Selasa, November 13, 2012

Kerajaan PKR Selangor didakwa tidak bertanggungjawab?


Penduduk Pangsapuri Permai membuat demontrasi aman menuntut hak air percuma daripada Kerajaan Negeri Selangor di Damansara Damai, dekat Kuala Lumpur, semalam.

Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor disifatkan tidak bertanggungjawab kerana gagal menunaikan janji pemberian air percuma kepada seluruh rakyat negeri itu sejak mentadbir hampir lima tahun lalu.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Permai, Damansara Damai di Sungai Buloh, Mohammad Fauzi Md. Shapaie berkata, kerajaan negeri sepatutnya profesional melaksanakan janji-janji yang telah ditaburkan kepada rakyat yang memilih mereka pada pilihan raya umum lalu.

Katanya, kegagalan kerajaan negeri Selangor menunaikan janji itu terserlah apabila ada lagi rakyat negeri itu yang belum menerima air percuma.

"Mereka sepatutnya profesional. Apa yang telah dijanjikan wajar dilaksanakan.

"Kegagalan mereka menunaikannya seperti pemberian air percuma kepada rakyat seperti kami adalah bukti bahawa kerajaan negeri sedia ada tidak bertanggungjawab," katanya ketika ditemui selepas demonstrasi aman menuntut air percuma oleh penduduk Pangsapuri Permai dekat semalam.

Kira-kira 20 penduduk pangsapuri berkenaan yang terdiri daripada berbilang kaum berkumpul serta berhimpun secara aman bagi menyatakan rasa tidak puas hati kerana tidak menerima air percuma seperti dijanjikan Kerajaan PKR Selangor dalam manifesto pilihan raya mereka yang lalu.

Seorang penduduk pangsapuri berkenaan, Hashim Mat, 57, juga bersependapat dengan Mohammad Fauzi apabila mendakwa kerajaan negeri Selangor sebagai tidak bertanggungjawab.

Katanya, manifesto yang dibawa oleh pembangkang memang seronok untuk dilihat tetapi setelah hampir lima tahun mentadbir Selangor, ternyata mereka gagal melaksanakannya dengan profesional.

"Jadi hari ini kami mahu tuntut hak kami sebagai rakyat Selangor iaitu air percuma seperti dijanjikan. Kami tidak minta lebih, cukuplah sekadar kadar pemberian air percuma seperti yang telah digariskan sebelum ini," jelasnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: