Isnin, November 19, 2012

Pas 'berkorban' demi kuasa!


















Adalah sesuatu yang melucukan apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat ulasan kononnya UMNO tidak nyenyak tidur kerana bimbang terhadap Pas.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Barisan Nasional (BN) sudah lama melaksanakan negara berkebajikan.

Hakikatnya, Pas yang sebenarnya tidak nyenyak tidur memandangkan tindakan mengubah laluan bahtera politik mereka dari negara Islam ke negara berkebajikan mula mendapat kritikan ramai.

Kritikan itu bukan sahaja datang daripada penyokong UMNO dan BN malahan di dalam Pas sendiri sudah wujud perasaan tidak puas hati berikutan tindakan Pas yang kini dilihat sanggup mengorbankan segala-galanya demi mencari kuasa politik bersama sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Walaupun Nik Abdul Aziz cuba berhujah bahawa konsep negara berkebajikan adalah sebahagian intipati yang terdapat negara Islam tetapi semua itu boleh dianggap hujah politik sahaja atau lebih tepat lagi ke arah matlamat menghalalkan cara.

Pertemuan penulis dengan beberapa pemimpin muda Pas selepas Muktamar Tahunan Pas Ke-58 parti itu baru-baru ini telah memberikan pemahaman kepada penulis kenapa Pas terpaksa korbankan perjuangan negara Islamnya.

Berikut catatan daripada apa yang mereka ceritakan mengenai senario perubahan dasar politik Pas:

Pas yang sejak berpuluh-puluh tahun lalu mempertahankan perjuangan Islam akhirnya luntur semangat mereka semata-mata mahu mengejar tampuk kekuasaan. Kejayaan agak cemerlang yang dicapai oleh pembangkang dalam pilihan raya umum lalu telah membangkitkan keghairahan Pas untuk terus bersama-sama PKR dan DAP untuk menumbangkan BN.

Tetapi untuk berada satu bahtera dengan kedua-dua parti itu bagi menuju ke Putrajaya, Pas tidak boleh berada di bahtera berasingan, mahu tidak mahu Pas perlu mengikut rentak PKR dan DAP.

Namun begitu yang menjadi halangan utama kepada Pas ialah dasar perjuangan Islamnya yang dikatakan menimbulkan perasaan tidak selesa terutamanya kepada DAP. Jika Pas terus bertegas dengan dasar Islam maka selagi itulah pakatan pembangkang dilihat mempunyai ideologi berbeza dan tidak mungkin dapat bersatu kerana perbezaan berkenaan.

Justeru Pas berusaha menutup isu perbezaan ini dengan menukar arah tuju perjuangannya bagi membolehkan ia serasi dengan PKR dan DAP. Pada mulanya Pas berusaha untuk mentarbiyahkan kedua-dua parti berkenaan supaya menerima dasar Islam yang mereka perjuangkan.

Namun kedua-dua parti itu enggan tunduk sehingga memaksa Pas mengalah kerana pilihan yang mereka ada ialah teruskan dasar perjuangan Islam atau tinggalkan pakatan pembangkang. Pas amat memahami bahawa mereka tidaklah mempunyai kekuatan politik jika bersendirian tanpa sokongan PKR dan DAP.

Walaupun sejarah politik negara membuktikan bahawa Pas bukanlah calang-calang parti tetapi keyakinan itu semakin luntur akibat diresapi dengan keterujaan untuk menguasai Putrajaya.

Pas dipengaruhi oleh PKR dan DAP bahawa kononnya BN kini berada dalam keadaan 'nazak' dan gelombang perubahan yang dikatakan melanda negara-negara di Asia Barat akan turut 'menghempas' bumi Malaysia dalam pilihan raya umum akan datang.

Oleh itu Pas tidak mahu ketinggalan bahtera yang dikemudikan oleh DAP dan dinakhodakan PKR, maka mereka bersedia bersama-sama biarpun hanya menjadi penumpang di pelantar paling bawah atau lebih tepat lagi anak kapal yang hanya mengikut perintah sahaja.

Bagi Pas, soal kedudukan tidak penting, soal dasar perjuangan sudah tidak perlu difikirkan, apa yang lebih utama ialah menawan Putrajaya dan menumbangkan kerajaan BN. Keghairahan Pas ini yang diibaratkan seperti kelompok yang begitu dahagakan kuasa telah diambil kesempatan oleh PKR dan DAP untuk menekan Pas supaya meninggalkan dasar perjuangan Islamnya.

Maka akhirnya wujudlah apa yang dipanggil konsep negara berkebajikan, satu konsep yang pernah dilaung-laungkan pada tahun 2008 tetapi langsung tidak dilaksanakan di negeri yang dikuasai oleh Pas sama ada di Kelantan mahupun Kedah.

Tindakan Pas meninggalkan perjuangan negara Islamnya telah memungkinkan parti itu dilihat sebagai kelompok yang paling tidak konsisten dalam perjuangan politiknya. Malahan Pas kini dilihat parti yang paling rugi kerana terpaksa mengorbankan ideologi perjuangannya semata-mata tunduk kepada tekanan merebut kuasa yang diuar-uarkan oleh PKR dan DAP.

Ketika kedua-dua parti itu sejak 2008 terus konsisten dengan dasar mereka, Pas pula semakin bercelaru dan sudah tidak mempunyai hala tuju lagi, selain mengikut sahaja ke mana yang akan dibawa oleh PKR dan DAP.

Demikianlah catatan perbualan penulis dengan pemimpin-pemimpin muda Pas berkenaan yang jelas menampakkan kekecewaan mereka terhadap perubahan hala tuju bahtera perjuangan Pas. Walaupun Pas sering menuding jari mengatakan bahtera UMNO semakin bocor dan akan tenggelam tetapi pada pandangan pemimpin-pemimpin muda berkenaan sekurang-kurangnya UMNO tidak menggadaikan prinsip perjuangannya demi mengejar kuasa.

''UMNO dominan dalam BN, malahan berbanding parti komponen lain UMNO jauh lebih kukuh dan sedang memperbaiki kelemahan berikutan apa yang berlaku pada pilihan raya umum lalu.

''Tetapi bagaimana dengan Pas? Pas tidak berbuat apa-apa selain terus teruja hendak merebut kuasa dan apa pun yang Pas rancang sekarang bukannya memperbaiki kelemahan parti tetapi semata-mata hendak nampak serasi dengan PKR dan DAP,'' kata salah seorang daripada pemimpin muda Pas berkenaan.

Sememangnya pemimpin-pemimpin Pas boleh berhujah apa sahaja bagi menghalalkan tindakan mereka menuju matlamat negara berkebajikan dan ia mungkin akan diterima oleh pengikut-pengikut tegar mereka. Namun bagi rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu yang boleh berfikir dan membuat penilaian mereka sudah pasti mengetahui betapa hebatnya Pas berusaha untuk mengejar kuasa sehingga sanggup menggadaikan segala-galanya termasuk perjuangan Islamnya.

Apa yang lebih malang dalam keghairahan itu Pas terlupa bahawa mereka bukanlah parti utama di dalam pembangkang tetapi dulu, kini dan selamanya akan hanya menjadi pak turut kepada PKR dan DAP.

Berdasarkan hakikat itu kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa, ''Sekarang Pas sudah sampai titik sama dengan dengan UMNO. Kita akan potong dan lintas dia.'' - hanyalah impian semata-mata. Wallahuallam.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: