah laku yang boleh memberikan gambaran UMNO yang kini berusia 66 tahun masih belum berubah, sebaliknya mereka perlu menunjukkan UMNO adalah sebuah parti yang sentiasa pro aktif mendengar segala keluh kesah rakyat dan sentiasa bersedia berubah demi kesejahteraan rakyat, bangsa, agama dan negara.

Langkah itu bertepatan dengan seruan Najib ketika menyampaikan ucapan sulung beliau sebagai Presiden UMNO pada 2009 apabila antara lain beliau menegaskan, ''…Ahli-ahli UMNO, baik di peringkat kepimpinan tertinggi mahu pun ahli biasa, perlu kerap melakukan muhasabah. Kita perlu bersedia untuk menilik ke dalam diri, melihat kelemahan dan memperbetulkan kekhilafan. Seterusnya, mengambil langkah untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan tersebut. Apa yang penting, ahli-ahli UMNO perlu mewajahkan peri laku mulia dan nilai-nilai murni sebagai asas jati diri dan kekuatan parti."

Sememangnya, langkah untuk berubah dan bersedia berubah serta bermuhasabah adalah penawar yang paling mujarab dalam usaha UMNO memperkukuhkan kembali kedudukan parti itu dalam arena politik negara.

Dan sudah pastilan rakyat akan melihat apakah dalam perhimpunan agung kali ini, UMNO sudah benar-benar berubah.

Selain itu, ahli-ahli UMNO juga perlu menunjukkan bahawa mereka kini telah bersedia untuk turun ke gelanggang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Dalam soal ini, ahli-ahli UMNO tidak boleh memandang remeh dan 'menyambut' kehadiran pilihan raya itu seperti mana pilihan raya sebelum ini.

Sebaliknya pilihan raya umum kali ini dianggap paling getir dan paling sengit dalam sejarah berikutan corak politik pakatan pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja demi menawan Putrajaya.

Ahli-ahli UMNO sudah saksikan bagaimana buruk telatah pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas dalam usaha mereka untuk meyakinkan rakyat untuk menyokong mereka.

Apa yang lebih mendukacitakan dalam mencapai impian mereka itu, pemimpin-pemimpin pembangkang sanggup menggugat orang Melayu, mencemarkan kedudukan agama Islam dan memecah belahkan rakyat Malaysia.

Tiada gunanya, jika ahli-ahli UMNO hanya berdegar-degar di dalam Dewan Merdeka dan bersandiwara mendengar pesanan pemimpin tetapi apabila pulang ke kawasan masing-masing bahaya yang menanti dalam pilihan raya umum nanti dilupakan.

Oleh itu ahli-ahli UMNO tidak ada pilihan, selain memastikan kemenangan parti itu dan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Apabila mereka pulang ke kawasan-kawasan apabila tamatnya perhimpunan agung tersebut, bermulalah misi getir mereka untuk menyahut cabaran dalam pilihan raya umum nanti.

Janganlah ada lagi sikap mahu berpolitik sesama sendiri, hapuskan budaya cah keting hanya semata-mata tidak terpilih sebagai calon.

Ahli-ahli UMNO harus ingat mereka sudah berjanji dan berbaih untuk menyokong sesiapa sahaja yang menjadi calon. Oleh itu janganlah ada di antara mereka bersikap hipokrit dan lebih burk menjadi pengkhianat kepada parti sendiri.

Ingatlah pertarungan dalam pilihan raya umum kali ini bukanlah pertarungan biasa. Ia pertempuran yang bakal menentukan sama ada ahli-ahli UMNO akan hadir semula ke Dewan Merdeka tahun depan dengan wajah mendongak atau tunduk menahan perasaan malu.

Semua itu hanyalah boleh ditentukan berdasarkan kesungguhan mereka dalam pilihan raya umum nanti. Sesungguhnya mana-mana individu tidak penting, bukan siapa menjadi calon yang harus jadi perhitungan sebaliknya kemenangan parti yang harus diberi keutamaan.

Semoga perhimpunan agung kali ini akan menyuntik semangat pemimpin dan ahli UMNO untuk memastikan parti itu dan BN terus berdiri gah dalam persada politik tanah air.

Sama ada UMNO dan BN akan berjaya atau tidak, tewas atau menang, segala-galanya ditentukan oleh ahli-ahli UMNO sendiri.

Dan mereka boleh memberi isyarat awal mengenai kesediaan mereka untuk terus memartabatkan UMNO dan BN dalam pilihan raya umum akan datang melalui perhimpunan agung yang bakal berlangsung.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: