Jumaat, Disember 07, 2012

Skandal hutang Talam - Selangor kaburi mata rakyat!



Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor didakwa cuba mengaburi mata rakyat berhubung isu kutipan semula hutang Talam Corporation Bhd. (Talam).

Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, walaupun kerajaan PKR Selangor mendakwa mereka berjaya menyelesaikan isu tuntutan hutang Talam seperti yang dilaporkan dalam kertas putih baru-baru ini, namun pengumuman Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) pada 28 November lalu memberi tamparan hebat kepada kerajaan PKR Selangor.

"Berdasarkan pengumuman KHSB, hutang Talam kepada KHSB kini berbaki RM115 juta, pengurangan sebanyak RM121 juta daripada jumlah hutang asal iaitu RM236 juta.

"Kami hairan kerana kertas putih kerajaan negeri atau laporan KPMG Transaction & Restructuring Sdn. Bhd. (KPMG) gagal memberi perhatian atau penjelasan tentang perkara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Tee Yong, firma juruaudit Tetuan AKN Arif yang dilantik untuk menyemak perjanjian penyelesaian hutang dengan Talam menemui sebanyak RM15 juta telah dihapus kira, penalti sebanyak RM58 juta kerana kelewatan membayar hutang tidak diambil kira dan sebanyak RM48 juta tidak dimasukkan dalam jumlah tuntutan hutang.


Jelas beliau, Tetuan AKN Arif juga menyebut kesemua penemuan itu memerlukan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada pengesahan hutang yang perlu dibayar oleh Talam telah mematuhi prosedur yang ditetapkan.

"Sebaliknya, kertas putih tersebut menyatakan segala-galanya mengikut prosedur dan laporan KPMG telah digunakan untuk memuji kerajaan PKR Selangor," ujarnya.

Kata Tee Yong, perbezaan baki hutang yang sangat besar dan penemuan dalam laporan Tetuan AKN Arif menunjukkan terdapat perancangan untuk menyelamatkan Talam.

"Kertas putih atau laporan yang dikeluarkan oleh KPMG hanyalah satu dokumen yang dihasilkan oleh kerajaan PKR Selangor untuk menyembunyikan kebenaran," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan negeri itu menulis semula kertas putih itu dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka dianggap mahu menyembunyikan kebenaran daripada rakyat.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: