Sabtu, Ogos 17, 2013

Kerajaan perpaduan hanya `ciptaan dan rekaan' untuk kepentingan pembangkang?


Dakwaan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim bahawa ada usaha baru ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan hanya `ciptaan dan rekaan’ untuk kepentingan politik pembangkang.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini menafikan laporan beberapa portal berita yang mendakwa Datuk Seri Najib Razak sedang berusaha mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan bersama Anwar.

Kenyataan media itu antaranya mendedahkan laporan portal berita yang memetik `sumber yang boleh dipercayai dan rapat dengan kem’ Perdana Menteri disifatkan sebagai `daya imaginasi’ penulis kerana tiada sebarang usaha ke arah mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan.

Kata kenyataan itu, perbincangan mengenainya mustahil berlaku apatah lagi pihak pembangkang terutama Anwar serta kepemimpinan pakatan pembangkang sehingga kini masih tidak dapat menerima dan mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).


"Pengesahan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang mengenai perbincangan ke arah kerajaan perpaduan itu adalah bersifat `kenyataan politik yang berniat nakal'," kata kenyataan berkenaan.

Sebelum ini, Anwar mendakwa Najib yang juga Presiden UMNO mencadangkan agar kerajaan perpaduan ditubuhkan dengan kerjasama pakatan pembangkang dan UMNO seperti dilaporkan laman sesawang, Asia Sentinel.

Anwar dalam temubual itu dipetik sebagai berkata, beliau menyampaikan pesanan kepada Najib melalui perantara bahawa serangan membakar semangat perkauman oleh akhbar Utusan Malaysia terhadap masyarakat Cina dan India perlu dihentikan sebelum cadangan itu boleh diperhalusi.


Bagaimanapun, kenyataan media Pejabat Perdana Menteri itu tidak menafikan usaha yang dilakukan oleh bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla sebelum PRU-13 bagi mendapat persetujuan Najib dan Anwar agar mengelak daripada menyerang antara satu sama lain dan menerima keputusan pilihan raya adalah satu-satunya perjanjian politik yang ada.

Ia menyebut, menurut Jusuf Kalla, Anwar berhubung dengan beliau sebelum PRU-13 bagi mendapatkan perjanjian politik daripada Najib agar menghormati keputusan rakyat yang dipersetujui oleh Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Anwar melanggar perjanjian berkenaan dengan enggan berbuat demikian kerana mendakwa berlaku penipuan dalam proses PRU13.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: