Khamis, Oktober 24, 2013

Anwar digesa letak jawatan Ketua Pembangkang?


Anwar Ibrahim digesa meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang memandangkan beliau kini perlu memberikan perhatian dalam kes liwat yang akan dibicarakan di Mahkamah Rayuan tidak lama lagi.

Bekas Setiausaha Sulit beliau, Rahimi Osman berkata, Anwar wajar meletakkan jawatan memandangkan beliau tidak menjalankan tugasnya walaupun telah diberi kepercayaan serta menikmati pelbagai kemudahan disediakan.

"Lebih baik Anwar meletakkan jawatan supaya beliau boleh menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kes liwat itu yang bakal dibicarakan di Mahkamah Rayuan.

"Malah, Anwar juga dilihat lebih banyak berada di luar negara bagi memburukkan Malaysia daripada berada di dalam negara dan kawasan Parlimen Permatang Pauh," katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan 11 dan 12 Disember ini bagi mendengar rayuan pendakwa raya terhadap pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, lima tahun lalu.

Tarikh tersebut ditetapkan pada sesi pengurusan kes di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif pada 2 oktober lalu.

Mengulas lanjut Rahimi memberitahu, Anwar tidak layak menjadi Ketua Pembangkang memandangkan beliau bukan presiden atau pengerusi kepada mana-mana parti politik.

Tegasnya, jawatan Ketua Umum yang disandang dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula hanyalah lantikan oleh isteri beliau, bukannya dipilih oleh ahli parti.

"Pengerusi DAP, Karpal Singh lebih layak menjadi Ketua Pembangkang jika bilangan kerusi pembangkang diambil kira," ujarnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: