Jumaat, Mei 31, 2013

'Red Bean Army' cuba cabar kesabaran polis?


Ugut demonstrasi pertikai keputusan PRU-13

Keazaman Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk memerangi segala bentuk jenayah amat dinantikan kerana sebelum ini persepsi orang ramai ialah polis seolah-olah buntu untuk menanganinya.

Satu usaha baru polis sebagai mana diumumkan Khalid ialah menubuhkan sebuah Jabatan Pencegah Jenayah bermula di ibu pejabat polis di Bukit Aman dan disusuli di semua kontingen polis negeri dan di setiap daerah untuk berganding bahu dengan Jabatan Siasatan Jenayah.

Ketika mengumumkan penubuhan jabatan baru itu, Khalid memberi jaminan ia adalah satu komitmen polis untuk mencegah jenayah sejajar kehendak masyarakat yang mahu melihat polis berperanan lebih efektif memerangi jenayah.


Malah kolum ini pernah menyorot satu daripada sebab kenapa hampir keseluruhan pengundi bandar tidak menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu juga berkaitan dengan berleluasanya jenayah di bandar.

Begitu buruknya keadaan atau setidak-tidaknya persepsi umum terhadap perlakuan jenayah hinggakan ramai penghuni dan pengunjung berasakan mereka tidak selamat apabila berada di bandar walau pun pada siang hari.

Penjenayah warga luar

Sesungguhnya, terlalu banyak kejadian ragut, rompakan dan pecah rumah berlaku di Kuala Lumpur dan bandar sekitarnya. Keadaan begitu serius hingga terpaksa diadakan papan tanda mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati di kawasan jenayah ragut. Jenayah pecah rumah juga sering berlaku dan polis dilihat begitu tidak bermaya untuk menangkap penjenayah terbabit dan menghadapkan mereka ke mahkamah.

Kes pecah rumah begitu berleluasa hinggakan penghuni sesuatu kawasan perumahan terpaksa pula menyediakan pasukan keselamatan untuk mengesan orang yang keluar masuk di kawasan mereka.

Malah, ada pihak menyatakan kalangan penjenayah ialah warga negara Amerika Selatan seperti Columbia dan Peru serta negara Afrika seperti Nigeria dan Kenya dikatakan datang ke negara ini untuk melakukan pelbagai jenayah serta penipuan melalui internet.

Gerakan ‘Red Bean Army’

Malangnya, ketika pihak polis berusaha memerangi jenayah sedemikian, ia terpaksa pula berdepan dengan perbuatan puak yang digelar ‘Red Bean Army’ yang berterusan menghasut orang ramai membenci kerajaan serta kumpulan yang tidak henti mengadakan perhimpunan haram di seluruh negara bagi membantah keputusan PRU-13.


Mereka yang diketuai Anwar Ibrahim itu berterusan mendakwa berlaku penipuan ketara dalam PRU-13, termasuk ketika pengiraan undi. Walaupun peruntukan sedia ada membolehkan sesiapa saya yang mempertikaikan keputusan pilihan raya itu mengemukakan petisyen ke mahkamah sebagai mana yang akan dilakukan parti pembangkang sendiri, mereka tetap meneruskan perhimpunan haram itu.

Malah, mereka dengan selamba mengumumkan akan melakukan demonstrasi jalanan besar-besaran, iaitu BERSIH 4.0 jika kepemimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melepaskan jawatan seperti yang dituntut.

Rakyat mahukan keamanan

Sememangnya, puak tidak bertanggungjawab itu mahu mewujudkan keadaan cemas yang memberi tekanan hebat kepada pihak polis untuk memastikan perhimpunan sedemikian tidak mencetuskan kacau-bilau. Mereka seolah-olah mencabar kesabaran pihak polis serta berharap tindakan tegas pihak berkuasa akan mencetus huru-hara.


Bukankah perlakuan itu suatu usaha Anwar untuk namanya terus dipaparkan media? Justeru, apa yang perlu dilakukan media arus perdana ialah berhenti memberikan ruang publisiti kepada ketua pembangkang itu. Media arus perdana harus bersikap seolah-olah beliau sudah tidak lagi bermakna dalam politik tanah air.

Sekali pun pelbagai perhimpunan itu dapat diadakan secara aman, orang ramai tetap cemas kerana suasana tegang diwujudkan pihak pembangkang itu boleh mencetuskan kekacauan. Majoriti rakyat yang cintakan keamanan dan kesejahteraan tidak merestui tindak-tanduk sedemikian. Apa yang diingini rakyat ialah suasana aman dan tenteram untuk negara terus bergerak maju.-BH

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: