Jumaat, Disember 14, 2012

Keegoan Khalid tolak analisis JP Morgan?



Tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menolak analisis sebuah firma bank pelaburan, JP Morgan bahawa kedudukan pasaran ekuiti dan ekonomi Malaysia pada tahun depan dijangka terus positif sekiranya Barisan Nasional (BN) kekal mentadbir negara ini menunjukkan beliau mempunyai sifat yang ego.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, selama ini Abdul Khalid begitu bermegah dengan pelbagai laporan seperti audit melibatkan firma antarabangsa dan sering menunjukkan beliau adalah seorang ahli korporat yang hebat.

“Beliau mana pernah hendak terima pendapat orang lain kerana merasakan dirinya adalah seorang ahli korporat yang hebat. Apa yang suka dipakai ialah pandangan daripada pakar-pakar antarabangsa.

Namun apa yang menghairankan mengapa apabila syarikat antarabangsa seperti JP Morgan memberikan pandangan, Abdul Khalid cuba memandang rendah. Adakah semata-mata pandangan tersebut menyebelahi Barisan Nasional (BN)?" katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan cek sumbangan kepada Madrasah Darul Tahfiz Ummul Qura di Jalan Kebun di sini hari ini.

Noh mengulas kenyataan Abdul Khalid yang menganggap pandangan JP Morgan sebagai berat sebelah dan sengaja menakut-nakutkan rakyat.

Dalam laporan akhbar The Star kelmarin memetik analisis daripada JP Morgan bahawa, tinjauan pasaran ekuiti dan ekonomi pada tahun depan akan menjadi positif jika BN terus kekal berkuasa.

Pengarah Eksekutif Penyelidikan Ekuiti JP Morgan Securities (M) Sdn. Bhd., Mak Hoy Kit dilaporkan berkata, terdapat pandangan tentang kemungkinan terdapat risiko jika parti pembangkang mengambil alih kerajaan.

Beliau berkata, Program Transformasi Ekonomi (ETP) oleh pentadbiran BN selain pelaksanaan program infrastruktur kerajaan termasuk projek-projek berkaitan dengan perkhidmatan rel akan dapat dilaksanakan sekiranya status quo politik sekarang terus kekal.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mempersoalkan sekiranya Abdul Khalid adalah seorang ahli korporat yang hebat mengapa Universiti Selangor (Unisel) sebelum ini mengalami kerugian dalam tempoh tiga tahun.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: