Selasa, Mei 28, 2013

Edisi kantoi...!!! Pemuda PAS Desak Anwar Buat Penjelasan?


Perselisihan yang berlaku antara pemuda PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak beberapa hari lalu memasuki episod baharu hari ini.

Ia apabila Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini dengan lantang menuntut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat penjelasan berhubung perjanjian sulit antara ketua pembangkang itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Ketua DPPM, Dr. Raja Ahmad Al-Hiss berkata, Anwar perlu menjelaskan sama ada perjanjian itu benar-benar berlaku dan mengapa beliau menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan pemimpin pembangkang yang lain terutama PAS.

“DPPM meminta penjelasan daripada Anwar berhubung wujudnya perjanjian sulit antara beliau dengan Perdana Menteri . Apakah benar pertemuan ini telah berlangsung dan apakah isi kandungan perjanjian itu?. Mengapa pemimpin pakatan yang lain tidak dimaklumkan mengenai pertemuan tersebut?,” desaknya melalui satu kenyataan media hari ini.

Raja Ahmad dalam pada itu berkata, DPPM mengingatkan PKR bahawa PAS menolak sebarang kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) selama ini termasuk mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pemimpin yang mengadakan perjanjian sulit dengan BN.


Malah, katanya, sekiranya ada cadangan pertemuan tersebut PAS akan berbincang dengan pemimpin PKR dan DAP terlebih dahulu serta akan menjadi perbincangan umum.

Beliau turut membandingkan kesetiaan DAP dalam pakatan pembangkang kerana parti itu sebelum ini pernah menolak tawaran BN dan terus bersama pakatan pembangkang.

“PKR pula berpegang teguh dengan prinsip setiakawan dan kesepakatan dalam pakatan. Hanya penjelasan (daripada Anwar) dapat melegakan keresahan penyokong-penyokong di peringkat akar umbi,” katanya lagi.

Media pada 25 Mei lalu melaporkan bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla mendakwa Anwar telah memungkiri perjanjian rahsia untuk menghormati keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Malaysia yang diuruskan beliau selaku orang tengah antara Perdana Menteri dan ketua pembangkang itu.

Jusuf mendedahkan bahawa perjanjian bertulis dibuat antara Najib dan Anwar pada April iaitu bagi menegah daripada melakukan serangan peribadi semasa berkempen dan menerima keputusan pilihan raya 5 Mei seperti yang dicadangkan sendiri oleh Anwar.

Menurut Jusuf, Anwar menemui beliau berhubung perjanjian itu dua bulan lepas dan meminta Jusuf menemui lawannya serta mendapatkan komitmen beliau berhubung keputusan pilihan raya yang aman.

Semalam pula dilapurkan hubungan antara pemuda PAS dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) mula retak apabila kedua-dua pihak saling menunding jari berikutan kegagalan pakatan pembangkang menawan Putrajaya pada 5 Mei lalu.

Selanjutnya sila baca di sini.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: