Jumaat, April 12, 2013

PRU -13: Anwar jangan perlekeh Papagomo?


Hasrat pengendali blog Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menentang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Permatang Pauh, melambangkan keberanian dan semangat tinggi.

Walaupun pertama kali bertanding dan tidak mempunyai 'track record' dalam mana-mana PRU sebelum ini, Papagomo seolah-olah amat yakin dan mempunyai 'modal' tersendiri untuk membeli dan mematahkan hujah-hujah pihak lawannya.

Setelah melihat semangatnya yang mengambil borang pencalonan calon PRU-13 di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan baru-baru ini, ternyata kesungguhannya untuk bertanding tidak dapat dinafikan lagi.

Niat sebenar lelaki berusia 30 tahun itu untuk bertanding adalah bagi meneruskan kesinambungan kesejahteraan, kestabilan dan keamanan bangsa Malaysia.

Bagaikan tikus melawan gajah, Papagomo yang belum tentu mempunyai ramai penyokong itu akan bersaing dengan seorang pemimpin utama pembangkang dan juga mempunyai penyokong fanatik tersendiri.

Bagaimanapun, satu persoalan timbul, bagaimana sekiranya Papagomo berjaya memenangi Parlimen Permatang Pauh dan mengalahkan Anwar.

Presiden Warisan Anak Merdeka, Abdul Ghani Harun berkata, jika Papagomo berjaya mendapat undian dan mengurangkan undi majoriti Anwar sekali pun, itu sudah memadai dan membuktikan pengaruh Anwar semakin merudum.

"Jika Papagomo langsung tidak mendapat undi dan kalah wang pertaruhan, hal itu tidak memberi kesan apa-apa kerana semua sedia maklum terhadap kekuatan dan pengaruh Anwar di kawasan Parlimen itu.

"Sebaliknya Anwar akan malu besar sekiranya undi majoritinya merosot atau tewas di tangan Papagomo," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Pada 8 April lalu, Papagomo mengesahkan akan bertanding sebagai calon Bebas menentang Anwar sama ada di kawasan Parlimen Permatang Pauh atau di mana-mana kawasan yang ditandingi Ketua Pembangkang itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut Papagomo, keputusan itu bagi menunjukkan beliau benar-benar serius meminta Anwar berundur secara terhormat dari arena politik negara seperti diminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad lebih sedekad lalu.

Beliau sebelum ini sudah memberi amaran supaya Anwar berundur bagi mengelak video aksi homoseksual yang dikaitkan beliau dengan Anwar dipaparkan kepada umum, namun Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berdegil.

Papagomo mempunyai lebih daripada satu video membabitkan Ketua Pembangkang itu untuk didedahkan kepada umum sepanjang tempoh berkempen nanti.

Sementara itu, Bekas Setiausaha Sulit Anwar Ibrahim, Rahimi Osman berpendapat, peluang Papagomo untuk menang adalah tipis kerana beberapa faktor.

Katanya, salah satu faktor adalah populariti Anwar di Permatang Pauh sendiri yang berjaya menandingi Papagomo.

"Jika Anwar kalah, dia harus meletakkan jawatan dan bersara daripada politik kerana kekalahan itu menunjukkan bukan sahaja rakyat Malaysia menolak Anwar, tetapi orang kampungnya sendiri telah menolaknya.

"Pada waktu itu (jika kalah), Anwar tidak lagi relevan dalam politik Malaysia," ujarnya.

Pokok pangkalnya, Anwar tidak boleh memandang rendah kepada kebolehan Papagomo pada PRU-13. Jangan perlekeh kebolehan Papagomo.

Ibarat kata pepatah Melayu, 'kecil-kecil cili api, Walaupun kecil tetap berapi'.

Dalam satu aspek yang lain, Anwar juga tidak perlu berasa bangga sebaliknya perlu berasa malu kerana terpaksa bertanding dengan calon-calon biasa atau calon tiada pengalaman berbanding dengan calon-calon yang setaraf dengan tahap kerjaya politiknya selama ini.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: