Selasa, Disember 04, 2012

Isu Selangor : Noh cabar pembangkang debat?



Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar mencabar pembangkang berdebat dengan beliau berhubung isu tender agihan kuota benih padi sah yang kini dijadikan modal politik pembangkang.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Selangor berkata, beliau bersedia berdebat pada bila-bila masa dengan wakil pembangkang bagi menjawab isu itu dengan adil dan bermaruah.

"Ini isu lapuk yang sengaja diulang pembangkang dengan harapan rakyat akan percaya. Oleh kerana kes ini di bawah kementerian dan saya anak jati Selangor, saya mencabar Menteri Besar, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor untuk berhadapan.

"Jangan hanya berani berkokok di gelanggang sendiri, saya akan datang ke Selangor di mana-mana juga. Menteri Besar tetapkan tarikh di bulan Januari, tempat dan masa, insya-Allah saya akan datang dan jangan lari," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penutup Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2012 serta Hari Penternak, Peladang, dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2012 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, dekat sini hari ini.

Jumaat lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim mendakwa wujud penyelewengan dan monopoli oleh syarikat kroni UMNO dalam proses pemberian tender agihan benih padi dan membuat usul mendesak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menubuhkan jawatankuasa khas menyemak semula keputusan tawaran tender bernilai RM164.8 juta bagi tempoh dua tahun iaitu pada 2013 dan 2014.

Menurut Noh, kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak sepatutnya mempolitikkan isu tender agihan kuota benih padi sah di negeri itu kerana sudah diperjelaskan secara terperinci dalam sidang Dewan Rakyat Oktober lalu.

Tambah beliau, tindakan pembangkang membangkitkan semula isu itu juga hanya bertujuan mencemar imej beliau dan memburuk-burukkan BN menerusi fitnah tidak berasas.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Noh berkata, pihaknya turut bercadang meningkatkan had pinjaman mikro kredit di bawah kementeriannya iaitu daripada maksimum RM50,000 kepada sebanyak RM100,000.

Menurutnya, perkara itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menaikkan had pinjaman untuk peniaga kecil di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) membabitkan jumlah sama.

"Had pinjaman mikro kredit itu adalah pinjaman melibatkan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Agrobank," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: