Isnin, Julai 29, 2013

Ummah wajib tentang usaha perlekeh Islam!


Maaflah kalau penulis kata kontroversi berkenaan kenyataan Duta sulung Vatican ke Malaysia, Archbishop Joseph Marino berkenaan penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian di Semenanjung adalah perkara yang secara tak langsung kita sendiri undang. Cuma yang penulis terkilan setakat ini adalah tindak balas rasmi kita terhadap ‘campur tangan’ paderi Roman Katolik itu.

Isu ini timbul apabila Duta Vatican itu berjumpa dengan media massa tempatan. Ikut laporan, dia puji Islam. Yang ini tidaklah timbulkan masalah malah penulis rasa banyak orang Islam berasa sangat seronok. Tapi bagi penulis, itu hanyalah penyedap kata saja. Apa yang duta itu kata kemudiannya yang jadi masalah.

Laporan media massa kata, dia puji hujah Persekutuan Gereja Malaysia atas tuntutan supaya orang Kristian di Semenanjung boleh guna istilah Allah dalam buku dan khutbah mereka. Penulis dah berkali-kali kata, kita orang Islam di Malaysia jangan sekali-kali benarkan kalimah Allah diguna oleh lain daripada orang Islam.

Islam di kaca mata Kristian

Macam mana pun kita janganlah terkejut apabila Duta Vatican itu secara tidak langsung sokong tuntutan orang Kristian hendak guna istilah Allah di Semenanjung. Kita kena ingat dia ini paderi dulu kemudian baru duta. Bagi dia, agama dan akidah lebih penting daripada diplomasi.


Tak kiralah kalau khabarnya dia sudah minta maaf. Dari sudut psikologi dan perang saraf, dia sudah berjaya laksanakan tuntutan agamanya. Kesan kenyataannya terhadap masyarakat Kristian Malaysia dan kita semua sebagai orang Islam sudah pun terasa malah sudah jadi satu isu besar.

Inilah bahayanya kalau kita buat sesuatu dengan tidak betul-betul faham pokok pangkal. Kita boleh berbaik-baik dengan semua negara dan pertubuhan di dunia. Tapi kita kenalah pelajari dan faham betul-betul ideologi dan pendirian negara atau organisasi yang kita hendak berbaik-baik itu.

Penulis bimbang banyak orang Islam di Malaysia tak dalam pengetahuan mengenai agama sendiri apatah lagi agama lain. Ini silap besar. Tak faham agama sendiri satu hal, tapi tak faham agama lain, terutama yang anggap Islam sebagai lawan dan musuh, sangat-sangat berbahaya. Boleh jadi tak banyak orang Islam di Malaysia yang faham organisasi Roman Katolik dan gerakan mubaligh mereka.

Penulis tahulah sedikit sebanyak sebab pernah belajar di sekolah mubaligh Roman Katolik dan penulis baca mengenai politik dan ideologi agama-agama di dunia. Hari ini, orang Kristian di seluruh dunia anggap Islam sebagai saingan dan ancaman paling besar.

Islam makin kuat

Walaupun orang Islam, khasnya di Asia Barat nampak lemah kerana berperang satu sama lain, gerakan Islam global sebenarnya cukup subur dan kuat. Salah satu sebabnya kerana kacau-bilau di negara-negara Islam. Banyak orang Islam yang lari dari negara mereka sendiri kini bertapak di Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.


Sebelum itu pun sudah banyak orang Islam termasuklah yang berpelajaran tinggi lari merantau ke negara-negara Eropah, Amerika dan Australia. Di sana mereka mengembangkan Islam. Banyak orang Barat terpengaruh dan tertarik dengan Islam kerana yang menjadi contoh adalah orang Islam yang berjaya seperti doktor perubatan, jurutera dan cendekiawan.

Sebaliknya, amalan dan pengaruh agama Kristian semakin lemah di Eropah dan Amerika akibat gerakan liberal dan antidoktrin agama. Macam yang kita tengok dengan gerakan gay dan lesbian serta perkahwinan sesama jenis semakin berleluasa.

Jadi, dalam kita menjemput Vatican membuka kedutaan di Malaysia, kita haruslah ingat yang tugas utama Vatican adalah untuk mempertahankan dan mengembangkan ajaran Kristian mazhab Roman Katolik di seluruh dunia. Maka tidak hairanlah kalau Duta Vatican di Malaysia sokong tuntutan kalimah Allah digunakan di Semenanjung.

Kalimah Allah ini sebenarnya sudah lama diguna di Sabah dan Sarawak dan kita tidak hendak jadikannya sebagai satu isu. Tapi di Semenanjung, pendirian penulis adalah kita wajib bangkang habis-habisan. Wallahualam.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: