Sabtu, Mac 16, 2013

Isu keselamatan negara bukan 'wayang'!



Terdapat segelintir warga Malaysia masih memandang rendah isu-isu berkaitan dengan aspek keselamatan negara. Insiden pencerobohan asing di Lahad Datu, Sabah misalannya dianggap oleh seorang pemimpin kanan parti pembangkang sebagai 'wayang'.

Malah, seorang ahli akademik di sebuah universiti tempatan, apabila ditanya oleh rakannya, turut beranggapan demikian. Beliau mengatakan bahawa insiden ini merupakan satu bentuk 'konspirasi' oleh parti pemerintah bertujuan melengah-lengahkan pilihan raya umum dan mengalih perhatian rakyat terhadap isu-isu penting yang sedang melingkari parti tersebut.

Impak kenyataan oleh pemimpin kanan parti pembangkang ini jelas berjaya mempengaruhi persepsi dan pemikiran rakyat. Walaupun banyak liputan berita dikeluarkan oleh media arus perdana mengenai insiden di Lahad Datu, ramai juga yang masih percaya semua ini hanyalah 'wayang' mainan parti pemerintah.

Ini bukanlah kali pertama rakyat Malaysia memberikan reaksi yang pelik sebegini. Ia pernah berlaku beberapa kali di negara ini seperti, insiden Memali di Baling pada 1984, insiden kecurian senjata di sebuah kem tentera dan insiden Sauk di Perak beberapa tahun dahulu.



Semua insiden ini pernah dianggap sebagai 'wayang' oleh segelintir rakyat Malaysia khasnya mereka yang menjadi penyokong tegar parti pembangkang. Sikap mereka ini menjelaskan lagi elemen ketaksuban yang semacam sudah sebati dalam persepsi, pemikiran dan nilai hidup mereka.

Elemen ketaksuban dalam segelintir masyarakat tidak ubah macam yang pernah dipaparkan dalam sebuah filem Melayu Pendekar Bujang Lapok arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Apabila Pendekar Mustar mengadu kepada Ramli, Ajis dan Sudin mengenai anak perempuannya yang telah diculik oleh sekumpulan penjahat, mereka bertiga hanya menjawab 'cobaan' berkali-kali. Demikianlah halnya dengan kelakuan segelintir rakyat Malaysia pada hari ini.

Insiden di Lahad Datu, termasuk pencerobohan oleh lebih 100 orang asing yang bersenjata yang mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu, kematian 10 orang anggota keselamatan, dan usaha keras anggota polis dan tentera untuk mempertahankan kedaulatan Malaysia daripada diceroboh, semuanya dianggap sebagai 'wayang'. Hujah mereka ini kelihatan agak kuat memandangkan masa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin hampir.

Selain hujah-hujah ini, ada juga kenyataan oleh beberapa pihak yang menyebut bahawa insiden di Lahad Datu ada kaitannya dengan 'jemputan' oleh pemimpin tertentu dalam pakatan pembangkang yang telah menjanjikan imbuhan tertentu yang sekali gus menarik minat orang-orang Sulu ini untuk menceroboh negara ini. Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa kedatangan orang Sulu ini adalah atas faktor ekonomi.



Walau apa pun kenyataannya, insiden Lahad Datu ini tidak akan memberi apa-apa keuntungan kepada Malaysia. Apatah lagi negara ini sedang berada di ambang PRU-13. Yang pasti, apabila ia berlaku, aspek keselamatan negara, kedaulatan negara serta rakyat Malaysia khasnya mereka yang mendiami kawasan Lahad Datu, terjejas. Dan yang pasti juga, ada pihak, sama ada di Malaysia mahupun di luar negara, yang akan mendapat 'untung' sekiranya pencerobohan ini berjaya mencapai matlamatnya.

Satu lagi pendapat yang agak 'akademik', bersandarkan kepada 'ripe moment theory' yang dipopularkan oleh sarjana pengajian konflik antarabangsa, William Zartman, mengatakan insiden pencerobohan asing di Lahad Datu ini sebenarnya tiada kaitan langsung dengan perkembangan politik tempatan di Malaysia.

Ia berlaku kerana faktor masa, yakni, masa yang sesuai. Pihak yang menceroboh sebenarnya telah lama merancang untuk menyerang Malaysia dengan menceroboh kawasan yang paling hampir dengan kawasan mereka di perairan Sulu. Dan Lahad Datu dipilih kerana kedudukannya yang sangat hampir dengan mereka.

Masa yang dipilih oleh penceroboh ini dikatakan sesuai kerana Malaysia pada ketika ini sedang sibuk untuk menghadapi PRU-13. Justeru, ia merupakan satu masa yang sangat strategik untuk 'menceroboh'.



Pun begitu, sementara anggota pasukan keselamatan Malaysia sedang berjuang habis-habisan bagi mengekang dan memusnahkan ancaman penceroboh dari Sulu ini, apakah jaminannya bahawa insiden yang sebegini tidak akan berulang lagi pada masa hadapan? Kita harus ingat bahawa insiden ini ada kaitannya dengan isu Sabah.

Kerajaan Filipina dan Sultan Sulu pernah mengemukakan tuntutan ke atas Sabah yang disifatkan sebagai sebahagian daripada wilayah jajahan Kesultanan Sulu sebelum ia diambil alih oleh British, merdeka dan menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Isu tuntutan ke atas Sabah ini ialah isu yang bersifat sejarah. Ada beberapa isu yang bersifat sejarah dan kewilayahan yang boleh memberikan impak negatif kepada Malaysia sekiranya ia tidak ditangani dengan penuh berhati-hati. Antaranya seperti isu keselamatan di wilayah Selatan Thailand, isu dengan Singapura dan isu Spratly.

Mungkin sudah tiba masanya bagi kerajaan Malaysia untuk mengkaji semula aspek dasar luar Malaysia, dasar pertahanan negara, dan dasar keselamatan dalam negara. Kerajaan Malaysia mungkin boleh mula untuk berfikir untuk mengguna pakai tindakan seperti forward-defence bagi tujuan mempertahankan kedaulatan negara.

Kita tidak seharusnya menunggu musuh untuk muncul di hadapan pintu rumah sebelum bertindak. Sphere of defence operation Malaysia misalannya mungkin boleh diperluaskan meliputi sekitar rantau Asia Tenggara sekurang-kurangnya. Begitu juga dengan aktiviti agensi perisikan Malaysia mungkin boleh dilebarkan melangkaui kawasan sempadan Malaysia dengan negara-negara yang berjiran dengannya.



Ini sangat perlu kerana dalam dunia era global pada hari ini, ancaman terhadap kedaulatan dan keselamatan negara boleh datang bukan sahaja daripada aktor negara (state actor), malah aktor bukan negara (non-state actor). Kecenderungan aktor bukan negara sebagai ancaman utama Malaysia bukan lagi satu 'wayang' ataupun ilusi.

Hari ini, kita dapat lihat banyak peristiwa dalam politik antarabangsa yang melibatkan peranan aktor bukan negara yang memainkan peranan penting dalam memporak-perandakan keadaan politik dan ekonomi sesebuah negara. Lihatlah peristiwa-peristiwa yang telah melanda beberapa negara seperti 'Arab Spring' yang mana 'dalangnya' ialah aktor bukan negara yang berselindung di sebalik bayangan negara-negara kuasa besar dunia.

Demikian betapa pentingnya aspek keselamatan negara. Ia tidak boleh dan tidak wajar dijadikan sebagai bahan mainan ataupun diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak. Apa yang jelas ialah insiden pencerobohan asing di Lahad Datu sebagaimana yang sedang berlaku pada hari ini telah dimanipulasi oleh parti pembangkang bertujuan untuk mencapai political mileage dan memburukkan imej negara di mata dunia.

Golongan yang sebegini tidak sedikit pun ada rasa prihatin terhadap aspek keselamatan negara dan kedaulatan negara. Apa sahaja yang boleh dipolitikkan akan dipolitikkan sehinggakan tindakan menghantar anggota tentera Malaysia bagi menjalankan operasi di Lahad Datu menggunakan pesawat Air Asia pun boleh dipolitikkan. Di sini kita dapat lihat betapa dangkalnya pemikiran pemimpin, penyokong dan mereka yang bersimpati dengan parti pembangkang.

Kita harus ingat bahawa dalam dunia politik, tidak ada 'wayang' atau 'ilusi'. Yang ada ialah 'realiti' dan 'kebenaran', dan insiden yang sedang berlaku di Lahad Datu ialah satu 'realiti', bukannya 'wayang' sebagaimana yang sedang difikirkan oleh segelintir orang di Malaysia.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: