Isnin, Disember 03, 2012

Apa sudah jadi dengan Tabung Memali?



Siapa C.N Al-Afghani? Di kalangan orang Pas, nama itu tidak asing. Beliau merupakan exco Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah dari tahun 1991 hingga 1997. Riwayat hidupnya juga menarik. Afghani atau nama sebenarnya Zainon Ismail pernah berjuang bersama Mujahidin di bumi Afghanistan pada sekitar tahun 1988.

Beliau juga pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas tuduhan mengetuai Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM). Khabarnya, Afghani tidak lagi bersama Pas. Beliau kini aktif menulis buku termasuk mendedahkan kepincangan dan kesesatan dalam Pas.

Mengapa beliau yang dikenali sebagai aktivis tegar Pas meninggalkan parti itu?

Rupa-rupanya ada cerita di sebalik perubahan beliau. Afghani telah menulis sebuah buku bertajuk Air Mata Di Bumi Memali yang diterbitkan pada 2010. Dalam buku itu, beliau telah mendedahkan isu penyelewengan Tabung Mangsa Memali, iaitu tabung yang dilancarkan oleh Pas bagi membantu anak yatim dan balu mangsa Memali.


Pendedahan tersebut mencetuskan kontroversi. Isu tersebut panas dan ternyata ramai pemimpin Pas kurang senang. Afghani sendiri mengaku beliau menerima ugutan sehingga terpaksa membuat aduan polis selepas penerbitan buku itu.

Lalu kita tertanya-tanya mengapa Pas tidak bersikap terbuka dan responsif kepada pendedahan tersebut? Mengapa tidak dijalankan siasatan telus bagi mengetahui kedudukan sebenar berhubung tabung berkenaan?

Sedangkan ahli dan penyokong Pas punya hak untuk tahu ke manakah wang kutipan tabung itu mengalir. Siapakah yang bertanggungjawab jika berlaku penyelewengan, bagaimana pula status tabung-tabung lain membabitkan parti itu?

Maka ada sebab yang kuat bagi Afghani merasa kecewa. Kebenaran yang dicari dalam isu Memali sampai hari ini gagal diberikan oleh Pas. Tetapi insyaAllah lambat laun, misteri itu akan terbongkar jua. Bangkai gajah bolehkah ditutup dengan nyiru? Wallahuallam.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: