Ahad, Mei 12, 2013

BN kalah di Selangor kerana merosotnya sokongan pengundi Cina?


Kekalahan Barisan Nasional (BN) di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu, adalah kerana merosotnya sokongan para pengundi Cina, khususnya pengundi Cina muda terhadap BN, terutamanya di kawasan bandar.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata, ia berlaku kesan daripada kempen negatif pembangkang yang mendakwa kononnya pilihan raya kali ini tidak bersih dan dicemari pengundi hantu warga Bangladesh.

Strategi BN pada PRU13 ialah mendapatkan sokongan pengundi Melayu pada sekitar 60 peratus, pengundi Cina (30 peratus) dan pengundi India (60 peratus), daripada 2.04 juta pengundi berdaftar di negeri ini, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Biarpun sokongan daripada kaum Melayu di Selangor meningkat kepada antara 65 peratus dan 75 peratus di kawasan pinggir bandar dan luar bandar, sasaran peningkatan sokongan pengundi Cina dan India itu tidak tercapai.

"Satu perkara yang amat mengejutkan kita ialah penolakan dan pengurangan sokongan daripada pengundi Cina yang amat ketara sampai hanya sekitar lima hingga 15 peratus," katanya.

Secara purata sokongan pengundi India, yang diperoleh kali ini adalah pada kadar 40 peratus sahaja dan keadaan ini menyukarkan BN untuk mengurangkan kesan kejatuhan sokongan pengundi Cina, katanya.

Pada PRU13, BN hanya memenangi 12 daripada 56 kerusi DUN, dan lima daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor.
Katanya, pembangkang telah melancarkan kempen dan dakyah yang keterlaluan termasuk melalui media siber bagi mempengaruhi pengundi Cina.

Kempen itu mendorong pengundi muda Cina khususnya untuk kembali ke tempat asal mereka, membawa bersama keluarga untuk mengundi pembangkang selain bersiap sedia mengawasi kemunculan pengundi hantu sebagaimana yang didakwa oleh pihak pembangkang itu, katanya.

"Ini sesuatu yang tidak benar dan tidak mungkin berlaku namun mereka percaya ia akan berlaku. Apa yang menjadi punca dan mencetuskan perkara ini adalah apabila mereka hilang pertimbangan dan pemikiran yang waras. Ia dibuat berdasarkan emosi dan perkara ini amat menyedihkan," katanya.

Mohd Zin juga berasa pelik apabila ketua pembangkang Anwar Ibrahim masih mempersoalkan keputusan pilihan raya peringkat Parlimen dan mendakwa kononnya ia tidak bersih, sedangkan beliau boleh menerima keputusan rakyat dalam pilihan raya peringkat negeri di Selangor dan Pulau Pinang.

Mengenai pelantikan Menteri Besar Selangor, beliau berkata: "Saya berasa sedih kerana sehingga hari ini kerajaan negeri Selangor masih belum dibentuk, sekurang-kurangnya beritahulah rakyat tentang langkah seterusnya untuk mara ke hadapan dan bukannya bertelagah tentang siapa yang akan menjadi Menteri Besar Selangor, yang kini sudah diketahui umum dan tidak bagus untuk rakyat."

Mengenai Ketua Pembangkang di Selangor, Mohd Zin berkata beliau sudah mengarahkan kesemua 12 Adun BN untuk berbincang sesama mereka untuk memilih Ketua Pembangkang.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: