Isnin, Jun 10, 2013

Erdogan Salah Pilih Kawan Di Malaysia?


Pengaruh Recep Tayyip Erdogan adalah satu fenomena baru dalam dunia Islam moden. Ramai aktivis Islam yang melihat kejayaannya menguasai Turki sebagai satu inspirasi perjuangan bagi mereka.

Kepintarannya berpolitik sehingga dapat menjinakkan pengaruh Angkatan Bersenjata Turki supaya yakin dan bersedia “memberi peluang” kepada perjuangan menegakkan demokrasi adalah sesuatu yang amat menguja gerakan Islam seluruh dunia.

Di segi penjenamaan perjuangan, beliau berjaya mempotretkan diri sebagai seorang pembela rakyat, membangun pemerintahan bersih dan cuba meruntuhkan sekularisme Turki.

Memang tidak keterlaluan jika Erdogan dianggap ikon gerakan Islam alaf ini. Malah pengaruhnya sampai ke Malaysia. Dalam menghuraikan asas dan kaedah perjuangan gerakan Islam di Malaysia, ada kumpulan yang senang diberi jolokan sebagai kumpulan Erdogan.

Dalam PAS, misalnya, ada sekumpulan pemimpinnya yang digolongkan sebagai puak Erdogan. Mereka ini kagum dengan cara Erdogan menyusur denai politik berliku di Turki yang sentiasa dipingiti kuasa besar Timur dan Barat, Islam dan non-Muslim.

Satu lagi juzuk perjuangan Erdogan cuba dipakej semula sebagai puak Anwarinas atau ada yang menamakannya Anwaristas. Apapun ia dikepalai oleh Anwar Ibrahim, ketua pembangkang di Malaysia.

Anwar nampaknya senang dengan gelaran ini. Malah bukan satu rahsia lagi bahawa Erdogan memang banyak menjadi sumber ilham dan strategi bagi Anwar Ibrahim. Dikatakan juga pakar-pakar strategi pilihan raya Erdogan kerap ke Malaysia untuk membantu Anwar menyusun strategi politiknya.

Bagaimanapun kini sama ada boleh disifatkan sebagai senjata makan tuan atau tidak, nampaknya strategi yang dititipkan kepada kumpulan Erdogan di Malaysia kelihatan akan menjadi igauan Erdogan di Turki sendiri.

Kini sudah seminggu Turki bergolak. Daripada isu kecil seperti pembangunan semula bandar untuk menjadikan Gezi Park sebagai lanskap pembangunan seimbang dunia-akhirat di Ankara, isu itu merebak menjadi satu protes rakyat menuntut Erdogan letak jawatan.

Walaupun Erdogan yakin siri demonstrasi jalanan dan pertempuran dengan polis itu bukan bunga-bunga berlakunya “Turkish Spring”, ketegangan politik terus berlaku di mana-mana.

Ini kerana isu Gezi Park hanya pencetus kebencian mendalam terhadap strategi dan dasar pro-Islam Erdogan. Puak ekstremis, sekularis dan penganut hak asasi manusia amat bimbang Erdogan mahu menjadikan Turki sebagai negara Islam walhal sekularisme ialah perlembagaan Turki.

Strategi makan diri

Perihal bantuan Erdogan pada pembangkang di Malaysia memang sudah lama jadi bualan politik di Malaysia. Namun natijahnya, bantuan dan strategi Turki ini menghasilkan separuh rakyat Malaysia yang boleh mengundi sudah dinilai dengan kebencian terhadap kerajaan.

Malangnya bibit kebencian yang sama kini menulari Turki pula.


Umumnya yang mahu memporak-perandakan Turki ialah mereka yang menentang dasar Erdogan ingin memperkenalkan zon larangan alkohol dan mengharamkan perzinaan. Isu Gezi Park hanya pencetus hura-hara.

Di Malaysia, isu dakwaan ada penipuan dalam pilihan raya diikuti dengan khabar bohong kenaikan harga, pelaksanaan Cukai Perkhidmatan (GST), kenaikan harga minyak, pelaksanaan Sistem Pelaksanaan Saman Automatik (AES) dan banyak lagi dihebahkan dalam media siber untuk menanamkan kebencian terhadap kerajaan.

Dituruti dengan demonstrasi besar-besaran bibit kebencian semakin marak. Erdogan seharusnya menyesali keputusannya memilih Anwar Ibrahim untuk menyemarakkan program Islamnya.

Ini kerana Anwar kini menggunakan strategi Erdogan itu untuk membenci dan menjatuhkan kerajaan yang baru dipilih rakyat sebulan lalu.

Kini Erdogan tentu memahami keperitan apabila berhadapan dengan separuh rakyat yang membencinya tanpa sebab dan dalil yang sahih. Seruan supaya Erdogan berundur dari politik semakin kuat kedengaran di seluruh pelosok Turki.

Racun yang disemai dikalangan pemimpin seperti Anwar Ibrahim kini mula menusukkan bisanya pada kerajaan Erdogan yang mendakwa mendapat sokongan separuh rakyat Turki.

Di segi pembangunan syiar Islam, Malaysia sebenarnya sudah melangkah lebih jauh dari Turki. Di Malaysia melaksanakan tuntutan Islam tidak banyak kekangan seperti di Turki yang sekular.

Cuma sayangnya di Malaysia segala kelebihan pembinaan syiar Islam ini kini hendak dipadam oleh puak sekularis, pluralis dan atheis yang berhimpun di bawah nama satu pakatan politik – pembangkang dan dibantu Erdogan.

Erdogan yang mungkin tidak sedar menjana taktik kebencian terhadap kerajaan Malaysia sebenarnya menyekat dasar pembangunan pro-Islam.

Seharusnya Erdogan lebih berhemah memilih rakan seperjuangan. Beliau seharusnya cuba lebih mendekati gerakan Islam yang lebih teratur perjuangannya seperti PAS dan bukan melulu memilih pembangkang untuk “mencederakan pembangunan” di Malaysia.

Adalah diharapkan menjelang 15 Jun ini Erdogan akan berhasil merencatkan kebangkitan protes jalanan yang anti-Islam dan beliau sempat menasihati pencinta dan pejuang Islam di Malaysia supaya jangan meruntuh apa jua syiar yang sudah ditegakkan.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: