Isnin, April 22, 2013

PRU -13 : Taktik DAP tarik simpati?


DAP membuka gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dengan berusaha meraih simpati apabila menjadikan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak mengiktiraf ahli baru Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu yang dilantik dalam pemilihan pada 15 Disember lalu sebagai satu isu politik.

Walaupun ROS menegaskan DAP masih boleh menggunakan lambang parti itu dalam pilihan raya kali ini dan ia dipertegaskan pula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun DAP berusaha menjadikan keputusan ROS sebagai alasan untuk menggunakan lambang Pas di Semenanjung dan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sabah dan Sarawak.

Walaupun akhirnya DAP tidak berbuat demikian namun dalam berhadapan dengan taktik yang cuba digunakan, kita haruslah mengkaji secara mendalam kenapakah semua itu berlaku? Apakah ia satu penganiayaan oleh ROS atau segala-galanya berlaku berikutan kesilapan DAP sendiri ketika menjalankan proses pemilihan parti itu?

DAP sememangnya ‘pakar’ dalam memberikan fakta separuh benar bagi tujuan politik mereka, tetapi mereka sama sekali tidak boleh menyembunyikan fakta sebenar sehingga memungkinkan ROS terpaksa bertindak.

Persoalannya, kenapakah tindakan ROS dilihat bermotif politik sedangkan DAP tidak akan berada dalam kedudukan sekarang jika DAP yang kononnya sering menampilkan mereka perjuang sejati demokrasi menafikan hak 753 ahlinya untuk hadir ke kongres yang diadakan.

Perkara pertama yang perlu difahami bahawa ROS tidak pernah mengancam untuk membatalkan pendaftaran DAP, malah hakikatnya ia adalah kesilapan parti itu berikutan pengumuman salah kira pada pemilihan yang diadakan mengakibatkan terpaksa dilakukan pindaan tentang ahli CEC baru berbanding keputusan sebelumnya. Dalam keputusan yang diumumkan tiga minggu selepas konvensyen berakhir, Zairil Khir Johari dilantik anggota CEC.

Sebagai sebuah parti yang mempunyai peguam-peguam yang hebat-hebat belaka, DAP sepatutnya menyedari perkara itu boleh menimbulkan implikasi dari segi undang-undang dan mereka seharusnya mempunyai peluang untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa secepat mungkin selepas isu itu didedahkan bagi mendapat ratifikasi keputusan pemilihan daripada delegasi atau membuat proses pemilihan semula.

Bagaimanapun mereka tidak berbuat demikian dan berpendirian keputusan terbaru pemilihan sebagai sah dan diterima delegasi.


Tetapi apa yang anehnya, apabila wujud masalah dan ROS bertindak, DAP cuba menyalahkan pesaing atau musuh politiknya sedangkan laporan mengenai salah laku pemilihan CEC dibuat oleh ahli parti itu sendiri dan di bawah peraturan ROS, apabila menerima laporan seumpama itu adalah menjadi tugas agensi tersebut menjalankan siasatan.

Itu pun ROS tidak terus bertindak melulu sebaliknya mengikut prosedur sedia ada dengan meminta DAP menghantar laporan lengkap tentang kejadian itu. Namun begitu DAP seolah-olah menunjukkan kedegilannya apabila tidak menghantar laporan lengkap dan tidak menjawab berhubung aduan berkaitan 753 ahlinya yang tidak diberikan notis.

Berikutan apa yang berlaku, ROS menetapkan 18 April untuk siasatan di Pulau Pinang dan meminta mereka yang terlibat memberi kenyataan kepada pegawai ROS, bagaimanapun DAP meminta ia ditangguhkan atas alasan terlalu hampir dengan pilihan raya. ROS bersetuju dengan permintaan tersebut dan memberi lanjutan tempoh selama 30 hari sehingga 27 Mei depan bagi menjawab segala persoalan yang timbul.

Sikap mahu berpolitik DAP dalam isu ini semakin ketara, apabila parti itu tidak mendedahkan kepada umum bahawa dalam surat ROS kepada mereka, ROS hanya menyatakan perkara yang menimbulkan kemusykilan dan tidak dapat mengiktiraf keputusan terbaru CEC.

Keadaan itu menunjukkan DAP masih boleh berjalan seperti biasa memandangkan ROS tidak mengisytiharkan pemilihan yang berlangsung atau CEC sebagai batal atau tidak sah, malahan agensi itu tidak menyebut langsung dalam suratnya bahawa CEC tidak boleh berfungsi atau tidak boleh menjalankan tugasnya.

Masih Sah

Selain itu, walaupun status CEC baru tidak diiktiraf oleh ROS namun DAP masih boleh menjalankan tugasnya memandangkan ahli CEC sebelumnya boleh melaksanakan tanggungjawab sehingga keputusan mengenai ahli CEC baru dilakukan, ia selaras dengan fungsi sementara (care taker).

Berdasarkan kepada fakta-fakta di atas timbul persoalan kenapakah secara tiba-tiba DAP membangkitkan isu tidak boleh menggunakan lambang parti itu sedangkan DAP masih sah sebagai parti politik dan logonya masih didaftarkan dengan SPR.

Oleh itu ia secara langsung menepis keraguan tidak munasabah pemimpin DAP khususnya Guan Eng sama ada beliau sebagai Setiausaha Agung boleh mengeluarkan surat penamaan calon kepada SPR atau tidak, memandangkan beliau masih sah memegang jawatan itu.


Apa yang dipaparkan ini jelas membuktikan, ketika berada dalam terdesak dan demi meraih simpati politik, DAP yang sering melaungkan soal ketelusan, integriti dan amanah sanggup memutar belitkan fakta sebenar. Matlamat DAP adalah bagi menunjukkan kepada rakyat kononnya mereka menjadi mangsa sehingga Kit Siang menangis kerana kecewa kononnya dalam tempoh 47 tahun penubuhannya, ini kali pertama mereka tidak boleh menggunakan lambang Roket dalam pilihan raya.

Soalnya siapa yang berkata demikian? ROS atau DAP? Semua ini tidak akan berlaku sejak awal lagi jika DAP tidak bertindak seolah-olah mahu memaksa ROS mengiktiraf keputusan pemilihan CEC biar pun wujud keraguan. DAP dilihat sengaja tidak mahu memberikan segala maklumat lengkap bagaimana kesilapan teknikal boleh berlaku dan hanya memberi laporan minit mesyuarat serta senarai baru anggota CEC yang ditukar keputusannya.

Oleh itu adalah jelas isu penggunaan lambang adalah tindakan terdesak DAP yang kini menghadapi pelbagai kemelut dalaman dan hasrat mereka untuk menggunakan lambang Pas dan PKR sebelum ini hanyalah satu keputusan politik.

Justeru tumpuan diberikan terhadap reaksi penyokong-penyokong Pas khususnya, berikutan kesediaan kepimpinan mereka yang secara rela hati membenarkan sebuah parti yang sebelum ini menentang habis-habisan perjuangan Islam Pas menggunakan lambang parti tersebut.

Umum amat mengetahui bahawa sejak dulu, kini dan selamanya bahawa DAP tidak akan menerima konsep negara Islam dan hukum hudud yang diperjuangkan oleh Pas.

Malahan sehingga ke hari ini, penyokong-penyokong Pas masih terasa bagaimana kerasnya kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh terhadap keputusan Majlis Syura Ulama Pas menolak penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam seperti mana dipersetujui secara bersama sebelum itu oleh pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang.

Walaupun apa yang akan dilakukan oleh DAP termasuk menyentuh soal maruah Pas, namun seperti biasa pemimpin-pemimpin Pas terus bersedia menjalin hubungan rapat dengan DAP demi mencapai cita-cita ke Putrajaya.

Penulis difahamkan oleh sumber dalaman bahawa tindakan kepimpinan Pas membenarkan DAP menggunakan lambang parti itu menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli-ahli akar umbi.


‘‘Mereka mempersoalkan kenapakah DAP mahu menggunakan lambang Pas atau PKR sedangkan ROS bukannya melarang DAP menggunakan lambang sendiri.

‘‘Kalau pun DAP takut sangat implikasi selepas pilihan raya, adalah lebih baik DAP menggunakan lambang PKR kerana pendirian politik kedua-dua parti sering sahaja sehaluan dan kadang kala ada tindakan mereka meminggirkan Pas,’’ kata sumber itu.

Ahli-ahli akar umbi Pas juga kata sumber itu tidak dapat menerima kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kononnya tindakan DAP menunjukkan Pas berjaya mendidik DAP menerima Islam.

‘‘Kalau betul kenyataan itu, kita mahu kepimpinan mengetengahkan kembali usaha menegakkan perjuangan Islam sepanjang kempen pilihan raya ini ini dan kita lihatlah apa reaksi DAP,’’ kata sumber itu.

Apa pun, adalah wajar jika rakyat diperingatkan agar tidak terperangkap dengan mainan politik DAP dalam isu CEC.

Ia memandang hakikatnya mereka tidak pernah menjadi mangsa, sebaliknya mereka sendiri yang bersandiwara seolah-olah mereka ‘dimangsakan’, seperti mana Pas merelakan menerima nasib sedemikian apabila memutuskan untuk bersama pakatan pembangkang.

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: