Ahad, September 29, 2013

Tunku Aziz : Teruskan Pemilihan CEC, DAP Ada Agenda Tersembunyi?


Bekas Naib Presiden DAP, Tunku Aziz Tunku Ibrahim berkata pemimpin DAP mempunyai agenda tertentu kerana tetap berdegil untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) esok walaupun ia tidak sah di sisi perlembagaan parti itu sendiri!

Beliau dilaporkan Antarapos berkata kedegilan pemimpin parti itu terutamanya Lim Guan Eng untuk terus mengadakan pemilihan tersebut seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi apabila sudah meletakkan kesalahan terhadap Pendaftar Pertubuhan (ROS) sekiranya parti itu dibatalkan sebagai sebuah pertubuhan yang sah.

Menurutnya, pemilihan semula CEC yang dijangka berlangsung esok adalah tidak sah kerana ia seharusnya dilakukan menerusi Kongres Kebangsaan Parti dan bukannya pada Kongres Khas.

“Mereka tahu apa yang betul tapi mereka tak mahu melakukan mengikut caranya. Mereka hanya nak ikut cara mereka, jadi mereka boleh salahkan ROS, mereka akan kata ia bermotifkan politik, mereka kata ini campur tangan Umno itu ini,” katanya.



Bercanggah pelembagaan parti

Kongres Kebangsaan memerlukan notis sekurang-kurangnya 10 minggu sebelum diadakan manakala notis Kongres Khas pula hanya dalam tempoh tujuh hari.

Berdasarkan Fasal VIII, Perkara 8 perlembagaan parti itu, Kongres Khas hanya boleh diadakan untuk membincangkan perkara tertentu, bukan untuk tujuan pemilihan.

Kata Tunku Aziz, sekiranya ROS tidak mengiktiraf keputusan CEC dan membatalkan parti itu, DAP pasti menjadikannya sebagai senjata untuk menyalahkan ROS bagi meraih simpati masyarakat, dan itulah yang menjadi agenda mereka.

Mengulas lanjut, Tunku Aziz turut menyifatkan tindakan tergesa-gesa DAP ini adalah untuk mengelakkan penyertaan calon baru yang boleh memberi saingan kepada calon yang sedia ada.

“Senarai nama yang bertanding pun yang lama, bukan calon baru yang bertanding. Maknanya semua perkara tak kemas. Kotor,” ujarnya.

Katanya, ini juga boleh digunakan alasan oleh DAP untuk membentuk sebuah parti baru, di mana ahlinya akan dipilih dari golongan yang pro kepada mereka sahaja.

Sekiranya itu terjadi, Tunku Aziz menyeru agar masyarakat tidak mudah terpedaya dengan propaganda pemimpin DAP, yang kononnya ingin menjadi sebuah parti mewakili pelbagai kaum di negara ini.

“Sesiapa yang menimbulkan masalah, akan ditendang keluarlah.

“Budak (golongan muda) Melayu boleh percaya kata DAP boleh jaga mereka, itu fikiran pendek. Cuba fikir betul-betul. Mana boleh Cina jaga Melayu,” ulas beliau.

Manipulasi Guan Eng

Manakala bekas Ketua Cawangan DAP Taman Sri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat pula menegaskan DAP harus membuang sikap degil, dan mengikut arahan yang dikeluarkan ROS sekiranya tidak mahu perkara yang sama berulang.

Katanya, ROS bertindak mengikut seperti yang terkandung dalam perlembagaan parti serta melalui aduan yang disuarakan akar umbi.

“Dia (Guan Eng) yang harus letak jawatan kerana dia langsung tak tahu dia punya perlembagaan,” kata beliau.

Sementara itu Guan Eng dilaporkan Sinar Harian hari ini menuduh ROS tidak membenarkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC, esok meskipun dakwanya keputusan itu sudah dibenarkan Mahkamah Tinggi.


“Pendaftar Pertubuhan masih berdegil DAP tak boleh adakan pemilihan semula esok menerusi Kongres Khas sungguhpn Mahkmah Tinggi Kuala Lumpur telah benarkan,” katanya melalui laman mikro Twitter miliknya, kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Keputusan Mahkamah

Namun kenyataan Guan Eng itu bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Hakim Datuk Rosnaini Saub pada Jumaat telah menolak permohonan saman yang difailkan oleh seorang anggota DAP, David Dass kerana mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan dalam apa jua keputusan berhubung hal ehwal sesebuah parti politik.

Beliau berkata Parlimen mempunyai kebijaksanaannya dalam menggubal Seksyen 18(c) Akta Pertubuhan 1966. Justeru itu, mahkamah menolak permohonan David Dass untuk menangguhkan pemilihan CEC Ahad ini.

Kenyataan ROS

Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman berkata beliau meminta agar Guan Eng sekali lagi membaca dan memahami apa yang dinyatakan jabatan itu berhubung pemilihan semula CEC parti itu.

Beliau menjelaskan ROS tidak pernah menyatakan DAP tidak boleh mengadakan kongres khas, sebaliknya mengingatkan parti itu agar mematuhi peruntukan dalam undang-undang tubuhnya sendiri semasa mengadakan pemilihan berkenaan.

“Dalam hal ini, penghantaran Notis Panggilan kepada anggota dalam tempoh 10 minggu seperti yang tercatat di dalam undang-undangnya harus dipatuhi,”katanya.

Abdul Rahman juga berkata tindakan mahkamah terhadap DAP adalah oleh anggotanya sendiri dan tidak ada kaitan sama sekali dengan ROS kerana mereka yang membawa perkara berhubung pemilihan CEC parti itu, yang tidak teratur, ke muka pengadilan.

“Adalah tidak wajar ROS dikaitkan dalam hal ini memandangkan tindakan ini daripada akar umbinya sendiri.

“Namun demikian, walaupun Seksyen 18C, Akta Pertubuhan 1966 menyatakan hal ehwal parti adalah muktamad dan konklusif serta tidak boleh dibawa ke mahkamah tetapi ini tidak bererti ROS tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan demi menegakkan kebenaran khasnya bila hak ahli-ahlinya terjejas.

“Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) adalah suatu Akta yang telah diluluskan oleh Parlimen dan semua pihak harus menghormatinya dan ROS yang bertanggungjawab dalam menguatkuasakannya,”katanya.-AIDC

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: