Selasa, Disember 25, 2012

Isu banjir di Selangor : Punca banjir kilat dikenal pasti?


Liew Yuen Keong (dua dari kiri) bersama Ahli Jawatankuasa Biro Aduan MCA Serdang menunjukkan gambar-gambar kawasan yang terlibat dengan banjir kilat pada Jumaat lalu dan puncanya dalam sidang akhbar di Serdang, Selangor semalam.

Banjir kilat kali kedua yang teruk dalam tempoh kira-kira tiga bulan di sekitar Serdang, Jumaat lalu dikenal pasti berpunca daripada timbunan sampah di Kolam Takungan Air Serdang Jaya.

Selain itu, Pengerusi MCA Serdang, Datuk Liew Yuen Keong yang meninjau keadaan pada hari tersebut berkata, banjir kilat yang membawa lumpur itu juga dilihat berpunca daripada pembangunan di kawasan cerun bukit berhampiran Pusat Perdagangan Seri Kembangan di Bukit Serdang, masalah pam air dan sistem perparitan yang tidak disenggara dengan baik di Sungai Kuyu.

Kawasan-kawasan yang terlibat dengan bencana pada Jumaat lalu adalah Sungai Kuyu Kawasan 5 dan 9 di Kampung Seri Kembangan, Pusat Perdagangan Seri Kembangan di Bukit Serdang Seksyen 1 dan 14, Serdang Jaya dan Seri Serdang.

Dalam kejadian itu, air berlumpur setinggi lebih satu meter melanda kira-kira 400 buah rumah, mengakibatkan kerugian harta benda serta kesesakan jalan raya.

Menurut Yuen Keong, banjir kali ini dilihat lebih teruk berbanding pada September lalu. Beliau menyifatkan pengalaman buruk yang dialami penduduk dahulu gagal menyedarkan pihak berkenaan untuk mengambil sikap lebih serius bagi menangani masalah itu daripada berulang.

"Ini satu keadaan yang serius kerana pernah berlaku banjir kilat pada September lalu di kawasan sama. Nampaknya kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tidak mengambil tindakan agresif dan proaktif untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat MCA Bahagian Serdang dekat sini hari ini untuk menerangkan hasil tinjauannya di kesemua kawasan terlibat pada hari kejadian.


Menurut Yuen Keong, ketika membuat tinjauan pada hari tersebut, beliau mendapati terdapat beberapa tempat yang perlu diberi perhatian dan tindakan segera oleh kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dan MPSJ.

"Pertama ialah di kolam takungan air itu. Saya dapat lihat timbunan sampah yang banyak di dalamnya. Disebabkan itu air tidak dapat mengalir dengan baik lalu mengakibatkan banjir kilat ketika hujan lebat.

"Selain itu kolam itu memang tidak dibersihkan kerana terdapat banyak semak-samun walaupun telah berlaku banjir pada September lalu," jelasnya.

Kata beliau, punca-punca utama lain adalah pembangunan di cerun bukit yang menyebabkan air berlumpur itu turun ke kawasan rendah dan sepatutnya pihak MPSJ memantau kerja-kerja pembangunan itu sejak awal lagi.

"Dua pam air di Sungai Kuyu tidak disenggara dengan baik menyebabkan restoran-restoran di situ dimasuki air banjir," katanya.

Beliau difahamkan, banjir juga berlaku di Klang dan Kajang yang mana kawasan itu menerima peruntukan sebanyak RM5 juta daripada kerajaan negeri untuk projek-projek penyenggaraan banjir.

"Mengapa sehingga hari ini tiada peruntukan untuk bantuan pencegahan banjir di sini? Saya memohon supaya kerajaan negeri dapat memberi peruntukan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan MPSJ bagi menjalankan program pencegahan banjir di kawasan Serdang.

"Pepatah mengatakan bahawa 'sediakan payung sebelum hujan'. Kerajaan negeri dan MPSJ perlu bekerjasama dengan JPS dengan mengambil langkah proaktif demi membantu rakyat dan mengambil langkah-langkah awal pencegahan banjir," jelasnya.

Kata beliau, kerjasama pihak-pihak tersebut bersama-sama penduduk amat penting bagi memastikan tidak berlakunya banjir.

"Kita tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini, tetapi sesuatu perlu dilakukan demi kepentingan masyarakat setempat kerana mereka bimbang akan berlaku lagi banjir," ujarnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: