Khamis, Julai 11, 2013

Akta Hasutan, integrasi rakyat saling berkait?


Desakan hapus tanda tak faham fungsi

Perkembangan semasa berkaitan hak asasi begitu ketara. Penelitian terhadap undang-undang yang dianggap menceroboh hak asasi sudah banyak dibuat. Dengan semangat menghormati hak asasi, pelbagai undang-undang sudah dimansuh atau diganti. Satu lagi akta yang menjadi fokus perhatian dan dikatakan menceroboh hak asasi ialah Akta Hasutan.

Kenyataan berturut-turut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berkenaan Akta Hasutan memperlihatkan kejituan beliau dalam memastikan sistem dan nilai yang kita ada ketika ini diteruskan.

" Hakikatnya Akta Hasutan ini menjadi benteng kepada kedudukan Raja-Raja Melayu. Akta ini juga menjadi tembok menjaga demokrasi berparlimen. Ia juga berfungsi menjaga kelangsungan sistem federalisme atau sistem negara Persekutuan."

Beliau tidak mahu Akta Hasutan disentuh. Saya percaya kenyataan ini dibuat bagi menegaskan pendirian beliau sebagai menteri bertanggungjawab berkenaan keselamatan dalam negeri.

Dari segi sejarah, asal Akta Hasutan ialah Enakmen Hasutan 1939 yang diperkenalkan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Seterusnya Akta Hasutan mula diperkenalkan ketika keadaan darurat di Tanah Melayu pada 1948 sebagai Ordinan 14 1948. Akta ini kemudian disemak semula pada 1969 dan diwartakan sebagai Akta 15.


Pengisian Akta Hasutan

Umumnya Akta Hasutan bertujuan mengekang perbuatan yang boleh melahirkan kecenderungan menghasut yang membabitkan Raja-Raja Melayu, kerajaan (sama ada negeri atau Persekutuan), hubungan antara rakyat negeri-negeri dalam Persekutuan, hubungan antara kaum serta hal-hal berkaitan kewarganegaraan, bahasa Melayu, keistimewaan Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Kecenderungan menghasut secara ringkasnya boleh dikatakan sebagai sehingga membenci, menghina atau membangkitkan perasaan tidak setia kepada Raja atau kerajaan. Ia juga menjadikan kesalahan kecenderungan hasutan bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong dan perbuatan mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk Malaysia.

Dua perkara ini pada asalnya adalah kesalahan di bawah Kanun Keseksaan tetapi dimasukkan dalam Enakmen Hasutan pada FMS En.13/1939. Pengisian Akta Hasutan ini lebih kurang sama dengan Common Law Inggeris dengan penyesuaian kepada keadaan setempat.


Peranan akta

Hakikatnya Akta Hasutan ini menjadi benteng kepada kedudukan Raja-Raja Melayu. Akta ini juga menjadi tembok menjaga demokrasi berparlimen. Ia juga berfungsi menjaga kelangsungan sistem federalisme atau sistem negara Persekutuan.

Akta Hasutan melarang perbuatan menghina Raja-Raja, sama ada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Raja bagi negeri-negeri. Akta Hasutan menjaga demokrasi berparlimen dengan menjadikan kesalahan bagi sesiapa yang membuat kecenderungan menghasut untuk perubahan kerajaan dengan cara tidak sah.

Akta Hasutan menjaga hubungan antara rakyat bagi negeri-negeri yang membentuk Persekutuan dengan menjadikan kesalahan kecenderungan hasutan dengan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat Raja bagi mana-mana negeri dalam Malaysia atau penduduk Malaysia.

Perkara-perkara ini ada kalanya diambil mudah oleh sesetengah pihak kerana pemahaman yang ada ialah Akta Hasutan ini menyekat kebebasan bersuara. Cadangan untuk menggantikan Akta Hasutan dengan Akta Keharmonian Kaum agak jelas kedengaran. Memang benar keharmonian kaum adalah perkara penting. Tetapi sekiranya itu saja fokus undang-undang terbabit, ia belum mampu menggantikan Akta Hasutan yang lebih lebar ruang lingkup dan tujuannya.



Sebagai contoh, kita jarang mendengar pandangan yang meletakkan perpaduan atau integrasi antara rakyat negeri-negeri yang membentuk Persekutuan. Perkara ini tidak boleh diambil mudah kerana keserasian atau integrasi antara rakyat negeri-negeri inilah yang menjadikan negara kita aman dan sejahtera. Dilema sebuah negara Persekutuan seperti Malaysia ialah antara cinta rakyat negeri-negeri dan kesetiaan kepada Persekutuan.

Kebijaksanaan orang dulu

Kita nampak jelas dilema ini dalam banyak negara Persekutuan lain. Kita ini diikat dengan satu kewarganegaraan tetapi dipisahkan dengan sentimen kenegerian. Walaupun hal ini tidak begitu menonjol ketika ini, kita lihat kebijaksanaan orang dulu dalam meletakkan persediaan menghadapi kemungkinan.

Oleh itu, sekiranya kita mahu mengubah Akta Hasutan ini, perkara ini juga perlu diambil perhatian sewajarnya. Kita tidak mahu nanti sudah terhantuk baru terngadah.

Kita juga perlu mengambil perhatian bahawa punca kuasa Akta Hasutan ini adalah Perlembagaan Persekutuan sendiri, iaitu perkara 10(2)(a) dan dibaca bersama dengan 10(4) Perlembagaan Persekutuan.

Oleh sebab akta ini membabitkan kedudukan Raja-Raja Melayu, maka sebarang pindaan kepadanya hendaklah harus mendapat perkenan Majlis Raja-Raja. Kita lihat hal ini jelas disebut dalam perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan. -BH

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: