Rabu, Disember 05, 2012

Isu Selangor : Janji Talam Corporation ditagih?



Penduduk Taman Puncak Jalil, Subang Jaya dekat sini meminta Talam Corporation Bhd. (Talam) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) supaya segera membina jalan susur keluar ke ibu kota bagi mengelak masalah lalu lintas di kawasan itu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Puncak Jalil, Zainuddin Zainal mendakwa, sebelum ini pihak Talam telah bersetuju untuk menanggung 50 peratus perbelanjaan daripada jumlah keseluruhan pembinaan susur keluar itu.

"Saya minta Talam supaya mengotakan janji tersebut memandangkan kawasan di sini sering mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk.

"Pihak MPSJ juga perlu lebih proaktif dalam menangani masalah ini kerana kawasan ini berada di bawah penyeliaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog antara penduduk Taman Puncak Jalil dengan Talam, MPSJ, polis daerah Sepang dan Kinrara di Taman Puncak Jalil, Subang Jaya dekat sini semalam.

Dalam sesi dialog tersebut, penduduk turut membangkitkan beberapa perkara termasuklah pembinaan padang bola di PUJ 5, jalan sesak di pasar raya Giant dan pembinaan pondok polis.

Turut dibangkitkan, pemantauan berterusan MPSJ terhadap masalah jalan berlubang dan lampu isyarat yang sering rosak.

Menjawab persoalan mengenai jalan berlubang dan lampu isyarat, Pengarah Pembangunan Masyarakat MPSJ, Zaki Muhammad Yusoff berkata, jalan-jalan berlubang adalah di bawah kuasa pemaju kerana belum diserahkan kepada MPSJ.

"Pemaju seharusnya menyerahkan jalan-jalan di bawah kelolaan mereka secara rasmi kepada MPSJ, selepas itu barulah MPSJ boleh membaiki jalan-jalan tersebut, jika masih belum diserahkan ia masih di bawah pemaju.

"Mengenai lampu isyarat, kami sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa," ujarnya.

Zaki berkata, perkara-perkara lain yang dibangkitkan oleh penduduk akan di bawa kepada ahli majlis MPSJ untuk tindakan susulan.

Sementara itu, Zainuddin berkata, segala permasalahan yang dibangkitkan oleh penduduk diharap dapat diselesaikan oleh Talam dan MPSJ.

"Kami tidak mahu mana-mana pihak menuding jari kepada pihak yang lain. Apa yang kami mahu segala usul yang dibangkitkan diselesaikan segera," ujarnya.

Yang turut hadir dalam sesi dialog tersebut termasuklah Ketua Polis Daerah Serdang, Asistan Komisioner Razak Elias.

Suara politik
Belantan

Tiada ulasan: