Sabtu, September 28, 2013

Lim Guan Eng Adalah Setiausaha Agung Tidak Sah?


Lim Guan Eng adalah Setiausaha Agung DAP yang tidak sah, dakwa DAP Insider kerana beliau diputuskan dalam satu keputusan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Tertinggi (CEC) parti yang haram pada 16 Disember 2012.

Menurut blog itu Guan Eng dilantik sebagai Setiausaha Agung DAP dalam mesyuarat CEC pada 16 Disember 2012 yang dihadiri oleh salah seorang anggotanya, Vincent Wu.

Namun, hampir tiga minggu kemudian, pada 4 Januari 2013, parti mengumumkan Vincent Wu bukan anggota CEC kerana kedudukannya bertukar dengan Zairil Khir Johari kerana ‘kesilapan teknikal.’

Bermakna pelantikan Guan Eng pada 16 Disember 2012 sebagai Setiausaha Agung adalah tidak sah kerana diputuskan oleh anggota haram, Vincent Wu.


“Mesyuarat CEC pertama kali diadakan pada 16 Disember 2012 telah dihadiri oleh Vincent Wu. Dalam pertemuan itu , ahli-ahli mesyuarat CEC telah membuat keputusan untuk melantik Pengerusi Kebangsaan, Setiausaha Agung, Pengerusi Disiplin dan posisi lain.

“Apabila Vincent Wu digugurkan dari senarai, mesyuarat CEC pertama adalah haram kerana Vincent Wu juga terlibat dalam membuat keputusan semasa mesyuarat.

“Apabila mesyuarat itu tidak sah , maka pelantikan pemimpin tertinggi parti juga tidak sah. Sehingga kini kedudukan Lim Guan Eng sebagai Ketua Setiausaha adalah tidak sah,” dedah blog itu dalam tajuk terbaru,
 “Bab 6 : Pemusnahan selanjutnya dilakukan oleh Tony Pua dan Antony Loke”.

Ekoran insiden manipulasi pemilihan CEC ke-16 itu, kira-kira 40 anggota DAP telah membuat aduan rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 14 Januari 2013.

Aduan yang dibuat berkenaan dengan tindakan DAP yang gagal memberi masa yang mencukupi untuk memberi notis kepada ahli mesyuarat selaras dengan perlembagaan , perwakilan haram dan kes memanipulasi undi.

DAP juga menghantar laporan kepada ROS pada 8 Februari 2013, namun menurut DAP Insider laporan yang dihantar parti itu tidak lengkap dan tidak menyertakan dengan minit mesyuarat CEC pertama yang dihadiri oleh Vincent Wu.

“Di mana ketelusan dan integriti yang sentiasa dilaungkan oleh Dinasti Lim selama ini semasa memerintah DAP apabila mereka mengemukakan laporan palsu kepada ROS?,” soal blog itu.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: