Sabtu, Julai 27, 2013

Kuala Besut : Pas patut cermin diri!

Seorang penyokong Pas memakai penutup hidung yang tertera Pas for All yang berlatar belakangkan poster calon dan bendera Barisan Nasional pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil N01 Kuala Besut, Terengganu, di Sekolah Kebangsaan Nail, pada 24 Julai lalu.

Impian pakatan pembangkang untuk menguasai Kuala Besut memang menggunung tinggi. Kata ketuanya, Anwar Ibrahim beberapa hari lepas, sejarah politik Terengganu akan berubah sekiranya calon Pas menang.

Katanya, kalau kerusi itu beralih arah, baharulah kerajaan Pusat ‘terpinga-pinga’, seterusnya akan pasti memberikan sepenuh perhatian kepada rakyat Terengganu.

Hasrat menggunung itu diperkuatkan lagi dengan kenyataan Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar bahawa Kuala Besut boleh mencipta rekod dunia jika berlaku perubahan yang memihak pembangkang.

Keinginan mencanak Pas untuk menakluki DUN Kuala Besut membawa kepada beberapa perbuatan provokasi, antaranya sehingga penyokong mereka sanggup mengedar risalah tertera rayuan “Realisasikan semangat Melayu Bersatu, UMNO & Pas, inilah masanya 16:16." Walaupun di bawah helaian risalah itu terpampang logo empat pertubuhan, Perkasa, MBM, GPMS dan Pekida kononnya sebagai penaja gerak saraf itu, namun semua maklum itu adalah muslihat kader-kader pembangkang.

Apa akan terjadi seandainya BN kalah di Kuala Besut kelmarin? Walaupun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan pihaknya tidak akan menuntut atau berebut jawatan Menteri Besar, namun sebaliknya cakap-cakap dalam kalangan penyokong mereka memang terang lagi bersuluh mahukan jawatan itu. Antaranya, dengan posisi 16:16, maka kemungkinan akan melibatkan juga campur tangan Sultan Terengganu.

Kata mereka, walaupun DUN tetap kekal dikuasai BN kerana parti kerajaan ada satu undi lagi iaitu Speaker lantikan BN, namun mereka tetap masih boleh mencabarnya. Jika Pas menang di Kuala Besut dan kemudian membuat usul undi tidak percaya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, maka apa yang akan berlaku ketika itu?

Barangkalilah, sejarah Sidang DUN Perak di bawah pokok seperti yang berlaku pada 3 Mac 2009 boleh berulang kerana pembangkang boleh melakukan tindakan-tindakan yang di luar jangkaan.

Pembangkang boleh melakukan tindakan di luar dugaan untuk menarik perhatian rakyat. Walaupun perkara-perkara seumpama itu sepatutnya tidak perlu dilakukan tetapi tidak mustahil dilakukan oleh pembangkang.

Contoh terbaharu, demonstrasi Blackout 505 - itu juga salah satu cara mereka untuk mengalih perhatian rakyat dan membentuk kebencian rakyat kepada kerajaan.


Namun, malam 24 Julai lalu, kenyataannya di Kuala Besut memihak kepada BN. Ini apabila calon BN,

Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman meraih majoriti 2,592 undi, lebih tinggi berbanding 2,343 pada Mei lalu. Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman memperoleh 8,288 manakala lawannya dari Pas, Endot @ Azlan Yusof mendapat 5,696 undi.

Sejumlah 79.78 peratus atau 14,108 orang daripada 17,683 pengundi di kawasan DUN Kuala Besut menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya kecil kawasan itu.

Dan mahu tak mahu Pas mesti terima hakikatnya bahawa parti itu tidak boleh pandang mudah kepada kekuatan UMNO.

Kalaupun dihidu dari peringkat awal lagi, kekalahan Pas di Kuala Besut memang telah dijangkakan. Perkara ini terang-terangan yang mana semua pihak percaya jangkaan ini.

Jentera Pas sendiri seakan-akan tidak bermaya.

Tidak seperti beberapa siri pilihan raya kecil yang berlangsung sebelum ini yang jelas menampakkan kesungguhan jentera dan petugas parti itu bersemuka dengan jentera dari BN, elemen ini tidak pula berlaku di Kuala Besut.

Kain rentang dan bendera Pas tidak banyak kelihatan berbanding suasana yang bertambah biru didominasi BN. Kumpulan ulama dan jentera muslimah seperti membawa haluan sendiri.

Dikatakan calon pilihan Naib Presiden Pas, Husam Musa itu sendiri berdepan sabotaj parti.

Ramai di Kuala Besut sudah mengagak perkara ini apatah lagi kelibat Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut juga langsung tidak kelihatan membantu jentera parti.

Dipercayai ini ada kaitan dengan rasa tidak puas hati mereka dengan tindakan kepimpinan Pas Pusat yang menolak mentah-mentah calon yang dikemukakan oleh Pas negeri dan kawasan.


Kerana itulah dikatakan Pas Pusat terpaksa membawa Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berusia 82 tahun turun padang membantu jentera meskipun beliau sendiri dalam keadaan cukup uzur.

Sepanduk-sepanduk serta poster yang dinaikkan oleh Pas untuk memburukkan UMNO dan BN hanya menjatuhkan imej Pas di mata penduduk Kuala Besut. Taktik ‘menjanjikan’ pengundi berusia 21 tahun ke atas dengan petrol untuk motosikal secara percuma di saat-saat akhir juga telah memalit persepsi tidak baik penyokong Pas sendiri terhadap parti itu. Malah, kelibat pelajar-pelajar universiti terutama dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, juga tidak banyak membantu.

Pas bergerak bersendirian tanpa DAP yang akur dengan pengundi Cina di Kuala Besut - cuma berjumlah 148 orang manakala India cuma empat orang.

Namun ini sepatutnya tidak menggugat ‘kewibawaan’ Pas yang memang cekap mempraktiskan ‘syurga neraka, pahala dosa’ untuk kepentingan mereka. Pas wajar akui hakikat mereka gagal dalam pilihan raya kecil pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Tidak perlu bicara pasal undi popular, yang nyata Pas sewajarnya akur pakatan parti itu dengan DAP dan PKR banyak memalitkan imej tidak elok untuk mereka.

Dengan PRU-13 menyaksikan beberapa pemimpin Pas tewas termasuklah Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Haron Din selain Mahfuz, yang tidak kalah tetapi kehilangan Kedah selain Nik Abdul Aziz sendiri yang ‘kian terpinggir’, Pas kena mencongak masa depan parti sendiri.

Kemenangan UMNO di Kuala Besut memastikan kestabilan politik negeri terjamin. Memanjatkan syukur! Sidang DUN di bawah pokok tidak berulang di negeri itu.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: