Ahad, Ogos 25, 2013

Karpal pula cabar Waythamoorty letak jawatan?


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorty dicabar melepaskan jawatannya dalam Kabinet sekiranya mahu mempertahankan kenyataannya sebelum ini yang mempertikaikan kejadian lima penjenayah ditembak mati oleh polis di sebuah rumah di Sungai Nibong dekat sini, Isnin lalu.

Pengerusi DAP, Karpal Singh yang membuat cabaran tersebut berkata, tindakan sedemikian perlu sebagai bukti beliau memang mahu memperjuangkan nasib masyarakat India.

"Sekiranya Waythamoorty tetap berpegang dengan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, beliau patut melepaskan jawatan dalam Kabinet yang disandangnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menasihatkan Waythamoorthy supaya berhenti daripada memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan sekiranya mahu memberi kenyataan berhubung perkara di luar bidang kuasanya.

Ahmad Zahid juga mengingatkan Waythamoorthy supaya tidak mencampuri urusan polis tetapi menumpukan kepada bidang kuasa sendiri iaitu menguruskan hal-hal berkaitan Hindraf.

Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu, lima ahli kumpulan kongsi gelap yang amat berbahaya kerana terlibat dalam 10 kes bunuh di tiga buah negeri, mati selepas berbalas tembakan dengan anggota polis yang menyerbu sebuah unit pangsapuri di Jalan Pantai Jerejak, Sungai Nibong.

Sementara itu masih lagi di kawasan yang sama di Nibong Tebal, Enam nyaris maut ditembak!

Seorang daripada pelanggan sebuah kopitiam yang cedera dalam kejadian tembak di Taman Kasawari, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan, malam semalam.

Enam pelanggan lelaki sebuah kopitiam di Taman Kasawari, Simpang Ampat di sini nyaris maut selepas dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal melepaskan tembakan secara rambang malam tadi.

Dalam kejadian pukul 10.45 malam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kongsi gelap itu, kesemua mangsa sedang minum sebelum muncul dua suspek menaiki motosikal jenis Yamaha LC.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dua suspek itu kemudian melepaskan beberapa das tembakan secara rambang ke arah pelanggan sehingga mengenai enam lelaki berusia 20 hingga 50 tahun sebelum melarikan diri.

"Dua tembakan mengenai dua lelaki di bahagian rusuk dan punggung manakala empat lagi mangsa mengalami luka-luka di beberapa bahagian badan akibat terkena serpihan peluru," katanya ketika ditemui di tempat kejadian awal pagi ini.

Abdul Rahim berkata, kesemua mangsa yang cedera itu dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Beliau berkata, menurut saksi yang berada di premis itu, kedua-dua suspek memakai topi keledar penutup penuh.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh.

"Kita belum tahu motif sebenar kejadian, tetapi percaya mempunyai kaitan dengan geng kongsi gelap. Polis tidak akan berdiam diri dan akan cari mereka yang terbabit dalam kes ini," ujarnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: