Khamis, Disember 06, 2012

Sanggupkah rakyat berpaling tadah?



Berbanding parti-parti pembangkang, Barisan Nasional (BN) adalah parti yang serba lengkap, bukan saja dari segi pengalaman mentadbir negara, menghadapi krisis, struktur organisasi, malah paling penting ialah parti itu mewakili semua suku kaum di negara ini, dari Semenanjung Malaysia hinggalah ke Sabah dan Sarawak. Setiap masalah rakyat, walau sekecil mana sekalipun bilangannya, sentiasa diberi perhatian wajar.

BN tidak pernah mengabaikan hak dan kebajikan mereka kerana mereka adalah sebahagian daripada BN. Itulah sebabnya jarang kedengaran isu yang membabitkan masalah kaum di negara ini kerana masing-masing sudah pun menerima hak mereka yang setimpal.

Jika ada masalah pun, hanyalah setelah mereka dihasut oleh pihak tertentu yang sengaja mahu menimbulkan kekecohan dan mahu mengikis kepercayaan rakyat terhadap BN. Matlamat pembangkang hanyalah semata-mata untuk mewujudkan suasana tegang dan memporak-perandakan kestabilan politik negara.

BN yang dianggotai 14 parti komponen sudah mencipta rekod cemerlang sejak ditubuhkan pada 1974, bermula menerusi gabungan dalam Perikatan yang berjuang untuk memerdekakan negara daripada penjajah. Setakat ini, kerajaan BN sudah merumus dan melaksanakan pelbagai dasar dan rancangan semata-mata untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.


Tidak ada kerajaan di dunia yang boleh disamakan dengan kemampuan BN yang bebas daripada sebarang prejudis terhadap kaum tertentu. Kejayaan BN ini sudah pun diiktiraf oleh pelbagai pertubuhan politik di seluruh dunia.

Berbeza dengan BN, parti-parti pembangkang bergabung hanya semata-mata untuk menghadapi BN dalam pilihan raya. Ikatan perkahwinan mereka hanyalah untuk sementara. Selepas pilihan raya, mereka akan membawa jalan masing-masing semula. Ini sudah pun berlaku dalam beberapa pilihan raya lalu.

Gabungan tidak ikhlas parti-parti pembangkang itu sebenarnya membuktikan sejak awal lagi mereka mengakui tidak mampu menyaingi BN secara bersendirian. Jalan mudah ialah bergabung sesama sendiri, walaupun berbeza ideologi dan terpaksa mengorbankan prinsip. Pas perlu mengakui, walau apa pun strateginya, mereka tidak akan dapat menarik rakyat bukan Islam untuk menyokong perjuangan mereka.

Ketika memegang jawatan tinggi dalam BN dan Umno, ungkapan seperti ini sering diluahkan oleh Anwar Ibrahim ketika membelasah Pas yang disifatkannya diterajui oleh pemimpin yang lemah. Pengikut Pas tentu tidak lupa bagaimana Anwar memperlekehkan pemimpin mereka.


Namun dengan niat untuk menjatuhkan kerajaan, Pas terpaksa berkompromi dengan parti-parti yang membuka ruang kepada kaum lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang membuka keanggotaannya kepada semua kaum.

Rakyat faham Pakatan mereka terlalu longgar dan tidak wajar diberi kepercayaan untuk menguruskan pentadbiran negara kerana ia hanya mencetuskan lebih banyak masalah. Seandainya mereka menang, dikuatiri akan berlaku persengketaan sesama sendiri kerana dari awal lagi semua parti berkenaan sudah menunjukkan sikap 'oportunis' masing-masing.

Walau apapun, rakyat tidak akan sanggup menolak BN hanya semata-mata kerana termakan hasutan pembangkang. Analisis akhir, rakyat akan bertanya kepada diri mereka sendiri apakah selama ini BN mengabaikan tanggungjawab untuk memakmurkan negara ini? Jasa BN kepada rakyat terlalu besar dan tidak ada sebab mereka perlu berubah pendirian. Fikir-fikirkan lah!

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: